Sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan khususnya setahun kebelakangan
ini, rakyat telah digesa untuk akur menerima cukai baru ini yang
dikhabarkan efisyen demi kelangsungan ekonomi negara.
Malahan,
Rang Undangundang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah pun
diluluskan di Parlimen dengan majoriti 118 ahli Parlimen BN menyokong
penuh rang undangundang yang akan membebankan rakyat itu.
Bagi
Pensyarah Universiti Industri Selangor (UNISEL), Prof Madya Dr Mohd
Fuad Salleh dalam satu wacana GST dan TPPA di MPAJ pada 12 April lalu
menekankan betapa keputusan meluluskan RUU GST di Parlimen itu
menunjukkan kerajaan langsung tidak mahu memikirkan beban yang dihadapi
rakyat ketika ini. Malah bagi Dr Fuad, kehadiran anggota Parlimen BN
untuk ‘menyerang’ dan membuat kacau di parlimen hingga perbahasan RUU
GST tidak dapat berjalan dengan baik menggambarkan bertapa ahli-ahli
Parlimen BN hanya menjadikan Parlimen sarkas untuk mereka membodohkan
rakyat.
“Saya amat kesal, bagaimana mereka ini langsung tidak
memikirkan untuk membela rakyat.Malah mereka ini hanya menjadi pengacau,
langsung tiada kualiti dan tidak memperlihatkan daya intelek yang
tinggi selaku wakil rakyat,” katanya dalam wacana tersebut.
Rang
Undang-undang GST yang telah lulus akan dilaksanakan pada April 2015,
dan rakyat akan masuk kepada fasa baharu dalam rejim ekonomi jahat BN
yang tidak akan bersimpati lagi dengan poket kosong rakyat.
Setiap isi kantung rakyat semuanya telah tertulis dan diaktakan bahawa 6
peratus daripadanya adalah milik kerajaan dan kroni yang akan membina
sistem pungutan GST.
Pelbagai usaha berbentuk promosi yang
menelan belanja ratusan juta telah diperhabis demi memberi kefahaman
kepada semua betapa GST itu kononnya tidak membebankan rakyat.
Lagu GST dicipta dimainkan di televisyen dan corong radio, papan
billboard diwarnai dengan kebaikan GST, pelbagai poster dilekat di
bermacam tempat awam termasuk dalam LRT dan Tren, dan pelbagai lagi
kaedah promosi dengan tujuan untuk menghasut rakyat menerima GST.
Tiris, siapa bersalah?
Namun rakyat pula saban hari didedahkan dengan pelbagai ketirisan,
pembaziran, rasuah dan perilaku tidak amanah dalam pentadbiran kerajaan.
Sementara umum mengetahui bahawa kerajaan sering menanggung kerugian
dari setiap keputusan kurang bijak dalam memberi tender, akhirnya kos
tambahan bernilai ratusan juta ringgit terpaksa dikeluarkan.
Antaranya adalah akibat dari kelewatan kontraktor menyiapkan projek,
bangunan tidak siap dan bangunan rosak atau runtuh, yang menyebabkan
wang rakyat terus mengalir di saluran yang tidak sepatutnya.
Seperti kata Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),
Edy Noor Ridzuan bahawa promosi GST besar-besaran itu tidak mampu
mengambus rencana pentadbiran sebuah kerajaan yang sangat lemah dan
menghabiskan wang rakyat.
Laporan audit setiap tahun juga tidak
menampakkan perubahan positif. Dilaporkan lima kementerian iaitu
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan,
Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam
Negeri akan dipanggil dengan 121 kes pula berkemungkinan berdepan
tindakan.
Persoalannya, adakah setiap kali kes sedemikian dibawa
ke muka pengadilan, apakah menteri, timbalan menteri atau perdana
menteri sendiri akan dihadapkan kepada siasatan seterusnya diheret ke
mahkamah?
Ikan bilis sahaja didakwa
Setiap
tahun kita hanya mendengar mereka yang bergelar pegawai, kerani dan
pengarah kecil jabatan kerajaan yang diheret ke mahkamah, sementara
kes-kes melibatkan menteri semuanya akan berakhir dengan menteri bebas
tuduhan rasuah, mahupun penyelewengan.
Perkembangan terbaru yang
menggemparkan parlimen baru-baru ini menjelaskan konsep wasattiyyah yang
dilaung oleh Perdana Menteri adalah songsang.
“Kita sering
dengar pembaziran isteri PM, kali ini hasil pendedahan seorang cikgu,
dapat diketahui bagaimana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan keluarganya pula beraksi melampias wang rakyat di Dubai,
Emeriah Arab Bersatu, kata Edy Noor dalam satu pendedahannya kepada
Harakah 14 April lalu.
Edy Noor lantas merujuk kepada jadual
perjalanan TPM merangkap Menteri Pendidikan di Dubai dari 8-13 April
2014, urusan rasmi hanya sekitar 3-4 jam sahaja iaitu pada 9 April 2014.
Apakah baki empat hari lagi dihabiskan di atas padang golf di Dubai?
Dalam jadual yang sama, tertera perkataan ‘private program’ dan ‘free
program’ pada tarikh 10, 11 dan 12 April sebelum kepulangan Muhyiddin ke
Malaysia pada 13 April.
“Apakah segala perbelanjaan, penginapan,
tiket-tiket penerbangan delegasi TPM dan keluarganya selama 6 hari dan 5
malam di bumi bertuah UAE terpaksa ditanggung oleh duit rakyat?” soal
Edy Noor lagi.
Apa yang didedahkan itu merupakan contoh suatu pembaziran yang telah disusun dan dihalalkan kerajaan memerintah.
Modus operandi pergi ke luar negara untuk urusan rasmi, sambil bercuti
sakan. Ini bukan hanya berlaku di kalangan PM dan TPM, tetapi ia berlaku
di kalangan semua menteri, menjadi satu kemestian, menjadi satu acara
wajib tahunan.
Di atas pembaziran yang melampau, di atas
ketirisan yang tidak berkesudahan, bagaimana rakyat mahu menyerahkan
wang baki poketnya untuk membayar cukai GST?
Benar, sememangnya
GST adalah cukai yang telus dan efisyen, tetapi apa yang rakyat Malaysia
perlukan hari ini ialah kerajaan yang telus dan efisyen.
Jika
kerajaan tetap bertegas melaksanakan GST, maka saranan SAMM dan seluruh
kepimpinan Pakatan Rakyat bahawa rakyat juga perlu bertegas untuk
menyambutnya di jalan raya, pada tanggal Hari Buruh 1 Mei 2014.
Oleh WAN NORDIN WAN YAACIOB - eshan Detikdaily.
No comments:
Post a Comment