Apabila kita melihat pemandangan-pemandangan yang indah dan damai tentu
hati kita berdetik; alangkah bahagianya kalau dapat pergi atau tinggal
di tempat-tempat tersebut. Di situlah ketenangan dapat diperolehi, di
situlah kebahagiaan dapat dikecapi. Paling tidak pun, itulah yang lazim
dirasakan oleh sebahagian besar manusia.
Maka menujulah manusia ke pantai-pantai yang permai mencari apa yang mereka namakan sebagai ketenangan. Menjelajahlah manusia ke hutan rimba, ke dataran hijau dan ke bukit serta gunung yang tinggi demi mendapatkan ketenangan yang mereka cari.
Begitulah hakikat fitrah kemanusiaan yang memerlukan hiburan ketenangan, setelah hidup mereka dipenuhi dengan seribu macam kesibukan. Tapi benarkah wujud ketenangan di tempat-tempat yang dikejarkan oleh mereka ini? Di situkah wujud kebahagiaan yang mereka dambakan saban waktu?
Kalau benarlah ketenangan itu berada di tempat-tempat yang indah dan permai, kenapa ada juga manusia yang memiliki ketenangan yang paling hakiki, walaupun kehidupannya hanya dikelilingi lautan pasir dan dipayungi terik mentari?
Siapakah manusia yang paling tenang hatinya kalau bukan Nabi Muhammad s.a.w.? Dan bukankah hayat baginda hanya berlegar di padang pasir. Tidak pernah baginda menyelam ke dasar lautan Pasifik melihat keindahan hidupannya. Tidak pernah baginda menjelajah hingga ke Eropah atau Asia Tengah; bumi yang penuh dengan flora dan fauna yang kita idam-idamkan peluang untuk ke sana.
Dalam keadaan hidup baginda yang di kelilingi padang pasir itu pun, ketenangan yang hakiki berjaya baginda dan para sahabat perolehi. Justeru, di manakah wujud ketenangan itu sebenarnya?
Kalau pun kita diberi peluang untuk ke tempat-tempat yang indah dan permai itu dan di sana kita merasai ketenangan yang kita harapkan, adakah berkekalan rasa tenang itu apabila kita meninggalkan tempat tersebut? Lazimnya tidak. Bahkan kalau memang kita ditakdirkan bermastautin di tempat itu, pastikah ketenangan itu akan berterusan? Jawapannya juga tidak. Buktinya?
Cuba perhatikan, sejak lahir, kita hidup di bumi Malaysia, yang akhirnya kita merasa bosan dengan suasana flora dan fauna negara sendiri, padahal ribuan pelancong dari tempat-tempat yang menjadi idaman kita itu memuji-muji keindahan negara ini. Mengapa mereka ke sini pula, padahal tempat merekalah yang kita rasakan lebih indah dan permai suasananya?
Fikirkan. Kenapa mereka mencari ketenangan di sini, sedangkan kita pula merasakan ketenangan itu berada di tempat mereka sendiri? Cuba halusi kembali. Di manakah sebenarnya ketenangan yang dicari-cari?
Ramai yang menyangka bahawa dengan berada di tempat-tempat seperti itulah ketenangan dapat diperolehi dan kebahagiaan dapat dikecapi. Namun hakikatnya ketenangan itu tidak wujud di mana-mana pun, tapi ia sebenarnya berada di dalam hati.
Walau di mana sekalipun kita berada, sebenarnya ketenangan itu sangat dekat dengan kita. Walau hidup kita di dalam gua yang tertutup tanpa cahaya atau hidup di kelilingi dengan hiruk pikuk kesibukan kotaraya, ketenangan itu tetap dapat kita perolehi. Kerana syarat untuk tenang itu bukannya ke pantai, ke bukit atau ke hutan. Tapi syarat ketenangan itu ialah mengingati Tuhan. Maksud firman Allah; “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itulah hati akan tenang.” (Surah Al-Ra'd 38)
Itulah rahsia ketenangan. Pintunya di hati. Dan kuncinya mengingati. Dan yang diingat itu ialah Tuhan Yang Maha Suci. Lihatlah apa sahaja di depan matamu dan kalau yang dilihat itu diperhati dan yang diperhati itu dihayati dan yang dihayati itu difahami akan hakikatnya, kemudian segalanya dapat membawa hati mengingati Allah, maka akan lahirlah ketenangan.
Melihat manusia yang berbagai rupa bangsa, kemudian mengkagumi kebijaksanaan Tuhan, maka hati akan tenang. Melihat kenderaan lalu-lalang, kemudian memuji kehebatan Tuhan atas ilmu yang Dia ilhamkan pada manusia untuk mencipta kenderaan itu, maka hati akan tenang.
Melihat kemusnahan dan pencemaran kotaraya, kemudian menginsafi ketentuan Tuhan terhadap kehancuran dunia (kiamat), maka hati akan tenang. Melihat manusia dengan segala macam ragam; ada yang kuat ibadatnya dan ada yang hebat maksiatnya, kemudian menangisi dan memohon keuzuran dari Tuhan atas kesilapan diri sendiri, maka hati akan tenang.
Begitulah yang disuruh oleh Tuhan. AlamNya terbentang luas bukan untuk dipandang, tapi diperhati. Bukan untuk dilihat, tapi dihayati. Bukan untuk direbut, tapi dimanfaati. Maksud firman Allah;
“Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan bumi, dan silih pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran 190)
Itulah tujuan alam dicipta. Tuhan lahirkan kita merata di seluruh dunia. Biarlah di mana pun kita berada. Kalau pun tempat kita ditakdirkan lahir itu adalah tempat yang dipenuhi dengan kehancuran akibat peperangan atau malapetaka alam, ketahuilah! Tuhan itu tetap adil.
Dia tidak menetapkan syarat ketenangan itu mesti berada di tempat yang indah permai, tapi yang Dia telah tentukan ialah; untuk tenang itu, hati mesti mengingati DiriNya. Itulah syarat ketenangan yang menjadi impian setiap insan. Yang pasti, tiada siapa yang hanya mahu ketenangan yang bersifat sementara. Justeru, ingatlah Tuhan, dan selama mana ini dilakukan, insyaAllah hati akan tenang.
dirihamba.blogspot
No comments:
Post a Comment