Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Wednesday, May 23, 2018

1MDB - NAJIB n JHO LOW TEPERANGKAP


TERGAMAM seluruh rakyat Malaysia apabila ringkasan laporan audit 1Malaysian Development Berhad (1MDB) didedahkan oleh Ketua Audit Negara susulan arahan kerajaan yang baharu.

Siapa yang tidak terkejut dengan angka-angka hutang yang tertera. Lebih parah, kebanyakan laporan audit berkenaan menyamai tuduhan Jabatan Peguam Negara Amerika (DOJ) sejak 2016 dan 2017 lagi.

Tidak menghairankan, seluruh negara kini mengecam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menyokong sepenuhnya siasatan menyeluruh yang diambil pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang segera menggeledah kesemua premis kediaman beliau.

Namun demikian, dalam menilai kes 1MDB ini rakyat Malaysia perlu mengetahui bahawa Najib Razak sebenarnya seorang ‘kleptokrat’ yang turut telah diperangkap oleh satu kuasa dunia yang bukan calang-calang: China.

Najib ada Jho Low

Benar, Najib masih perlu dibicara dan dibuktikan sebagai seorang Kleptokrat – iaitu seorang pemimpin yang merompak harta negara dan menjadikannya sebagai harta peribadi – namun beliau tidak keseorangan dan beliau bukanlah perancang utama kesemua transaksi 1MDB yang melarikan wang rakyat Malaysia ke seluruh dunia. Individu yang bertanggungjawab ialah Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

 Benar, sifat tamak berkemungkinan besar telah mendorong tindakan kleptokrasi Najib. Namun apa yang lebih dahsyat lagi ialah akibat berantai daripada kleptokrasi Najib tersebut yang mengundang tekanan DoJ Amerika dan seterusnya ‘penggadaian’ sebegitu banyak kepentingan negara ke tangan China.

Bagaimana China memerangkap Najib Razak melalui Jho Low? Apakah kaitan antara Jho Low dan 1MDB? Apakah hubungkait antara Jho Low dengan China?

Rakyat Malaysia perlu mengetahui bahawa Jho Low bukan sehari dua mengenali Najib Razak, sebaliknya sudah bertahun-tahun – melalui persahabatan Jho Low dan anak tiri Najib iaitu Riza Aziz (anak Datin Seri Rosmah Mansor). Mereka mengenali antara satu sama lain ketika sama-sama menuntut di luar negara.

Bukan kebetulan bahawa Jho Low memainkan peranan penting dalam penubuhan syarikat asal 1MDB pada 2009 – iaitu syarikat pelaburan strategik kerajaan Negeri BN Terengganu ketika itu, Terengganu Investment Authority (TIA).TIA ditubuhkan sejurus selepas Najib Razak dilantik menjadi Menteri Kewangan di penghujung era Tun Abdullah Badawi.

Apabila Najib Razak naik ke posisi Perdana Menteri, TIA yang tidak lagi mendapat komitmen kerajaan BN Terengganu telah dijadikan sebagai syarikat milik kerajaan persekutuan dan dinamakan sebagai 1Malaysian Development Berhad (1MDB). Meskipun Jho Low tidak lagi memegang posisi rasmi dalam 1MDB yang baharu, namun beliau terbukti memainkan peranan besar di balik tabir.

Bermodalkan hanya RM1 juta dan jaminan kerajaan, 1MDB telah ‘berjaya’ menghimpunkan sebegitu banyak aset dan hutang dalam masa yang sama. Aset 1MDB kebanyakannya dalam lapangan tenaga seperti telaga minyak serta loji penjana kuasa dan hartanah.

Kebanyakan pemerolehan aset ini boleh dikenalpasti sebagai berhubungkait dengan Jho Low di mana bukti jelas menunjukkan hubungan rapat beliau dengan Najib Razak dan juga usahawan Arab, disamping Putera Arab Saudi yang bernama Putera Turki.Gambar percutian Najib sekeluarga bersama Jho Low, usahawan Arab, dan Putera Arab di atas kapal mewah tersebar luas.

Kontroversi besar mulai timbul apabila beberapa siri transaksi pembayaran 1MDB dilakukan ke beberapa akaun yang meragukan – disokong pula fakta pembelian dan pelaburan aset besar-besaran yang dilakukan oleh Jho Low di luar negara.

Rakyat Malaysia penjamin hutang

Akibatnya, kerajaan Malaysia (baca: Rakyat Malaysia) yang menjadi penjamin terpaksa membayar hutang dan faedah (riba) 1MDB kepada syarikat gergasi seperti IPIC (UAE) yang membeli bon pinjaman 1MDB sedangkan pembayaran yang didakwa telah dilakukan 1MDB entah ke mana. Bahkan Audit kewangan 1MDB tidak dilaporkan kepada umum untuk tempoh beberapa tahun.

Maka Tahulah rakyat Malaysia bahawa perbelanjaan luar biasa mewah Jho Low di luar negara seperti berparti bersama Paris Hilton, menghadiahkan barang kemas mewah kepada model Miranda Kerr, dan pembikinan filem separa lucah ‘Wolf of Wall Street’ oleh anak tiri Najib, (rakan Jho Low sejak zaman belajar) adalah berpunca daripada wang 1MDB yang dimasukkan ke akaun yang meragukan tadi – istilah mudahnya ‘penggubahan wang haram’.

Jho Low jelas sekali merupakan suspek broker penting membantu Najib Razak melarikan wang 1MDB untuk dilaburkan di luar negara. Tidak terhenti setakat itu, tidak kurang daripada tujuh negara telah memulakan siasatan ke atas transaksi dan peredaran dana 1MDB ke seluruh dunia apabila DoJ Amerika bertindak pada 2016.

Perangkap China ke atas 1MDB dan Najib boleh dilihat dalam masa tempoh antara 2016 ke 2017 sebelum diakhiri PRU-14 2018. Tempoh kritikal ini menyaksikan kronologi berikut:

Pada Julai 2016 DoJ Amerika telah membuat siaran langsung pertuduhan ke atas 1MDB ke seluruh dunia. Tidak sampai empat bulan, Najib Razak telah ke China dan menandatangani empat belas MoU dengan China pada November 2016.

Nilai MoU yang melebihi RM140 bilion tersebut menimbulkan tanda tanya meluas kerana ia bukan sahaja melibatkan pengumuman mengejut projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), bahkan juga pembelian aset ketenteraan Littoral Mission Ship (LMS) dari China.

Kos ECRL bukan sahaja terlampau tinggi, bahkan tidak pernah dibincangkan untuk tempoh bertahun-tahun lamanya sejak kali terakhir dijalankan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study).

Shopping di China

Pembelian LMS dari China juga mengejutkan kerana ia adalah pembelian aset ketenteraan laut pertama Malaysia dengan China. Masa pembeliannya juga dipersoalkan secara meluas kerana kapal milik China diketahui ada menceroboh perairan Malaysia sejak 2013 dan 2014 lagi. Mengapa membeli aset tentera laut yang menceroboh perairan kita? Mengapa tidak membeli LMS dari negara lain yang tidak terlibat dengan pertikaian Laut China Selatan sahaja yang juga mampu membekalkannya?

Tidak cukup dengan sebegitu banyak MoU yang meragukan dengan China tersebut pada November 2016, Najib Razak turut menulis secara eksklusif di akhbar China sewaktu lawatan beliau tersebut. Mesej penting yang disampaikan Najib ialah: Malaysia menghormati China yang tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara kecil seperti Malaysia – tidak seperti kuasa ‘bekas penjajah’ yang mengamalkan dasar campur tangan. Jelas mesej beliau itu ditujukan kepada Amerika Syarikat yang memulakan siasatan ke atas kes 1MDB.

Namun begitu, China jelas sekali memperoleh laba paling besar dalam kemelut 1MDB ini. Bukan sahaja mereka mengambilalih Edra Energy milik 1MDB yang kini menaja pasukan bola sepak Melaka United, bahkan memperoleh tapak untuk mengatasi laluan Singapura melalui ECRL melalui jalan darat, dan kontrak membekalkan LMS kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Paling membimbangkan tentulah rekod ‘perangkap hutang’ (soft loan) infrastruktur China di seluruh dunia. Hubungan Jho Low perangkap hutang China

Ulasan sarjana terkemuka Joseph Nye dan laporan majalah berpengaruh The Economist tentang ‘Sharp Power’ China perlu diperhatikan dalam merungkai pertalian Jho Low-China-1MDB.

‘Sharp Power’ atau ‘Kuasa Penembusan’ China merujuk pada kecenderungan China untuk mengambil kesempatan ke atas kelemahan tadbir urus sesebuah kerajaan asing dengan ‘menembusi’ dan memerangkap mereka melalui hutang dan projek infrastruktur berskala gergasi.
Sama seperti mana dalam kes Sri Lanka, Maldives, dan Venezuela, Malaysia di bawah Najib Razak telah jatuh ke perangkap yang sama.
Sehingga ke hari ini, Jho Low masih bebas sedang Najib Razak telah disiasat. Bukan sedikit pihak yang menyatakan bahawa Jho Low kini bersembunyi di China (termasuklah akhbar The Australian).
Malah sewaktu lawatan Najib ke China, beliau turut membawa bersama anak tiri beliau Riza Aziz yang merupakan sahabat rapat Jho Low. Tersenarainya nama Riza Aziz dalam jemputan kerajaan China mengukuhkan dakwaan hubungan Jho Low dengan China bukan sebarangan.
Kesimpulannya kerajaan Pakatan di bawah Tun Dr. Mahathir perlu mengambil tiga langkah segera berikut:
Pertama, kerajaan perlu segera menghubungi kerajaan China dalam mendapatkan maklumat tentang keberadaan Jho Low. Tanpa Jho Low, siasatan ke atas Najib Razak dan 1MDB tidak akan sempurna.
Kedua, perancangan alternatif dan cadangan untuk kesinambungan projek infrastruktur gergasi yang dibiayai hutang China yang bakal disemak perlu diperhalusi.
Ketiga, kerajaan perlu merundingkan hubungan Malaysia-China bagi menangani potensi ancaman ‘Kuasa Penembusan’ (Sharp Power) China kelak.
Status China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia yang juga merupakan kuasa dunia tidak sewajarnya memberi kebebasan kepada mereka untuk memaksa penerusan projek hutang gergasi yang ditinggalkan Najib dan dibroker oleh Jho Low.
Penulis; Abdul Muein Abadi adalah pensyarah program Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia. ~ Malaysianreview

No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA