Ada Berita Baik!! Dari YB Khalid Samad
Hari Raya Kedua: Bertemu Tun Musa Hitam
Pada Hari Raya kedua,
seperti kebiasaan saya bersama keluarga beraya di rumah Bapa Saudara
saya iaitu Dato Zaidan Othman. Beliau adalah adik lelaki ibu saya. Semua
ahli keluarga berkumpul di situ termasuklah abang saya Tan Sri Shahrir
bersama bapa serta emak saudara dan sepupu saya. Walaupun hubungan
kekeluargaan kami semua adalah baik, seperti biasa, mereka yang pro-PR
akan lebih bersama saya dan yang sebaliknya akan lebih bersama dengan
abang saya. Hanya kali ini ada sedikit kelainan apabila muncul Tun Musa
Hitam dan keluarganya bersama!
Rupa-rupanya Tun Musa
Hitam adalah kawan baik Bapa Saudara saya Dato Zaidan. Tun merupakan
pengapit semasa Dato’ Zaidan bersanding dan adalah junior setahun kepada
beliau. Katanya, semasa kelam kabut pada hari persandingan, Dato Zaidan
terlupa mengikat tali kasutnya dan beliau terpaksa melutut untuk
mengikatkan tali kasut sahabatnya itu. Malahan, seperti kebiasaan pada
masa itu, pengapit terpaksa bermalam bersama dengan bakal pengantin
lelaki pada malam sebelum persandingan! Takut pengantin lelaki lari kut?
Tun juga turut
bersalaman dengan saya dan duduk di kerusi bersebelahan saya. Dia
menceritakan hal dirinya dan menyatakan bagaimana pada tahun 1986
merupakan tahun yang amat mencabar bagi dirinya. Penceraiannya dengan
isterinya yang dari berasal dari Peru dan juga tekanan politik yang
terpaksa beliau hadapi sungguh hebat. Saya pun terus bertanya, “mengapa
Tun berundur dan tidak melawan apabila Dr. Mahathir berusaha menjatuhkan
Tun?”. Tun Musa menjawab dengan nada yang selamba, “kalau saya lawan,
maka saya pasti akan dituduh seorang homoseksual malahan mengadakan
hubungan seks dengan binatang dan lain-lain. Kamu tidak kenal dia (Dr.
M) sepertimana saya. Pada masa itu juga saya tidak ada kekuatan
kewangan. Duit semua dipegang oleh Daim.”
Selepas makan dan
sebelum Tun ingin meninggalkan rumah bapa saudara saya, beliau
menguatkan suaranya dan berkata secara seloka, “saya tidak tahu apa yang
akan berlaku dalam pilihan raya yang akan datang, tetapi di Lembah
Klang saya ingin melihat kamu menang”, sambil menunjuk ke arah diri
saya, “dan di Johor pula, Shahrir seorang sahaja yang menang!” Kami
semua yang mendengarnya tergelak. “Shahrir seorang sahaja (dari BN)
menang?” tanya saya. “Itu sudah pasti tidak senang didengari oleh Dr.
Mahathir!” kata saya lagi. Tun tersenyum dan berkata, “I won’t tell you
who I voted for in the last election”.
Zaman berubah seperti juga manusia.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
No comments:
Post a Comment