Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Friday, September 22, 2017

SEBALIK API MAAHAD TAHFIZ HASMI HASHIM


MAAHAD tetap sebuah sekolah! Sesungguh-mungguh istilah “maahad” tidak mengabsahkan kecuaian apa pun.

 Setiap nyawa ada harga dan hak keadilan. Sesebuah institusi sekolah walaupun namanya ditempek istilah Arab, Mandarin, Tamil atau apa jua bahasa, tetap wajib ada ciri-ciri keselamatan sepertimana perlu dan layaknya bagi sebuah sekolah di negara ini. 

Keteraturan masyarakat bermula daripada keteraturan sekolah. Kalau bercelaru sekolahnya, maka bercelarulah masyarakatnya. 

Kebakaran maahad tahfiz di Keramat semalam adalah satu daripada ratusan tragedi sekolah persendirian yang dilaporkan terbakar dalam tahun-tahun belakangan. Maknanya “tragedi Keramat” bukan kebakaran pertama. 

Ada tangisan yang bertukar jeritan menjemput ajal. Dalam video yang tular, selain suara sayup tapi nyaring murid-murid meminta tolong, turut kedengaran azan berkumandang. Tak termampu kita membayangkan ketakutan anak-anak kala api sampai di hujung kuku kaki, di dalam kamar yang penuh asap dan tanpa pintu. Kecuali satu-satunya di bahagian tengah. 

Kesemua tingkap dimatikan dengan geriji besi. Kamar itu ibarat bilik maut di sebuah penjara. Tak ada pintu kedua sebagai laluan keselamatan. Tak ada alat pemadam api. Hanya tilam dan kayu siling yang jadi bahan untuk api lebih cepat membakar tubuh-tubuh mereka.

 Semuanya rentung. Bertindih-tindih. Di akhir malam yang sepatutnya memberikan mimpi, anak-anak itu syahid seperti kata pengetua. Mereka telah di syurga. 

Tragedi “tahfiz terbakar” berlaku pada subuh, semalam: 14 September 2017. Bukan di abad ke-19 di Tanah Jawa sepertimana yang boleh kita tonton dalam filem “Sang Pencerah”. 

Di sana, yakni di Jogjakarta, baru habis perang Diponegoro (1867-1912). Kala itu masyarakat Jawa termasuk Muslim berada dalam era yang disebut sebagai “zaman kalabendu”. Lebih kurang maksudnya haru-biru. 

Agama hanya digunakan untuk menutup sesuatu yang buruk dalam masyarakat. Agama juga telah menjadi sejenis barang dagang, alat untuk mengawal selain tiket memperoleh kedudukan dan kekayaan. Sehinggalah ada pemuda-pemuda yang pulang belajar dari wilayah Arab. Mereka memulakan pembaharuan. 

Paling terkenal di antara reformis atau pembaharu itu adalah Kiyai Dahlan. Dia pendiri Muhammadiah: satu antara dua kelompok agama terbesar di Indonesia sehingga kini. Di sepanjang cerita secara halus dititipkan pesan bahawa jalan perubahan yang terbaik adalah melalui pendidikan. Bukan konfrontasi. 

Hari ini, kita dapat mendengar kembali bilamana ada agamawan yang tidak kalah berusaha menonjolkan diri sebagai sang pencerah, pembaharu dan reformis. Ceramah atau kenyataan mereka ada kalanya begitu berkonfrontasi — tidak kalah keras dan garang berbanding pihak ‘lawan’ mereka. Tetapi apabila tahfiz terbakar, cukupkah hanya dengan mengeluarkan kenyataan sahaja? Cukupkah hanya dengan kemaruk mengumpul like di Facebook atau Youtube semata? 

Kita percaya, golongan pembaharu juga tahu bahawa pendidikan adalah jalan terbaik untuk membawa perubahan kepada bangsa. Namun sayang sekali, di tengah-tengah beredarnya ceramah kaum pembaharu baru di Malaysia hari ini, kenyataannya ialah sistem dan sarana pendidikan yang berteraskan Islam kelihatan kembali mundur mendekati apa yang wujud di Jawa dalam abad ke-19 dahulu. 

Maka terjadilah dewan tidur yang tak ada ciri keselamatan — hanya ada satu pintu! Tanpa ayat Quran, hadis atau pandangan mazhab mana sekalipun, logik berkenaan boleh difikirkan dengan mudah. Wabak hilangnya common sense dalam kalangan agamawan nampaknya adalah masalah yang sangat-sangat serius. 

Pada tahun 2017 ini juga, kita kembali dapat melihat begitu banyak madrasah atau maahad tahfiz yang murid-muridnya duduk bersila ketika belajar. Keadaan ini samalah seperti pada zaman Kiyai Dahlan apabila kerusi-meja dianggap sebagai “barangan orang kafir”. Dibawa dari Barat. Dibawa oleh penjajah. 

Saya tak faham sama sekali, bagaimana dalam perkara sekecil dan semudah ini pun nampaknya pendidikan Islam berputar ke belakang. Hari demi dari. Tanpa segan-silu.

 Lebih mendukacitakan, setiap kali adanya musibah, foto kedaifan sesebuah madrasah pun beredar dan derma kilat dilakukan. Apa lagi istilah lebih sesuai kalau bukan “jual agama” 
namanya? 

Sementara setiap kali ada kematian, ia juga menjadi kesempatan sang penguasa dan politikus untuk berlegar-legar menempek muka di halaman maahad tanpa menyedari persoalan pokok dalam lapangan pendidikan itu sendiri. 

Dan masalah tak juga selesai. Mungkin tak juga berkurang. Masyarakat makin tertekan. Hidup meruncing dan huru-hara. Jalan singkat untuk menyelamatkan anak-anak adalah dengan mengirimkan mereka ke institusi pendidikan agama seperti maahad tahfiz yang tumbuh bagai cendawan. 

Inilah zaman kalabendu yang baru — zaman ketika mana sekolah seperti maahad tahfiz dipandang tak lebih hanya persis “pusat pemulihan” sahaja. – 15 September, 2017. 

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

Cheap Offers: http://bit.ly/gadgets_cheap

No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA