Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Wednesday, August 23, 2017

MEMALI - APA KAITAN DENGAN AMANAT HAJI HADI



oleh Amin Iskandar
KUALA LUMPUR 22 Ogos, 2017 – Siasatan oleh Suruhanjaya Diraja (RCI) terhadap peristiwa Memali yang berlaku 32 tahun lalu hanya akan mendedahkan peranan presiden PAS sebagai punca tragedi berdarah itu, kata bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor.
Rahim menarik perhatian kepada ucapan Hadi dalam sebuah ceramah pada 1981 yang mempengaruhi Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya sehingga terjebak melakukan kegiatan yang mengancam keselamatan negara. Ucapan itu terkenal dengan gelaran “Amanat Hadi”.

“Sekiranya RCI diadakan, tidak dapat dielakkan hakikat tentang peranan Hadi melalui ‘Amanat Hadi’ sehingga berlakunya tragedi berdarah Memali,” kata Rahim kepada The Malaysian Insight.
‘Amanat Hadi’ merupakan petikan ucapan presiden PAS itu dalam ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dipegang ahli PAS di seluruh negara pada ketika itu.
Ucapan itu dianggap titik penting dalam politik orang Melayu pada dekad 1980-an yang menyaksikan perpecahan terburuk orang Melayu sehingga melibatkan tuduhan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan pulau-memulau dalam kegiatan masyarakat termasuk urusan jenazah.
“Ada dua elemen penting dalam ‘Amanat Hadi’ ini. Pertama, dia kata orang-orang Islam tidak perlu menjadi Kristian, Yahudi, Nasrani untuk menjadi kafir, cukup dengan mengamalkan politik suku, agama suku, mereka sudah menjadi kafir.
“Kedua, dia kata perjuangan yang dilakukan mereka adalah jihad dan sekiranya terkorban dalam perjuangan, mati mereka adalah syahid,” kata Rahim.
Ketua polis negara antara 1994 dan 1999 itu menambah “Amanat Hadi” disebarkan PAS menerusi sayap Pemuda parti Islam itu sehingga menjadi buah mulut di seluruh negara.
“Akhirnya benda ni pun sampailah ke Ibrahim Libya. Dia pernah belajar agama di Libya dan sebab itu digelar Ibrahim Libya.
“Ibrahim merupakan seorang pengikut PAS tegar dan aktif. Dia betul-betul taksub dengan ‘Amanat Hadi’, ” kata Rahim yang ketika peristiwa Memali merupakan ketua polis Selangor.
Rahim diminta mengulas kesediaan kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat peristiwa Memali, seperti diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada hujung minggu lalu.
Kenyataan Zahid itu dialu-alukan oleh PAS yang mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa membela nasib mangsa Memali dan bercadang membawa waris keluarga bertemu Zahid di Putrajaya.
Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Hadi mendakwa kekecohan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.
Tuan Ibrahim Tuan Man selepas itu mengulangi gesaan PAS agar kerajaan menubuhkan segera RCI demi keadilan kepada mangsa dan keluarga yang terlibat. Beliau juga mendesak kerajaan meminta maaf kepada keluarga mangsa.
Dr Mahathir, perdana menteri semasa peristiwa Memali, kini mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan. Hadi pula, selepas membawa PAS memutuskan kerjasama dengan parti-parti pembangkang, kini dilihat senada dengan Umno dalam banyak perkara menuju Pilihan Raya Umum ke-14.
Menurut Rahim, kerajaan tidak perlu menubuhkan RCI bagi menyiasat kembali apa yang berlaku di Memali lebih 30 tahun lalu.
“Kertas putih tentang tragedi Memali sudah ada. Sepatutnya kerajaan bentangkan di Parlimen kertas putih itu dan bahaskan semula.
“Tetapi kalau sudah kehendak kerajaan hendak buat RCI, terserahlah,” katanya.
Kertas Putih Peristiwa Memali bertarikh 26 Februari 1986 itu ditandatangani oleh menteri dalam negeri ketika itu, Musa Hitam, dan dikemukakan kepada Parlimen.
Bagaimanapun, saksi hidup kejadian menganggapnya sebagai satu pembohongan.
Kertas putih itu merakamkan latar suasana semasa dan detik-detik yang berlaku apabila pengikut Ibrahim Libya bertempur dengan pasukan polis pada pagi 19 November 1985 itu. Ia turut mencatatkan kedudukan “Amanat Hadi” dalam seluruh episod peristiwa Memali.
Kertas putih itu merumuskan tindakan polis di Memali bertujuan menguatkuasakan undang-undang dan membendung kegiatan yang mengancam keselamatan dalam negara.
Menurut Rahim, polis ketika itu mempunyai maklumat dan bukti Ibrahim dan pengikutnya bersungguh-sungguh mahu melaksanakan “Amanat Hadi”.
“Dia (Ibrahim) ada ramai pengikut setia. Dia ada pelbagai rancangan dan perjuangannya sudah melebihi daripada PAS. Ini yang ada dalam kajian Unit Cawangan Khas.
“Unit Cawangan Khas mempunyai bukti apa yang Ibrahim Libya dan pengikutnya nak lakukan sehingga keputusan dibuat untuk menahannya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.
Rahim berkata sekiranya tidak ditahan mengikut ISA, polis mempunyai bukti tindakan Ibrahim akan mengganggu ketenteraman awam.
“Apa yang Ibrahim lakukan bukanlah arahan parti tetapi dia sudah mengikuti ‘Amanat Hadi’ dengan begitu mendalam dan disebabkan itu polis terpaksa mengambil tindakan.
“Sebab itu saya tak faham apa niat Hadi nak bangkitkan semula isu Memali ini kerana akan terkeluar juga dia merupakan punca terjadinya tragedi berdarah ini,” katanya. – Source 
TMI

No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA