Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Wednesday, February 21, 2018

APAKAH HIKMAHNYA ANWAR TEERPENJARA?



Begitu banyak perubahan sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dihantar ke penjara pada 10 Februari 2015. Percubaan tanpa henti untuk menyingkirkan Anwar daripada landskap politik Malaysia sejak 2008 kini memakan diri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri. Pemenjaraan Anwar membawa kepada perdamaian semula yang sebelumnya tidak dapat dibayangkan dalam sejarah dunia antara dua seteru politik: Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada 28 Jun 2008, saya menonton siaran Astro TV sebuah program bual bicara berbahasa Mandarin ketika saya pertama kali mendengar berita berkenaan laporan polis oleh Saiful Bukhari Azlan terhadap Anwar. Antara 2004 dan hari ketika Najib diangkat sebagai perdana menteri pada April 2009, stesen televisyen sempat merasakan sedikit ruang kebebasan.
Terdapat banyak program bual bicara politik disiarkan dalam pelbagai bahasa. Peraturannya ketika itu adalah 1) tidak boleh mengecam Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Badawi; dan 2) bercakap dengan menggunakan fakta. Semua ini dihentikan sebaik Najib menjadi perdana menteri.
Ketika mendengar berita itu, saya bergegas ke Concorde Hotel, Shah Alam, di mana Parti KeADILAN Rakyat mengadakan pemukiman bagi memberi sokongan moral terhadap Anwar. Anwar kemudian mendapat suaka politik di kedutaan Turki pada hari berikutnya.
Jangan kita lupa dan mari sama-sama kita fahamkan konteks di sebalik pemenjaraan kedua Anwar sedekad lalu.
Apa yang mereka lakukan ke atas Anwar
Pada 8 Mac 2008, BN hilang dua per tiga majoriti parlimen selain kekalahan mengejutkan di lima negeri. Pembangkang menang 82 kerusi parlimen, jauh lebih banyak berbanding cuma 19 yang diperoleh pada pilihan raya 2004.
Anwar dihalang dari bertanding sehingga 14 April 2008, lima tahun selepas pemenjaraan pertamanya berakhir. Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 apabila rayuannya dibenarkan bagi mengetepikan sabitan dakwaan meliwat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2000.
Ketika itu Anwar sedang menjalani hukuman penjara empat tahun yang dijatuhkan sebelumnya atas dakwaan rasuah. Kebetulan, Anwar dipecat oleh Mahathir pada 2 September 1998 ketika Anwar menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Kebanyakan penganalisis bersetuju bahawa Tun Abdullah membubarkan parlimen pada 13 Februari 2008 (pada hari ketujuh Tahun Baru Cina) sebelum tahun keempat parlimen ke-11 bagi mengelakkan Anwar layak bertanding sebagai calon pilihan raya.
Sebab utama yang membolehkan Umno berkuasa begitu lama adalah kerana ketiadaan pemimpin tunggal utama yang dapat diterima merentasi semua komuniti kaum. Tengku Razaleigh Hamzah menunjukkan ciri kepompinan seperti itu pada pilihan raya 1990 sementara Anwar menunjukkan peranan itu pada pilihan raya 1999 ketika dalam penjara.
Seterusnya, pada 2013, Anwar memainkan peranan sebagai perdana menteri alternatif (meski tidak dipersetujui oleh PAS, yang ketika itu merupakan salah satu parti komponen Pakatan Rakyat).
Faktor Anwar-Guan Eng
Meskipun tidak layak bertanding, kepimpinan Anwar merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kepada tsunami politik pada pilihan raya 2008. Contoh paling tepat adalah rundingan kerusi di Pulau Pinang antara PKR dan DAP pada 9 Januari 2008.
Saya merupakan setiausaha minit mesyuarat membantu pemimpin DAP Tan Kok Wai dan Teresa Kok dalam usaha rundingan kerusi mereka. Yang telah digariskan: DAP akan bertanding 21 daripada 40 kerusi dewan undangan negeri. Namun akhirnya Anwar dan Lim Guan Eng mencapai sepakat DAP akan bertanding 19 kerusi sementara selebihnya untuk PKR dan PAS.
Persepakatan itu memberi kepastian kepada pembangkang Pulau Pinang berkenaan kerusi untuk mereka memulakan kempen. Saya dijangka bertanding di Parlimen Bukit Bendera dan mendapat manfaat daripada persepakatan itu.
