Dua menteri Umno sudah menunjukkan mereka mahu keluar daripada Kabinet
menjelang rombakan pada Jun, membayangkan peningkatan kejengkelan
terhadap tanggapan tiada arah tuju dalam kerajaan, kata sumber dalaman
parti.
Ia sekurang-kurangnya membabitkan seorang menteri
dalam pasukan ekonomi Putrajaya, yang berdepan dengan isu potongan
subsidi, konsesi kenderaan import dan rundingan pakatan perdagangan
Pacific Rim.
“Mood di Putrajaya muram. Sekurang-kurangnya dua menteri mahu cepat
keluar daripada kerajaan Najib,” kata seorang ahli politik Umno kepada
The Malaysian Insider, merujuk kepada presiden parti dan perdana
menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Pencarian untuk menggantikan tempat itu kini bermula tetapi kekurangan
bakat. Kita mempunyai sedikit sangat menteri atau ahli politik yang
berkelayakan,” katanya.
Pasukan ekonomi Najib merangkumi dirinya sendiri sebagai menteri
kewangan 1; Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai menteri kewangan
II; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamad; penasihat ekonomi, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan
Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad Husni dan Abdul Wahid mendiamkan diri sejak kebelakangan ini
selepas Putrajaya membuat keputusan menarik balik kenaikan kadar tol
yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
apabila beliau berkata kerajaan akan membayar RM400 juta kepada pemegang
konsesi tol sebagai ganti rugi.
Mustapa dan kementeriannya menjadi perhatian kerana masih belum lagi
memuktamadkan sistem Permit Import (AP) untuk kenderaan, yang semakin
meningkatkan harga, dan kerana masih berbincang dengan rakan kongsi
dalam Pacific Rim untuk membentuk Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik
(TPPA).
Perdana menteri masih boleh menambah seorang lagi timbalan menteri
dalam Kementerian Kewangan, ruang yang disimpan untuk MCA kerana parti
komponen senior Barisan Nasional (BN) itu mengambil keputusan untuk
tidak menyertai kerajaan berikutan kekalahan teruk dalam pilihan raya
tahun lalu.
Seorang pakar strategi Umno berkata, kemasukan MCA tidak akan memberi
kesan besar terhadap kerajaan Najib, yang berdepan dengan perang
prasangka lebih besar selepas pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy
meletakkan jawatan secara mengejut sebagai timbalan menteri, minggu
lalu.
“Kabinet seperti sudah tidak ada calon dan MCA tidak terlalu menonjol, maka kemasukan mereka nanti tidak akan mengubah apa-apa.
“Kerajaan perlu cepat keluar daripada kesuraman ini dan bekerja kuat.
Mereka tidak akan kehilangan apa-apa sehingga pilihan raya akan datang,”
katanya.
Pengkritik berkata, pentadbiran Najib gagal meredakan peningkatan
ketegangan perkauman dan agama dalam negara, terutama di Pulau Pinang
dan Selangor yang ditadbir oleh pembangkang.
Katanya, polis berjanji untuk bertindak tetapi setakat ini, hanya pemimpin pembangkang yang berdepan dengan cabaran besar.
Najib juga berdepan dengan kritikan daripada parti Umno sendiri,
terutama golongan veterannya, yang percaya bahawa perdana menteri perlu
melakukan lebih lagi untuk memotong perbelanjaan, bukan semata-mata
potong subsidi.
“Kerajaan memerlukan kepimpinan lebih tegas dan lebih memahami apa yang
berlaku dalam Malaysia. Mereka kelihatan seperti tidak tahu dan
kadang-kadang, nampak tidak peduli.
“Mungkin itu sebabnya mereka mereka berperasaan muram. Mereka tiada
arah, tiada petunjuk dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk
memastikan Putrajaya terus berkuasa,” kata seorang ahli Umno.
~ The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment