Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.
Showing posts with label GHB. Show all posts
Showing posts with label GHB. Show all posts

Wednesday, September 2, 2015

PAN - PARTI AMANAH RAKYAT - MENGESAHKAN KELAHIRANNYA.




Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Haji Mohamad Sabu ( gambar ) mengumumkan pelancaran parti baru yang dinamakan Parti Amanah Negara sebentar tadi Hotel Vistana Kuala Lumpur. 

Pelancaran PAN ini memang dinantikan oleh segenap rakyat Malaysia yang tidak sabar-sabar untuk mengetahui nama dan hala tuju parti baru yang bakal ditubuhkan. 

Parti baru yang ditubuhkan ini bukan parti yang baru didaftarkan sebaliknya ia adalah parti lama yang ditukar nama dan perlembagaannya. Parti yang diambil alih ialah Parti Pekerja. Langkah ini diambil disebabkan ROS tidak membenarkan penubuhan Parti Progresif Islam (PPI) seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi. 

Protem Parti Pekerja ini akan mengumumkan perlembagaan dan nama parti pada 16 September 2015. Pihak protem Parti Pekerja ini sedang giat menggubal perlembagaan parti baru ini. 
Ternyata parti baru ini memang signifikan lebih-lebih lagi ianya mendapat sokongan padu dari DAP dan PKR serta NGO-NGO di Malaysia. Ia terbukti apabila program-program GHB mendapat sokongan dari DAP, PKR, NGO dan rakyat Malaysia pada program road show yang dianjurkan oleh GHB. 

Begitu juga dalam himpunan BERSIH 4.0 semalam GHB dilihat mendapat sokongan padu dari demonstran yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. 

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara 

Penasihat Umum : Ustaz Ahmad Awang 

Pengerusi : Hj Mohammad Sabu 
Timbalan Pengerusi : Hj Salahuddin Ayub 

Naib Pengerusi : 
Dato' Dr Mujahid Yusof 
Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus 

Ketua Wanita : Dr Mariah Mahmud 
Ketua Pemuda : Mohd Sany Hamzan 
Setiausaha : Mohd Anuar Tahir 
Timb. Setiausaha : Abang Ahmad Kardee Abang Masagus 
Bendahari : Hj Asmuni Awi 
Setiausaha Organisasi : Suhaizan Kaiat 

Ahli Jawatankuasa : 

Dr Mohd Hatta Ramli 
Ir Khalid Samad 
Ir Izham Jashim 
Hj Adly Zahari 
Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi 
Dato Seri Muhammad Nizar Jamaluddin 
Mazlan Aliman 
Aminolhuda Hassan 
Mohd Hanipa Maidin 
Dato' Fakhrulrazi Zawawi 
Saari Sungib 
Zulkifli Mohd Omar 
Hu Pang Chaw 
Dato Wan Abd Rahim Abdullah 
Hasnul Baharuddin
Dengan penubuhan ini  PAS hilang 10 Wakil Rakyat ..... KUALA LUMPUR: PAS kehilangan 10 wakil rakyat serentak selepas lima Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan (Adun) parti Islam itu menyertai parti politik baharu yang ditubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB).  


Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata keahlian 10 wakil rakyat itu gugur secara automatik apabila mereka dilantik menganggotai jawatankuasa parti baharu yang akan dikenali sebagai Parti Amanah Negara. 

 "Tak perlu keluar (PAS), keahlian dalam parti lama mereka gugur secara automatik," katanya pada sidang media di sini, Isnin.  

Sepuluh yang gugur keahlian PAS secara automatik ialah: 

Ahli Parlimen  

1) Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, 
2) Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja),  
3) Dr Hatta Ramli (Kuala Kerai),  
4) Khalid Samad (Shah Alam) dan  
5) Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).   

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) : 

1) Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin (Changkat Jering),  
2) Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), 
 3) Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), 
 4) Saari Sungib (Hulu Kelang) dan  
5) Hasnul Baharuddin (Morib). sumber 

Adalah dipercayai ada beberapa nama lagi yang akan mengisytiharkan diri mereka menyertai parti baru AMANAH. 

Antaranya ialah Ahli Parlimen iaitu Kamarudin Jaffar (Tumpat) dan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu). 

Begitu juga dengan Adun, iaitu Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Batu Burok)  dan Husam Musa (Salor) 

Maka parti baru itu akan mempunyai 7 Ahli Parlimen dan 7 Adun, menjadikan kesemuanya berjumlah 14 wakil rakyat yang terkeluar dari PAS. 

Adalah dipercayai akan ada beberapa orang lagi Wakil Rakyat PAS terutamanya dari Kelantan dan Selangor yang bakal mengisytiharkan diri mereka keluar menyertai AMANAH dalam sedikit masa lagi.

Saturday, August 29, 2015

KENAPA PERLUNYA GHB.....?



Petikan Ucapan Dr Dzulkefly Ahmad ( gambar ) 
Di Program Dialog Terbuka Politik Malaysia, Lembah Pantai

1. Betul kami kelompok kalah. Tetapi tidak pernah dalam sejarah pemilihan, berlaku kalah yang gugurnya setandan sebegini. Kami mengakui kekalahan itu, namun kekalahan yang mungkin juga merupakan 'rahmat yang tersembunyi'.

2. Kami dikalahkan dengan cara telah pun tuan-tuan ketahui. Kelompok kami dianggap sebagai mengekang kelompok yg diketuai presiden kerana setiap kali mesyuarat kelompok ini datang dgn penghujahan yang cukup, sehingga presiden tidak dapat membuat keputusan dalam perkara dasar. Hakikat ini diakui okeh Ketua Dewan Ulama (intrview MM).

3. Betul juga kita kelompok 'kecewa'. Kita kecewa kerana sejurus kita kalah, sementara TGNA sudah tiada, PAS membuat pendirian berpisah dengan DAP, sekaligus berakhirnya PR. Mengkuburkan satu muafakat politik yang disuburkan sekian lama yang memberi manfaat yang besar kepada perjuangan Islam yang inklusif dalam sebuah mesyarakat majmuk.

4. Asalnya tiada sorang pun di kalangan kami mahu buat parti baru. Tak ada niatpun. Tapi pada 16 Jun di Johor, kami buat brainstorming, sebulat suara bersetuju meneruskan perjuangan TGNA, membawa Islam 'Rahmatan lil alamin' yang menaungi semua. Semua berasa selamat dan terbela di bawah lembayung 'Islam Untuk Semua'. Justeru cara terbaik untuk membawa mesej itu adalah dengan meneruskan tahaluf siyasi.

5. Kenapa kami tubuh wadah baharu, adalah kerana mahu mengangkat kembali agenda Pakatan Rakyat 2.0 utk depani persaingan sengit PRU14 akan datang.

6. Kalau persoalan hudud dijadikan sebab PR pecah, itu tidak tepat. Ketika metrai polisi bersama pada April 2008 pun tidak agenda hudud dalam 'Dasar-dasar Bersama atau 'CPF'. Sejak awal lagi tidak ada. Zaman TGNA masih ada, Karpal Singh masih ada. Bab hudud kita 'setuju untuk tidak bersetuju'. Kelantan boleh terus bentang dan rakan-rakan boleh kekal tidak setuju. Mengapa berubah sikap dan pendirian? Tentunya banyak lagi yang tidak difahami umum. Mengapa langgari perjanjian tahaaluf?

7. Kami berkeyakinan ini wadah politik Islam baru untuk menjadi satu penyelesaian kepada kemelut dan krisis yg didepani negara dan rakyat. Kami meyakini bahawa ini kehendak dan desakan rakyat untuk kami angkat semula PR 2.0 bagi berdepan kemelut kebobrokan pentadbiran negara pimpinan Najib Razak dan Umno-BN.

8. 1MDB meletakkan Malaysia 'sempurna' dalam krisis. Tiada lagi aspek dalam negara yang tidak berkrisis dan dalam kerentakan. Semua cabang kuasa yakni Legislatif dan Judisiari, dijerut dan dicekik pihak Eksekutif. Negara hampir lumpuh dan kegagalan sistem itu dicerminkan oleh keruntuhan nilai matawang ringgit negara.. Alahai!

9. Jadi inilah masanya, rakyat membuat perubahan bersama kami harapan baru sekaligus bersama Pakatan Rakyat 2.0 menumbangkan UMNO-BN.

-Team media GHB 


Saturday, August 15, 2015

GHB - APA PERANAN UNTUK NEGARA?


 A Shukur Harun ( gambar )
Dengan memuncaknya pelbagai krisis di dalam negara, terutamanya skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan serpihannya yang juga panas membara serta krisis lain maka rakyat semakin runsing, kecewa, malah lemas.


Bilakah krisis ini akan berakhir tidak ada siapa yang tahu, tetapi yang pasti nilai wang Malaysia semakin menurun, harga barangan terus naik dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sangat membebankan di samping pengangguran yang tentu meningkat dengan harga getah dan kelapa sawit terus juga menurun.

Lebih parah lagi apabila semakin ramai yang dibuang kerja akibat banyak syarikat ditutup di mana dunia perniagaan semakin muram. Ini menyebabkan rakyat merasakan kebimbangan yang amat sangat terhadap nasib anak cucu mereka disebabkan krisis ekonomi dan hutang negara terus meningkat.

Pemimpin politik bercakaran sesama sendiri. Saling mengampu dan menjatuhkan. Kegiatan ini sangat luar biasa.

Ada pula tokoh politik yang membisu kerana “kekenyangan”, tidak lagi pedulikan nasib rakyat yang terus tertekan.

Dalam masa yang sama kegiatan rasuah, penyelewengan semakin meluas yang melibatkan bukan saja golongan atasan, pertengahan bahkan sampai kepada golongan bawahan dan menjadi cara hidup yang sangat menakutkan.

Di sinilah dengan tiba-tiba rasuah menjadi “derma” dan pelbagai keanehan lagi berlaku, di mana krisis seberat ini tidak pernah berlaku selama ini.

Pengamal rasuah dan penyelewengan seperti serigala buas di hutan salji Siberia, membaham segala yang ada. Penguat kuasa terumbang ambing penuh dilema dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan.

Dalam masa yang sama orang-orang besar yang berkuasa kelihatan kaku dan membiarkan krisis ini tanpa berusaha untuk menyelesaikannya ataupun memang krisis ini sudah tidak boleh diselesaikan.

Demikianlah keadaan begitu serius sekali. Dalam masa yang sama, jarang terdengar suara para agamawan memberikan pandangan. Mereka “membisu” atau terlepas pandang masalah ini hingga tidak terdengar pandangan mereka baik melalui pelbagai kuliah yang mereka berikan, atau kenyataan terbuka. Kecuali beberapa orang, antaranya Datuk Dr Asri Zainal Abidin dan beberapa orang lagi.

Di tengah suasana gawat inilah, bakal lahir parti politik baharu – Gerakan Harapan Baru (GHB) – di mana nama rasminya akan diketahui bulan depan. Ia hendaknya benar-benar menjadi harapan rakyat dan sangat dinantikan kehadirannya.

Parti baharu ini akan mewakili golongan Islam sederhana, progresif dan terbuka. Namun pendekatan sederhana dan progresifnya tidak bermakna mengkompromikan dasar Islamnya.

Ia melindungi dan berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Ia amat peduli rakyat dam ramah, berakar tunjang Islam sebagai Rahmatan Lil-Alamin, yang akan menaungi bukan saja umat Islam, tetapi juga bukan Muslim dan berusaha memperlihatkan keadilan Islam dalam bidang yang lebih luas.

Parti politik baharu ini dijangka akan mengambil peranan pentingnya bersama PKR dan DAP dalam gabungan baharu parti pembangkang di Malaysia.

Berdasarkan tinjauan dan laporan yang diterima oleh parti baharu ini ternyata ia mendapat sambutan hangat rakyat pelbagai golongan. Road-show di seluruh negara sejak lebih sebulan lalu menunjukkan parti baharu ini mendapat sokongan luar biasa dari pelbagai pihak, khususnya golongan muda.

Tanda jelas ia bukan saja dialu-alukan oleh masyarakat bandar tetapi juga masyarakat luar bandar.

Sementara itu, pelbagai NGO seperti Ikram, Pasma, Abim, pelbagai badan pelajar dan bekas pelajar, NGO profesional dan lain-lain memberikan sokongan kepada GHB ini.

Dalam masa yang sama semakin ramai golongan agamawan muda yang berfikiran terbuka dan tidak jumud, tampil memberikan pencerahan, terutama mengenai kedudukan politik Islam dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini.

Mereka berusaha menjelaskan tasauwur Islam dengan lebih luas, berdasarkan pelbagai hujah al-Quran dan sunnah serta pandangan ulama muktabar. Agamawan muda ini semakin ramai yang memberikan sokongan dalam bentuk kenyataan terbuka, tulisan dan pelbagai wacana.

Semua usaha agamawan muda yang progresif ini sangat menolong usaha Gerakan Harapan Rakyat untuk mengetengahkan Islam yang syumul kepada rakyat pelbagai kaum.

Sementara itu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), GHB meneruskan momentum perubahan politik atas dasar tahaluf yang jujur dan komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan-rakan parti politik – PKR dan DAP, serta sinergi dengan mana-mana NGO dan segmen masyarakat merentasi garis ideologi.

Ia komited dengan politik baharu yang berpaksi kepada politik berasaskan ilmu dan akhlak, serta bersedia mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan dalam perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan.

Kini, pendukung GHB daripada pemimpin hingga aktivisnya bekerja keras untuk mempersiapkan GHB sebagai parti politik yang akan mengambil peranan penting dalam politik tanah air.

Jika segala-galanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan, maka ia akan menjadi rakan penting kepada PKR dan DAP dalam gabungan baharu parti politik pembangkang di negara ini.

Ramai berharap gabungan baharu parti pembangkang ini akan mengulangi kejayaan Pakatan Rakyat seperti dalam PRU2008 dan 2013 dulu. Bahkan ramai yakin GHB ini akan berjaya dengan sokongan 4.1 juta pengundi golongan muda seperti statistik PRU 2013 itu serta juga sokongan masyarakat sivil di negara ini

Suasana masa kini sangat berbeza dari masa lalu, maka dengan sokongan media baharu serta pemikiran baharu rakyat ia memberikan peluang cerah kepada gabungan baharu parti pembangkang ini untuk menjadi saingan utama Umno/BN.

Lebih-lebih lagi dengan suasana negara yang gawat sekarang, tenggelam dalam pelbagai krisis, maka ini memungkinkan gabungan baharu pembangkang menjadi pilihan utama rakyat dalam PRU akan datang.

Inilah masanya rakyat perlu melakukan perubahan menerusi demokrasi.

Thursday, August 13, 2015

SEBAB-SEBAB PAS BERPECAH


BAGAIMANA PAS BOLEH BERPECAH?


Perkembangan mutakhir ini, dengan kemunculan Gerakan Harapan Baru (GHB) telah menyebabkan ramai ahli PAS berada dalam keadaan kebingungan. Mereka tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku?

Mengapa PAS yang selama ini kelihatan kukuh bersatu dan sedang berada dalam kedudukan yang antara paling berjaya sepanjang sejarahnya, tiba-tiba bagaikan berpecah dua?


Bagi sebahagian ahli, soalan yang timbul dijawab secara mudah dan dengan kaedah menghukum seperti, “tiadanya keikhlasan”, “proses pembersihan”, “sifat munafik”, “kecewa” dan sebagainya.

Namun dijawab pula sebahagian yang lain bahawa, “mereka yang terlibat adalah orang-orang lama, lebih 30 tahun bersama PAS dan telah berkali-kali diuji dan terbukti keikhlasan mereka.

Sekiranya sebab-sebab seperti itu adalah puncanya, sudah pasti sudah lama mereka meninggalkan perjuangan ini”. Oleh itu ramai dari kalangan ahli biasa menolak penjelasan yang mudah seperti itu.

Saya terpaksa menjelaskan bukan sahaja yang tersurat tetapi juga yang tersirat. Mungkin bacaan saya tepat, tetapi mungkin juga sebaliknya, namun dalam usaha memahami keadaan yang telah berlaku, penjelasan yang saya kemukakan ini adalah, bagi saya, yang paling munasabah dan rasional.

Bibit-bibit perpecahan

Masalahnya pada hemat saya bermula selepas sahaja kemenangan tercapai dalam PRU 2008. Boleh dikatakan ianya merupakan ujian kemenangan buat PAS. Pada ketika itu, PAS dan PKR berada dalam Barisan Alternatif (BA).

Untuk menghadapi PRU 2008, telah diwujudkan persefahaman politik antara BA dan DAP demi mengelak berlakunya pertandingan tiga penjuru apabila berdepan dengan Umno/BN.

Tanpa dijangka, BA dan DAP telah mencapai keputusan yang begitu baik sehingga memungkinkan pembentukan kerajaan di lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Oleh kerana ianya tidak dijangka, maka PAS agak bercelaru menanganinya!

Sehari selepas keputusan diumumkan, terdapat pimpinan PAS yang telah mengatur pertemuan dengan pimpinan Umno. Yang sah dan nyata, cadangan membentuk kerajaan bersama Umno/BN telah dipertimbangkan untuk Selangor dan Perak.

Saya tidak dengar cadangan sama dipertimbangkan untuk Kedah. Mungkin untuk Kedah ianya tidak dianggap perlu atas sebab PAS adalah majoriti. Ianya juga tidak releven untuk Kelantan.

Di Pulau Pinang pula, jumlah kerusi DAP dan PKR mencukupi untuk pembentukan kerajaan. Maka tiada apa yang boleh dilakukan PAS kecuali untuk bersama.

Pemimpin utama PAS tidak selesa

Racangan bertemu pimpinan Umno ini mungkin atas sebab rasa tidak selesa pemimpin utama PAS dengan pilihan membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP di Selangor dan Perak. Pada ketika itu, di kedua-dua negeri tersebut, PAS mempunyai kerusi paling sedikit berbanding PKR dan DAP.

Pada masa yang sama, barisan pembangkang kesemuanya Melayu Islam dari Umno. Maka adalah dipercayai pimpinan utama PAS merasakan amat keliru untuk PAS berada di pihak majoriti bukan Melayu Islam berhadapan dengan pembangkang Melayu Islam.

Walaupun usaha rundingan ini telah akhirnya berjaya dipintas, namun sikap tidak selesa memerintah bersama PKR dan DAP dalam keadaan PAS tidak dominan terus menghantui pimpinan utama di dalam PAS.

Hasil dari itu, timbul pemikiran yang mempertikaikan kebijaksanaan pendekatan Pakatan Rakyat kerana ia memungkinkan PAS memerintah bersama tetapi dalam keadaan minoriti.

Namun rasa tidak selesa ini tidak dikemukakan untuk dibincang tetapi sebaliknya dipendam. Pada masa sama, para pemimpin ini mengulangi slogan “kukuhkan Pakatan” dalam setiap ucapan, walaupun hati mereka berkata sebaliknya.

16 September, kerajaan perpaduan

Di dalam kerangka pemikiran dan logik yang sama, maka cadangan September 16 anjuran DSAI ditolak pimpinan utama PAS. ‘Majoriti Islam Melayu’ adalah syarat yang tidak mampu dipenuhi pada ketika itu.

Mungkin hasil rasa tidak selesa ini juga, maka cadangan presiden PAS mengemukakan cadangan kerajaan perpaduan pada 2009 tanpa apa-apa perbincangan di peringkat PAS Pusat mahu pun Majlis Syura.

Mungkin cadangan membentuk kerajaan perpaduan ini dilihat sebagai satu-satunya cara untuk melepaskan PAS dari dilema bersama PKR dan DAP tanpa dominasi PAS.

Pada ketika itu kerusi PAS di Parlimen juga adalah yang paling sedikit berbanding rakan Pakatan Rakyat. Melalui kerajaan perpaduan, paling kurang, PAS dalam membentuk majoriti ‘Melayu Islam’ kalaupun tidak dapat mendominasi.

Akan tetapi segala perbincangan berhubung kerajaan perpaduan ini telah dipatahkan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sehingga akhirnya ianya ditarik balik secara rasmi.

Pemimpin utama PAS tidak boleh menerima sebuah kerajaan dengan PAS atau ‘Melayu Islam’ sebagai minoriti, di Parlimen dan di beberapa negeri, yang mungkin terbentuk melalui kemenangan Pakatan Rakyat.

Akan tetapi, ramai dari pimpinan PAS Pusat tidak melihatnya sebagai satu masalah yang mewajibkan PAS mempertimbang kembali keterlibatannya dalam Pakatan. Pada masa sama, ahli biasa semakin teruja dengan terbentuknya Pakatan. Ini terbukti melalui keputusan pemilihan muktamar PAS pada tahun 2011.

Pada muktamar 2011 saya sendiri telah dipilih sebagai AJK PAS Pusat setelah gagal beberapa kali sebelum itu. Kemenangan saya diyakini atas sebab sikap pro-Pakatan saya yang turut disokong perwakilan pada ketika itu.

Penyingkiran pemimpin pro-Pakatan

Pada ketika inilah, pada hemat saya, ada yang berpendapat, saf pimpinan AJK PAS Pusat perlu ditukar dengan yang tidak terlalu pro-Pakatan demi menangani masalah ini.

Pada masa sama, perlu juga ditimbulkan keresahan ahli terhadap keterlibatan PAS dalam Pakatan. Kalau tidak, maka hubungan PAS dan Pakatan akan benar-benar dikukuhkan dan dengan itu dilema pimpinan utama PAS akan berterusan.

Masalah ini ditangani melalui strategi serampang dua mata seperti berikut:

1. Pimpinan yang terlalu pro-Pakatan perlu dijatuhkan pada pemilihan Muktamar dengan apa cara sekalipun, termasuk pendekatan melabel dan fitnah

2. Hubungan antara PAS dan Pakatan perlu digodak sehingga ahli terpaksa pilih antara PAS atau Pakatan

Kempen fitnah bermula

Maka sejak selepas muktamar 2011, usaha dimulakan untuk menyebarkan kebencian terhadap pemimpin tertentu. Istilah “parasit”, “Anwarinas” dan “Erdogan” mula dipopularkan dan pemimpin yang disasarkan ini turut dikritik kerana “tidak menyokong idea kerajaan perpaduan yang dikemukakan presiden”. Mereka dituduh menolak konsep kerajaan perpaduan kerana “mementingkan kepimpinan dan politik DSAI lebih dari politik DS Presiden”.

Dalam muktamar PAS 2013, usaha untuk menjatuhkan pimpinan yang terlalu pro-Pakatan telah diusahakan tetapi menemui kegagalan. Kewujudan usaha ini telah didedahkan oleh Dr Hassan Ali melalui video masyhurnya yang dirakam di satu majlis di Melaka pada 2013.

Kegagalan ini menyebabkan berlakunya usaha yang lebih gigih ke arah pembersihan saf pimpinan dari anasir yang kononnya didakwa lebih setia kepada Pakatan berbanding PAS.

i) Pembersihan dalam Muktamar 2015

Dengan itu strategi yang lebih kemas telah disusun bagi menghadapi Muktamar 2015.

Langkah pertama dilakukan sebaik sahaja selesai muktamar 2013. Pesuruhjaya PAS negeri yang terlalu komited dengan Pakatan ditukar. Antaranya, Dr Rani Osman, yang memimpin PAS Selangor sehingga berjaya mencapai prestasi terbaik sepanjang sejarahnya dengan memenangi 15 kerusi DUN. Sambil itu muka baru turut dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Perak walaupun terdapat mereka yang lebih lama dan lebih layak.

Langkah kedua adalah perlaksanaan program dalaman parti yang menjalankan kempen memburuk-burukkan pemimpin pro-Pakatan. Program dalaman seperti Liqa’ Fikri, Liqa’ Siyaasi, Nekad dan sebagainya dianjurkan sepanjang hampir dua tahun dengan tujuan menanamkan kebencian ahli terhadap kelompok pemimpin ini.

Langkah ketiga, mempopularkan individu tertentu melalui program dalaman ini manakala pemimpin yang ingin ditolak terus diasak dan diserang dengan didakwa membawa fikrah menyimpang dari dasar Islam. Tuduhan bahawa kononnya ada usaha untuk menjatuhkan Presiden mula diuar-uarkan melalui program dalaman seperti ini.

Langkah keempat adalah untuk menguasai cawangan dan kawasan tertentu sebelum muktamar 2015 supaya usaha menukar saf pimpinan dapat dijayakan. Ini menjadi lebih mudah dengan kehadiran asatizah muda yang telah diasuh sejak 2009 dengan sikap tertentu. Mereka telah muncul sebagai pimpinan cawangan dan kawasan.

Langkah kelima dan terakhir, menghalang mereka yang ingin dijatuhkan dari bertemu dengan ahli melalui program parti. Program yang ingin diadakan oleh pimpinan ini pula dituduh “berniat berkempen” dan ditolak oleh pimpinan beberapa negeri. Namun pada masa sama, tetapi program untuk menjatuhkan pemimpin pro-Pakatan ini terus dianjurkan.

Lima langkah seperti di atas telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ianya tidak mungkin suatu kebetulan.

ii) Aduan kepada presiden

Apabila persoalan mengenai kempen jahat ini diadu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa mesyuarat AJK PAS Pusat, ia sekadar dijawab dengan penjelasan bahawa fitnah dan dakyah adalah “perkara biasa”.

Kemudian, disyorkan pula agar semua yang difitnah dan diberi gelaran menghina menerimanya sebagai “sumber pahala”. Pokoknya, bibit perpecahan disemai dan dibiarkan begitu sahaja.

Terdapat juga pimpinan yang “memfatwakan” bahawa label-melabel adalah “sunnah”. Mereka mengemukakan berbagai hujah untuk mempertahankan amalan terkutuk ini.

Yang paling mengelirukan adalah dakwaan bahawa Abdullah Azam telah berpesan supaya sekiranya ada sepuluh butir peluru, maka sembilan daripada adalah untuk pengkhianat dan hanya satu untuk musuh luar.

Walhal, Abdullah Azam menceritakan mengenai perjuangan untuk mencapai kemerdekaan menentang penjajah dan “pengkhianat” yang dimaksudkan adalah orang tempatan yang bersekongkol dengan penjajah, bukan ahli jemaah sendiri.

Tanpa berusaha untuk menghentikannya, media sosial dimanfaatkan untuk memperhebatkan lagi usaha dakyah dan fitnah terhadap pimpinan yang ingin dijatuhkan. Gelaran yang lebih serius diperkenalkan termasuk “liberal, sekular, plural, antihudud, antiulama” dan sebagainya.

iii) Usaha kemuncak

Pada muktamar 2014, istilah “barua” dan “broker” diperkenalkan oleh Datuk Seri Presiden sendiri. Melaluinya, pendirian Datuk Seri presiden yang jelas berpihak semakin terserlah. Datuk Seri presiden menggelar saf pimpinan yang sedia ada pada ketika itu sebagai “pilihan muktamar, bukan pilihan dirinya”.

Menjelang Muktamar 2015, Datuk Seri presiden mengeluarkan kenyataan sama ada “pilih pimpinan pilihan PAS atau pilihan DAP”. Juga disebut, “muktamar sebagai medan membersihkan PAS dari pemimpin sekular”.

Dengan usaha gigih yang dilakukan serta keterlibatan pimpinan utama sendiri, maka tidak hairan bahawa akhirnya matlamat pertama tercapai dengan cemerlangnya. Pimpinan yang ingin dijatuhkan dapat dijatuhkan secara setandan.

Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS (Bahagian II)

Dalam Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS (Bahagian I) saya telah menceritakan latar belakang bermulanya perpecahan dalam PAS dan sebab-sebab mengapa ianya berlaku. Seterusnya saya telah mendedahkan keinginan pimpinan utama untuk mengubah hala-tuju PAS atas sebab ketidak selesaannya berada di dalam PR. Akhirnya saya telah menyatakan bahawa untuk keinginan itu terlaksana, maka dua perkara perlu dilakukan. Pertama, saff pimpinan yang terlalu pro-PR perlu diganti dan kedua, sokongan ahli terhadap PR perlu dilunturkan.

Kaedah bagaimana saff pimpinan dijatuhkan telah saya dedahkan secara terperinci dalam Bahagian I. Dalam Bahagian II ini, saya ingin menjelaskan bagaimana sokongan ahli terhadap PR dilunturkan.

STRATEGI KEDUA: DIGODAKNYA HUBUNGAN PAS DAN PR

Sambil usaha dijalankan untuk menyisihkan saff pimpinan yang terlalu pro-PR, strategi untuk meyakinkan ahli bahawa PAS perlu keluar dari PR turut dilaksanakan. Ini diusahakan dengan mencetuskan perbalahan secara berterusan dengan PKR pada mulanya dan DAP kemudiannya.

FASA 1: PERTEMBUNGAN DENGAN PKR

Pada pilihan raya 2013 dengan tidak semena-menanya telah berlaku ‘drama’ Kota Damansara, tuduhan ‘pil kuda’ dan pertindihan di enam (6) kerusi. Suasana bersepakat yang selama ini tenang dan baik tiba-tiba bergolak seolah-olah tanpa sebab.

Kerusi Kota Damansara telah dipersetujui diperingkat Negeri dan Pusat sebagai kerusi milik PKR. Dr. Nasir yang menjadi ADUN sejak 2008 atas tiket PKR telah berkhidmat tanpa menerima sebarang aduan dari PAS Negeri Selangor, samada dari PAS Kawasan Subang ataupun Majlis Tindakan DUN PAS Kota Damansara. Tetapi secara tiba-tiba beliau dituduh “mempertuhankan Lenin dan Marx” dan oleh itu ahli PAS Subang menolaknya dan meletak calon PAS. Tindakan mereka yang disokong DS Presiden hanya memenangkan calon BN! Namun tiada kekesalan walaupun sedikit ditunjukkan mereka yang terlibat dengan menangnya calon UMNO sehingga ke hari ini.

Begitu juga dengan tuduhan adanya calon PKR yang jual pil kuda! Mengapakah tuduhan ini perlu dilakukan secara terbuka sebegitu rupa sambil pilihan raya sedang berjalan? Tidakkah lebih wajar ianya dijelaskan secara tertutup kepada PKR dengan dibawanya 2 orang saksi atau bukti lain? Tidakkah itu lebih selari dengan kehendak keadilan Islam tanpa dipalit mana-mana individu dengan tuduhan yang sembrono sebegitu rupa?

Berdasarkan tindakan sebegini, tidak salah sekiranya ada yang merumuskan bahawa ianya tindakan yang sengaja dilakukan untuk memulakan ketegangan antara PAS dan PKR!

Selepas sahaja PRU 2013, walaupun pencapaiannya membanggakan dengan PR memperolehi undi popular melebihi 50%, Dewan Ulama PAS Pusat telah mengadakan Multaqa Ulama pertama di mana diusulkan supaya tahaaluf siyaasi dikaji semula. Dalam usul itu, dicadangkan hubungan PAS dengan PKR dikaji kembali.

i) PR Merugikan PAS?

Keadaan di mana PAS kekurangan kerusi Parlimen dari 23 pada 2008 ke 21 pada 2013 digunakan sebagai hujjah betapa PR merugikan PAS. Sedangkan pengurangan tersebut berlaku hasil perbalahan dalaman PAS Kedah yang tidak ditangani dengan baik sehingga PAS bukan sekadar kehilangan 5 kerusi Parlimen di Kedah tetapi telah kehilangan kerajaan Negeri di Kedah!

Kehilangan kerajaan Negeri dan kerusi Parlimen di Kedah sebenarnya tiada kena-mengena dengan keberadaan PAS bersama PR. Ianya hasil perbalahan dalaman PAS sendiri tetapi seperti biasa, lebih mudah menuding jari pada pihak lain dari mengakui kelemahan sendiri. Pada masa sama, ianya digunakan sebagai alasan untuk memudahkan pencapaian agenda pimpinan utama iaitu menyalahkan PR.

Usul Multaqa Ulama pertama pada 2013 ini kemudiannya berjaya diketepikan dengan menyatakan istilah ‘kaji semula’ bermaksud ‘kaji semula untuk diperbaiki’. Ianya dapat diketepikan pada ketika itu kerana masih ramai AJK PAS Pusat yang pro-PR.

ii) Pertembungan Dengan PKR Ditingkatkan

Krisis MB Selangor pada 2014 merumitkan lagi suasana apabila DS Presiden berkeras ingin pertahankan TSKI sambil ramai dari pimpinan Pusat dan PAS Selangor sendiri menganggap sebaliknya. TSKI dianggap mempunyai kelemahan dalam pengurusannya dan isu cara penyelesaian hutangnya sebanyak RM56 Juta dengan BIMB turut dipersoalkan.

‘Langkah Kajang’ hasil penolakan terhadap TSKI meruncingkan lagi suasana. Pada ketika itu PKR dan DSAI dijadikan sasaran di ‘media sosial ahli PAS’ seperti FB ‘El-haraki’ dan pimpinan PAS yang menyokong penukaran MB dituduh boneka PKR.

Dalam menghadapi krisis ini Presiden PKR telah turut dihina secara terbuka oleh DS Presiden PAS. Sedangkan, semua memahami, kenyataan tersebut boleh dinyatakan secara tertutup sekiranya hubungan ingin dijaga. Walaupun dihina sedemikian rupa, PKR tidak bertindak balas kerana ingin menjaga hubungan PR.

Seterusnya, kemasukan DSAI dalam penjara berlaku tanpa sebarang tanda simpati atau pembelaan dari pimpinan utama PAS. Ada juga dari PAS yang menganggapnya sebagai ‘satu rahmat’ yang membebaskan PR dari ‘liabiliti’ DSAI! Yang kelihatan bersama DSAI di mahkamah terus dikeji dan dihina melalui media sosial pro-PAS sebagai ‘ahli PAS yang wala’ pada DSAI’.

Mungkin yang diharapkan adalah tindakan balas dari PKR sepanjang episod berbalah dengan PKR dilakukan. Malangnya bagi mereka, PKR tidak bertindak balas walaupun DSAI sendiri dilaporkan telah ditengking oleh dalam satu perjumpaan di Terengganu. Tanpa tindak balas dari PKR, apa yang dikehendaki tidak tercapai dengan sepenuhnya.

FASA 2 : PERTEMBUNGAN DENGAN DAP

>Krisis bersama DAP berhubung isu hudud pula dihadapi pada penghujung 2014. Ianya turut dimanfaatkan ke arah pencapaian matlamat yang diingini. Giliran untuk ‘pimpinan yang ingin dijatuhkan’ dituduh sebagai boneka DAP pula! Mereka yang sekian lama dituduh sebagai boneka PKR dibidas dan digelar sebagai boneka DAP pula kerana tidak membela DS Presiden apabila dikritik DAP.