Calon PKR yang asalnya ingin diletakkan di kerusi DUN Pulau Tikus didapati tidak mampu menang kerana lawannya adalah calon Ketua Menteri Gerakan Teng Hock Nam. Calon PKR itu diberikan kerusi di Kebun Bunga yang dianggap lebih mudah untuk dimenanginya. Dengan gembiranya beliau menyerahkan pusat kempennya di Bangkok Lane yang cantik (di kawasan parlimen Pulau Tikus, kedua-dua kerusi itu terletak di Bukit Bendera). Meskipun ramai yang mengatakan Bukit Bendera mustahil untuk dimenangi, pada hari saya berpindah ke bangunan itu (yang dibina pada 1920), saya sudah merasakan saya sedang menuju kemenangan.
Lebih penting lagi, persepakatan itu memberi imej kepimpinan dari kerjasama Anwar dan Guan Eng. Guan Eng dimasukkan penjara setahun di Penjara Kajang dari 25 Ogos 1998 sementara Anwar dipenjara dari 20 September 1998 hingga 2 September 2004. Guan Eng tidak boleh bertanding pada pilihan raya 1999 dan pilihan raya 2004. Pilihan raya 2008 merupakan percubaan pertamanya sejak 1995.
Gabungan imej Anwar-Guan Eng memberi kesan yang begitu besar di seluruh negara dalam tempoh dua bulan selepas persepakatan 9 Januari 2008. Persepakatan yang dicapai Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018 menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ketujuh dan Anwar sebagai calon Perdana Menteri kelapan, selain persepakatan dalam rundingan kerusi, memberi kesan perasaan yang serupa tentang kepastian pengagihan kerusi dan kepimpinan.
Umno terumbang-ambing sejak pilihan raya Mac 2008 sementara kelemahan kepimpinan Tun Abdullah disalahkan atas kekalahan Umno dan BN. Anwar dibolehkan bertanding selepas 13 April 2008 dan khabar tentang BN akan dijatuhkan pada 16 September dengan Anwar sebagai Perdana Menteri mula timbul.
Pakatan rakyat secara rasminya ditubuhkan pada 1 April 2008 yang seterusnya menaikkan lagi imej Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Kesilapan Tun Abdullah
Rakyat marah apabila Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah menaikkan harga petrol sehingga 40 peratus pada 4 Jun. Rakyat mula menerima dan teruja dengan idea sebuah kerajaan baru yang dipimpin Anwar. Sebuah sidang parlimen tergempar diadakan pada 23 jun bagi mengesahkan langkah kerajaan menaikkan harga petrol dengan harapan meredakan kemaraham rakyat. Ramai Ahli Parlimen BN diam-diam berkongsi rasa tidak puas hati mereka dengan kami dan ada yang lain mula percaya BN mungkin akan dijatuhkan.
Sehingga hari ini, saya masih tertanya-tanya berkenaan keputusan Tun Abdullah menaikkan harga minyak begitu tinggi. Kedudukannya ketika itu sudah sedia goyah pada 8 Mac dan bertambah parah apabila Mahathir keluar Umno pada Mei 2008 sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Tun Abdullah.
Sekitar tempoh masa yang sama, dalam percubaan kononnya menunjukkan keterbukaan dan kesediaan, Ahmad Shabery Cheek yang ketika itu Menteri Penerangan, bersetuju untuk berdebat dengan Anwar di televisyen berhubung isu kenaikan harga. Hal itu telah memberi legitimasi kepada Anwar sebagai pemimpin alternatif. Debat itu diadakan pada 15 Julai namun pada 14 Julai seluruh Kuala Lumpur menjadi tegang dalam percubaan menahan Anwar, kemungkinan untuk menghalang Anwar berdebat dengan Shabery. Anwar kemudian ditangkap pada 16 Julai, sehari selepas debat itu.
Najib dan Liwat II
Najib yang paling terjejas sekiranya terjadi pertukaran kerajaan yang dipimpin Anwar. Beliau dikaitkan dengan skandal Altantuya. Saya memperkenalkan diri kepada Najib di program Shangri-La Defense Dialogue di Singapura pada 1 Jun 2008 sebelum beliau naik ke pentas untuk berucap.
Perkara pertama yang beliau beritahu saya – seorang ahli parlimen pembangkang Malaysia yang dia jumpa buat kali pertama – adalah beliau tidak terlibat dalam skandal wanita Mongolia berkenaan. Rakan-rakan saya di Umno beranggapan bahawa skandal itu sentiasa berada di benak fikiran beliau setiap masa dan beliau begitu bimbang sekiranya terjadi perubahan kerajaan, beliau yang akan menanggung akibat.
Pasukan peguam bela Anwar berulang kali berhujah bahawa perjumpaan Saiful dan Najib serta isterinya Datin Seri Rosmah mansor beberapa hari sebelum laporan polis dibuat menunjukkan Najib mempunyai peranan dalam kes Liwat II. Pemilihan Shafee Abdullah, peguam yang rapat dengan Najib, mengetuai pasukan pendakwa bagi pihak kerajaan dalam rayuan kes itu juga merupakan hujah utama. Cukup dikatakan bahawa keinginan pihak tertentu menyingkirkan Anwar dalam rumus politik semasa negara begitu ketara pada Jun 2008, sebagaimana selepas pilihan raya 2013.
Meskipun 16 Spetember tidak terjadi apa-apa – yang mana pada awalnya dijangka Ahli Parlimen BN akan menyertai Pakatan – Najib tetap memaksa Tun Abdullah menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan pada 17 September 2008 dan seterusnya mendesak Tun Abdullah bersara ketika mesyuarat 25 September 2008. Najib kemudian menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009.
Anwar perlu dikenang atas komitmen dan kasihnya terhadap Malaysia. Beberapa hari sebelum dibebaskan oleh Mahkamah tinggi pada 12 Januari 2012, Anwar memaklumkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang saya turut hadiri bahawa beliau tidak akan lari ke luar negara dan akan kekal di negara berdepan hukuman penjara. Saya begitu tersentuh. Kami begitu gembira apabila beliau akhirnya dibebaskan.
Najib mungkin tidak menyangka pencapaiannya akan begitu buruk dalam pilihan raya 2013. Selepas pilihan raya, beliau tahu bahawa satu-satunya cara untuk menang dalam pilihan raya akan datang adalah ‘membunuh’ idea pembangkang untuk mempunyai calon perdana menteri alternatif dan sebuah pakatan pembangkang tunggal.
Melalui Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla sebagai orang tengah, Najib menawarkan kepada Anwar untuk menyertai kabinetnya dengan harapan untuk memecah-belahkan Pakatan rakyat. Tawaran itu ditolak Anwar dan akhirnya terpaksa membayar harganya dengan kebebasannya sendiri. Langkah Najib menyingkirkan Anwar dan mengumpan PAS bekerjasama dengan Umno, serta cuba menggambarkan landskap politik negara sebagai pertembungan antara Umno-PAS yang menjadi penyelamat orang Melayu-Islam menentang pembangkang yang didalangi ‘Cina’ DAP
Komitmen Anwar dan masa depan Malaysia
Pada Oktober 2014, selepas kegagalan Langkah Kajang dan sementara menunggu keputusan mahkamah, saya bertanya kepada Anwar jika dia pertimbangkan untuk melakukan apa yang Thaksin Shinawatra lakukan – meninggalkan negara – kerana saya fikir tidak perlu Anwar merana di penjara sekali lagi kerana beliau sudah tidak lagi muda dan sihat seperti dulu.
Saya difahamkan bahawa sekurang-kurangnya seorang pemimpin negara Islam yang penting menawarkan suaka kepadanya. Anwar sebaliknya berkata beliau komited dengan nasib Malaysia dan percaya beliau tidak mempunyai pilihan lain selain berdepan hukuman penjara agar akar umbi PKR dan pembangkang secara keseluruhannya boleh terus melawan dengan bangga kerana pemimpin mereka bukan pemimpin yang lari dari perjuangan tapi seorang yang berani untuk berdepan dengan cabaran dalam perjuangannya.
Politik Malaysia boleh jadi begitu kejam dan zalim. Saya berasa begitu sedih setiap kali saya terfikir tentang pemenjaraan kedua Anwar.
Namun mungkin Tuhan mempunyai rancangan misterinya sendiri. Kekosongan kepimpinan dalam pembangkang diisi oleh Mahathir dengan perdamaiannya dengan Anwar 20 tahun selepas 1998, yang membuatkan ramai rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu berasa lega.
Sekiranya Pakatan Harapan menang, kerajaan baru yang ditubuhkan adalah kerajaan Mahathir dan Anwar. Ia akan menjadi kerajaan Reformasi, yang ditubuhkan oleh rakyat, ditadbir oleh rakyat, dan berkhidmat untuk rakyat. Saya menunggu tibanya sebuah Malaysia baru yang dipimpin dua tokoh politik yang dulunya merupakan seteru politik sebelum akhirnya menjadi rakan mentadbir sebuah negara. 

1 comment:

  1. Syabas, tuan, atas penulisan yang sangat bermanfaat dan menyuburkan nilai kemanusiaan.

    ReplyDelete


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA