UMUM sebenarnya masih kabur lagi dengan isuisu yang membelenggu pelaksanaan cukai barangan
dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan menjelang April ini.GST adalah
satu bentuk cukai yang dikenakan ke atas setiap barang dan perkhidmatan
yang dibeli.
Dalam Belanjawan 2014, Perdana Menteri, Dato’ Seri
Mohd Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan melaksanakan GST pada
kadar antara 4 hingga 6 peratus bermula 2015.Ia juga telah dibentang di
Parlimen dan diluluskan di Dewan Rakyat bagi dilaksanakan April ini.
Hari
demi hari, selepas GST hangat dibicarakan rakyat yang secara besarnya
menolak rejim baharu percukaian ini, kerajaan pula menggunakan pelbagai
medium untuk memperbodohkan rakyat kononnya GST baik kepada ekonomi
negara dan rakyat.
Tindakan kerajaan memutar belitkan fakta berhubung
GST melalui pelbagai medium termasuk di papan iklan dan pengangkutan
awam, melalui iklan di televisyen serta lakonan beberapa figur artis
negara nampaknya seakan membayangkan keterdesakan kerajaan untuk
mempromosi cukai zalim ini.
Kerajaan barangkali tertekan dengan
kempen membantah GST yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat di mana ia
salah satu kaedah bagi memastikan rakyat tidak dikelirukan mengenai
cukai itu.
Bagi Pakatan Rakyat, kempen menerangkan semula bahana
GST harus dijalankan kerana masih ramai orang yang belum faham bagaimana
GST akan menaikkan kos beban hidup mereka.
Paling asas adalah bagaimana kerajaan menetapkan enam peratus cukai bagi peringkat permulaan pelaksanaan GST ini.
Angka ini disifatkan pelbagai pihak sebagai suatu angka permulaan yang
sangat tidak sihat kepada ekonomi rakyat, walaupun ianya baik kepada
kerajaan memerintah dari segi pungutan cukai dan menambah pendapatan
negara.
Adapun di Singapura, negara yang berjiran dengan Malaysia
telah melaksanakannya dengan permulaan hanya tiga peratus, dalam masa
yang sama rakyatnya rata-rata bergaji tinggi.
Benar pelaksanaan
GST adalah baik sekiranya ia benar- benar dilaksanakan atas dasar mahu
menyeragamkan semua cukai pembelian barangan dan perkhidmatan.
Cukai sebaik GST dilaksanakan di negara-negara maju seperti UK dan
Amerika Syarikat, namun ianya juga tetap memberi kesan (walaupun
sedikit) kepada masyarakat miskin.
GST di negara maju
Begitu
pun rakyat di negara maju dapat menikmati perkhidmatan yang disediakan
kerajaan dengan baik, sistem jalan raya yang baik, pengangkutan awam
yang efisyen dan ilkim ekonomi yang baik untuk peningkatan taraf hidup
selain gaji yang tinggi.
Ia tidak berlaku di Malaysia, jurang
pendapatan antara kaya dan miskin terlalu jauh, malah jurang pendapatan
antara kaum juga amat memilukan di mana kaum Melayu yang menjadi tunjang
majoriti masih lagi menjadi kaum yang paling ramai jumlah miskin tegar.
Sukar untuk mengukur sejauh mana pelaksanaan GST ini boleh memberi
kebaikan kepada rakyat pada asasnya kerana harus juga difikirkan soal
ketirisan yang telah lama berlaku dalam pengurusan dan pentadbiran
negara.
Ketirisan dan penyelewengan yang berulang sejak sekian
lama menyebabkan negara kini berhutang hingga lebih 500 bilion, dan
kemudiannya dilaporkan juga pada setiap Laporan Ketua Audit Negara
tentang kelemahan pengurusan kerajaan.
Maka gambaran awal
pelaksanaan GST merupakan suatu ‘mimpi ngeri’ kepada rakyat khasnya
kepada golongan berpendapatan rendah yang hidup di kota-kota besar,
sementara kini mereka juga tertekan dengan peningkatan kos hidup akibat
kenaikan harga barangan, tarif elektrik dan perkhidmatan.
Ia
belum lagi dilihat dalam aspek hutang isi rumah yang kini mencecah
antara 70 hingga 80 peratus daripada pendapatan bulanan isi rumah.
Suatu yang sangat membebankan.GST bukan satu perkara baru sebenarnya,
andai diperhatikan sebaiknya pelaksanaannya telah berjalan namun dalam
kaedah yang sedikit mengelirukan.
Ia digelar sebagai cukai jualan
dan cukai perkhidmatan, yang boleh dilihat melalui pembelian di
kedai-kedai makanan segera seperti KFC, McDonalds, Kenny Rogers, Nandos,
Starbucks dan sebagainya.
Benar pada asasnya GST adalah untuk
menyusun semula semua cukai yang tidak seragam, namun amalan yang
sentiasa berjalan di negara ini apabila sesuatu dasar hendak
dilaksanakan, pastinya kerajaan mengambil perkiraan kos itu akan
dikembalikan kepada rakyat untuk menanggungnya.
Apabila GST
dilaksanakan nanti pastinya semua pihak akan terpaksa membayar untuk
membeli barangan yang bakal dikenakan GST. Walaupun kerajaan memberi
jaminan dalam kempen-kempennya bahawa barangan keperluan harian,
makanan, pengangkutan awam tidak akan dikenakan GST, namun sejauh mana
jaminan ini boleh diterima pakai.
Lihat sahaja janji Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13) oleh BN kononnya tidak akan menaikkan harga minyak,
tidak akan menarik subsidi, namun selepas empat bulan PRU13 berlalu
(September 2013) kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak pada kadar
20 sen.
Kemudian, dalam pembentangan Belanjawan 2014, subsidi
gula pula ditarik kembali atas alasan kononnya untuk memastikan rakyat
tidak kena dibetik (kencing manis), suatu alasan yang sangat melucukan.
Tekan rakyat, kayakan kroni
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr
Zakaria Abdul Rashid ada menyebut bahawa pihaknya tidak menolak dengan
inflasi yang meningkat secara konsisten sejak beberapa bulan lalu,
pengenalan GST akan menekan rakyat.
Menurutnya Indeks harga
pengguna (CPI) ketika ini pada kadar 1.9 peratus dan dapat dilihat sejak
beberapa bulan ia naik secara konsisten.
Tidak dapat dinafikan
melalui pengamatan MIER andai peningkatan ini berterusan sehinggalah
pengenalan GST pada tahun 2015 nanti, ia mungkin menambah tekanan kepada
orang ramai.
Indeks CPI bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013
meningkat sebanyak 1.7 peratus kepada 106.5 dibandingkan dengan 104.7
pada tempoh yang sama tahun 2012 (setahun sebelum pilihan raya umum).
Berbanding dengan bulan yang sama tahun 2012, CPI Ogos 2013 mencatatkan
kenaikan sebanyak 1.9 peratus daripada 105.0 kepada 107.0 dan apabila
dibandingkan dengan bulan sebelumnya, CPI merekodkan peningkatan
sebanyak 0.1 peratus.
Meskipun kerajaan menyatakan bahawa akan
dilaksanakan pemantauan dalam pelaksanaan GST di bawah Jawatankuasa
Pemantauan GST, namun ramai meragui akan kemampuan Putrajaya untuk
menunaikan janji-janji tersebut berdasarkan kegagalan dalam
pelaksanaannya sebelum ini.
Seperti kata bekas Penolong Gabenor
Bank Negara, Dr Rosli Yaakob bahawa sukar dipastikan sama ada
jawatankuasa yang ditubuhkan tersebut mempunyai kemampuan untuk
menguatkuasa GST ke atas peniaga, pengeluar serta menangani inflasi.
Sejak dahulu lagi tren penguatkuasaan di Malaysia adalah lemah, dan
terbukti terdapat kebocoran, rasuah dan penyelewengan di kalangan agensi
penguatkuasaan.
Terbaharu, sebelum pelaksanaan GST, kerajaan
juga dikatakan sudah mula mengutip keuntungan bermotif ‘serampang dua
mata’ dalam menjual perisian MyGST yang sedang dibangunkan kerajaan
kepada para peniaga.
Sementara Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi
Ramli sendiri mendedahkan bahawa kerajaan mensasarkan penjualan
perisian MyGST kepada 300,000 peniaga dan mungkin ia akan diwajibkan
pada akan datang.
Pendedahan itu selari dengan kenyataan Ketua
Pengarah Kastam, Dato’ Seri Khazali Ahmad baru-baru ini yang mengumumkan
bahawa kerajaan telah membelanjakan RM100 juta untuk membangunkan satu
sistem perisian perakaunan khusus untuk melaksanakan GST.
Perisian perakaunan yang dikenali sebagai MyGST itu kemudiannya akan dijual kepada peniaga-peniaga menjelang Mac 2015.
Apa yang pastinya, rakyat akan dibebankan pula selepas ini dengan kos
perbelanjaan yang besar untuk membangunkan perisian perakaunan tersebut
pada pelaksanaan GST tahun 2015 nanti.
Sedangkan kerajaan hanya
perlu menambah modul ke dalam perisian perakaunan sedia ada tanpa perlu
membangunkan perisian baharu yang jauh lebih tinggi kosnya.
Bak
kata Rafizi lagi, perbelanjaan sehingga RM100 juta untuk sebahagian
daripada pelaksanaan GST adalah satu belanja yang besar dalam keadaan BN
mahu mencukai rakyat untuk menampung defisit negara.
Malah
pastinya peruntukan RM100 juta bagi tujuan menjalankan kempen dan
latihan GST itu menjadi ‘lubuk’ kepada syarikat kroni BN untuk mengaut
keuntungan lumayan.
Apa sahaja alasan kerajaan mengenai GST,
kebaikan atau keburukan pastinya rakyatlah pihak yang akan menghadapinya
sementara pemimpin negara akan terus berteori dengan rakyat bagi
menyatakan alasan andai suatu hari nanti pelaksanaannya benar-benar
memudharatkan rakyat terbanyak.
Usahlah digunakan sewenangnya
pelakon atau pelawak negara untuk berkempen bagi memastikan rakyat akur
dengan pelaksanaan GST, sedangkan hakikatnya pelaksanaannya nanti akan
tetap membebankan rakyat.
Rakyat bukan lagi mudah untuk
diperbodohkan begitu sahaja, kesan berantai yang bakal dihadapi rakyat
pastinya akan membuatkan rakyat akan terus membenci kerajaan yang
menerajui negara hari ini..
No comments:
Post a Comment