Hakikatnya terdapat juga kesilapan dari pihak PAS sendiri dalam menangani persoalan ini. Semua sedia maklum bahawa krisis ini dicetuskan melalui tawaran yang dibuat seorang Menteri UMNO di Parlimen. Cara ianya disambut oleh pimpinan PAS sambil membelakangkan parti rakan dalam PR antara pencetus perbalahan. Pada masa sama ada juga persetujuan dan janji yang didakwa dimungkiri oleh pimpinan utama PAS.

i) Pertembungan Dengan DAP Ditingkatkan

Namun isu hudud ini lebih mudah diperalatkan untuk menimbulkan ketegangan antara PAS dan DAP. Ahli PAS akan melihatnya sebagai perbalahan yang wajar dan berasas. Amat patut untuk PAS memutuskan hubungan dengan DAP oleh keranannya mengikut pandangan ahli biasa.

Maka Multaqa Ulama kedua pada 2015 menimbulkan kembali kritikan terhadap PR tetapi kali ini disasarkan DAP. Usul Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat untuk memutuskan hubungan dengan DAP mengikuti sejurus selepas itu.

ii) Tercapainya Apa Yang Diingini

Maka akhirnya, selepas berusaha sejak 2008, demi menyelesaikan ‘ketidak selesaan’ pimpinan utama PAS, keputusan yang diingini tercapai melalui pemilihan Muktamar 2015. Pertembungan antara dua aliran pemikiran yang ingin mencorakkan hala-tuju politik PAS diselesaikan dengan kemenangan menyeluruh satu pihak.

Hala-tuju yang telah diikuti PAS selama ini, yang bersifat inklusif, ‘PAS for All’ serta kommited kepada PR, tidak lagi akan dipertahankan pimpinan PAS Pusat kerana hala-tuju itu bukan lagi pilihan DS Presiden dan MSU. Hakikatnya, hubungan DS Presiden dengan DSAI dan LKS sudah lama rosak dan oleh itu sudah tiada lagi sebarang kejujuran dalam hubungan bersama PR.

Malangnya kaedah yang digunapakai untuk mencapai perubahan pimpinan tidak merupakan kaedah yang telus dan jujur. Ianya tercapai melalui fitnah dan penyebaran kebencian terhadap pemimpin yang tidak dipersetujui mereka. Kempen fitnah dan kebencian ini mengharuskan juga amalan cai buat pertama kalinya di dalam sejarah pemilihan PAS.

Seterusnya melalui adu-domba yang sengaja diadakan antara PAS dan PKR pada awalnya, dan PAS dan DAP pada kemudiannya. Ahli PAS mula pertikaikan PKR dan lebih-lebih lagi DAP. Dengan itu sokongan terhadap PR itu sendiri telah dapat dilunturkan. Mereka yang kuat menyokong PR turut tidak lagi mendapat sokongan penuh seperti dahulu.

PEMBENTUKAN PARTI BAHARU

Dengan penguasaan menyeluruh oleh pihak yang ingin membawa perubahan hala-tuju, termasuk DS Presiden sendiri, maka pihak yang ingin meneruskan hala-tuju lama tidak mempunyai pilihan selain menubuhkan parti baharu. Dulu pandangan mereka dapat juga dikemukakan dan mempengaruhi perjalan PAS, tetapi dewasa ini pendekatan pilihan mereka telah ditolak Muktamar 2015 walaupun tanpa ianya dibahas. Yang dibahas sebaliknya adalah isu lain, seperti ‘anti-ulama’ dan ‘anti-hudud’. Sebenarnya kesemua isu ini adalah sekadar helah untuk menaikkan sentimen kebencian sambil matlamat yang diingini tercapai.

Penubuhan parti baharu yang akan meneruskan pendekatan lama ini terpaksa diusahakan oleh golongan yang telah difitnah. Dengan itu, paling kurang, imej perjuangan Islam yang inklusif dan terbuka, sebagai pembela nasib seluruh rakyat dapat mereka teruskan.

KESIMPULAN

Bagi diri saya, inilah sebenarnya punca perpecahan yang berlaku di dalam PAS. Perbezaan pendapat berhubung ‘wajibnya’ dominasi PAS atau ‘Melayu Islam’ adalah isunya! Malangnya ianya tidak dibincang atau dibahas, mungkin atas sebab ketidak-mampuan berhujjah, atau sangkaan buruk bahawa pihak satu lagi tidak akan menerima walau apa sekalipun hujjahnya! Sebaliknya pendekatan licik untuk menjatuhkan pimpinan dan mencorakkan pemikiran ahli dilaksanakan.

Hasil ketidak-telusan ini maka akhirnya ramai yang bertanya, apa sebenarnya hala-tuju politik PAS? Ramai tertanya-tanya samada PAS ingin bersama PR, bersendirian atau bersama UMNO/BN? Timbulnya soalan ini atas sebab dilihat PAS “cakap tidak serupa bikin”. Analisa saya berusaha untuk memberikan rasional terhadap tindakan PAS yang kelihatan amat bercelaru ini. Tidak dinafikan, bacaan saya mungkin betul, mungkin tidak. Tetapi ini sahajalah yang mampu dirumuskan berdasarkn bacaan dari yang tersurat dan yang tersirat. Ianya sesuatu yang sukar apabila terdapat pimpinan di dalam mana-mana organisasi yang tidak sanggup berterus terang berhubung apa yang dilihatnya sebagai ‘masalah’.

Perbahasan mengenai samada perlunya dominasi PAS dalam PR dan bagaimana pendekatan berbeza akan terhasil oleh kerana ‘syarat’ ini akan saya bincangkan dalam artikel yang berikutnya insyaAllah. Semoga Allah memberkati semua usaha kita ke arah menghayati agamaNya dan menzahirkan keadilanNya.

YB Khalid Samad
Ahli Parlimen Shah Alam

Wednesday, August 12, 2015

SURAT TERBUKA UNTUK PRESIDEN GHB

S
urat Terbuka Untuk Mat Sabu


Ke hadapan mantan Timbalan Presiden Pas, Tuan Hj Mat Sabu.
Terlebih dahulu, Salam Wala' buat tuan.

Maaf tok pinta sekiranya warkah pujangga ini bisa mengganggu tuan di dalam aktiviti tuan untuk mengusahakan Harapan Baru. Ada pun tok terpaksa mengirim warkah ini kerana tok ada terbaca seorang penyokong parti tok iaitu parti lama tuan juga yang mengirim warkah terbuka untuk tuan.


Tujuan warkah ini tok kirimkan hanyalah kerana untuk memperkuatkan surat sahabat tok itu yang mahukan tuan memikirkan kembali untuk mewujudkan parti baru dan kembalilah semula kepada kami. Tok ingin mengariskan beberapa faktor dan hujah yang kukuh lagi syarie mengapa tuan wajib kembali bersama jemaah syurga ini. Faktor-faktor tersebut adalah;

1. Tuan tidak perlu risau dan susah hati lagi untuk menjadi wakil presiden setiap kali Mesyuarat PR dan kemudiannya keputusan mesyuarat tersebut ditolak oleh Presiden kerana tuan tidak lagi menjadi Timbalan Presiden. Kini kita akan serahkan kepada Ustaz Tuan pula meneruskan jihad tuan sebelu ini.

2. Kami tetap akan menjemput tuan untuk memberikan ceramah anjuran kami kerana tuan adalah aset untuk memenuhkan tabung2 milo kami yang kini semakin gersang.

3. Tuan tidak lagi perlu bersusah payah memikirkan tentang Hudud kerana isu Hudud ini telah kita serahkan kepada amno untuk mereka lakukan. Kami yakin amno pasti sokong Hudud kerana Adun2 mereka di Kelantan baru2 ini menangis teresak2 dan merengek mahu kepada Hudud. Samada tahun ini Hudud dilaksanakan atau tahun depan hatta sehingga kiamat sekalipun kita redha menanti.

4. Sekiranya tuan kembali ke pangkuan kami, tuan tidak perlu lagi bersusah2 untuk berdemo sehingga ditangkap dan dilokap kerana guru kita telah pun 'menfatwakan' jangan jadi bodoh untuk berdemontrasi. Tuan akan relaks dan tenang nanti.

5. Tuan harus memikirkan dengan serius, apakah yang tuan dapat bila berkawan dengan Dap? Adakah Lim Guan Eng atau Kit Siang itu pernah bermimpi berjumpa Nabi? Tapi sekiranya tuan kembali bersama jemaah kami, tuan mesti berbangga kita mempunyai orang Islam seperti Tar snake yang telah bertemu para2 sahabat Nabi, lebih menggembirakan kita, di dalam kelab penyokong bukan Islam kita pun ada yang telah bermimpi bertemu Nabi berkali2. Ini tiada di dalam Dap atau PKR.

6. Tok ingin ingatkan tuan, seandainya tuan berkeras untuk berada bersama PKR atau Dap atau Harapan Baru, tatkala tuan bertanding di dalam Pilihanraya nanti, tidak mustahil tuan akan dituduh sebagai pengedar pil kuda walaupun nama tuan tidak disebut. Tentulah tuan akan merasa aib, bukan?

7. Adakah tuan tidak yakin akan kekuatan parti tuan yang lama? Tok boleh buktikan bahawa kita kuat. Kita pernah memerintah Terengganu Sepenggal. Kedah juga kita dapat sepenggal. Di Kelantan, kita masih memerintah walaupun di dalam PRU13 yang lalu kita hilang 6 Kerusi tetapi itu tidak menjadi masalah kerana kita hanya perlukan keredhaan Allah.

8. Tok faham tuan mahu lari dari jemaah tok bukan kerana tewas di dalam pemilihan parti kerana tok tahu tuan kerap tewas di dalam pertarungan yang lebih besar iaitu di dalam Pilihanraya dan tuan waktu itu tetap bersama jemaah. Tuan sanggup tinggalkan kawasan atau kubu tuan di Kedah waktu itu untuk bertanding di mana2 saja yang diarahkan oleh guru kita. Guru kita pun tidak pernah berani keluar dari kawasannya di Marang, tetapi tuan berani. Maka, elok benarlah tuan kembali kepada kami kerana mudah untuk kami arahkan tuan bertanding di mana2 seperti dahulu dan ini sedikit sebanyak akan menambahkan pahala jihad tuan. Tidakkah ini menguntungkan tuan?

9. Apalah gunanya tuan bersama YB Khalid Samad? Apakah Khalid samad itu lebih hebat dari Nik Abduh atau Tontowi? Apakah Khalid samad tahu tentang pengadil bola? Tok tahu tuan peminat bolasepak, maka inilah peluang untuk tuan mendapatkan pandangan darihal bola melalui MP Pasir Mas kita yang berkaki lebar itu.

10. Percayalah tuan. Amno yang tuan bencikan sangat itu tidaklah seteruk Firaun. Dap lebih teruk dari Firaun kerana Dap lah yang merampas royalti minyak di dua negeri Melayu iaitu di Kelantan dan Terengganu. Di negeri guru kita sendiri, adakah tuan lupa Dap yang meruntuhkan Masjid Kg Bujal? Kedua2 negeri ini adalah kubu kuat parti kita, mengapa Dap khianat? Mengapa tuan harus bersama Dap? Pembunuhan di Memali, adakah tuan lupa betapa zalimnya Dap? Sewajarnya lah tuan tinggalkan Dap dan kembalilah kita bersama untuk memperkuatkan jemaah kita sekaligus memperkuatkan amno.

Yang Dihormati Tuan Mat Sabu,

Cukuplah setakat ini tok menulis warkah nan usang ini. Bukan niat tok untuk mengguris perasaan tuan, tetapi tok hanya mahu melihat tuan masuk syurga. Tok menulis ini bukan kerana tuan, tok menulis ini adalah jihad. Sekiranya tok mati di dalam keadaan menulis ini, mati tok adalah jihad.

Sekian dulu warkah dari tok, semoga tuan dapat beristikhorah dengan semua yang tok nyatakan di atas. Maafkan tok sekiranya warkah ini bisa membuatkan tuan menitiskan air mata kerana sesungguhnya setiap titisan air mata tuan itu, satu mahligai di syurga, InsyaAllah.

Sekian, Wassalam.

Tok Usin UG Ceroi
Pengarang Kitab "Label Lil Insani" 

Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA