Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Thursday, December 17, 2015

MAHATHIR / NAJIB - SIAPA GENTLEMEN?



Sehingga ini tidak ternampak tanda-tanda Tun Mahathir Mohamad mahu  mengendur atau ingin mengalah daripada terus mendesak pengunduran Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Dalam catatan terbarunya di blog chedet yang mengulas mengenai ucapan penggulungan Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, beliau sekali lagi mencadangkan Perdana Menteri hanya akan dilihat "gentleman" dan berjiwa besar jika sedia meletakkan jawatannya.

Daripada isu gagal mentadbir negara, 1MDB, derma RM2,600 juta, kejatuhan ringgit,  masa depan yang lebih baik untuk negara, kemungkinan kalah dalam PRU 14 dan berbagai lagi, solusinya bagi Tun Mahathir ialah hanya dengan perletakan jawatan Najib saja.

Barangkali sudah beratus kali gesaan dan desakan pengunduran Najib dilakukan oleh Tun Mahathir sejak beliau menarik balik sokongannya lebih setahun yang lalu. 

Berdasarkan kekentalan jiwa dan semangat melawannya pula, pasti Tun Mahathir akan terus menekan Najib dengan gesaan meletakkan jawatan itu, tidak kira apa pun tindakan yang akan dikenakan kepadanya.

Tetapi di ketika yang sama, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Abu Bakar juga mengumumkan siasatan terhadap Tun Mahathir berhubung kenyataannya yang mendakwa pemimpin UMNO mengambil rasuah daripada Najib, sedang dikemaskini dan akan disiapkan tidak lama lagi.

Kata beliau, pihaknya sekarang sedang berbincang dengan Peguam Negara dan siasatan dijangka siap dalam waktu yang terdekat ini.

Apakah nasib Tun Mahathir dalam kes ini?

Mungkinkah beliau akan didakwa di mahkamah atas tuduhan fitnah? Apakah apabila didakwa di mahkamah nanti, Tun Mahathir akan berhenti mendesak pengunduran Najib atau beliau menjadi semakin agresif lagi?

Makin selamat atau makin bergoyangkah kedudukan Najib selepas tindakan mengheret Tun Mahathir ke mahkamah itu?

Di sebalik banyak persoalan terus terapung tanpa jawapan jika kerajaan benar-benar nekad untuk mengambil tindakan terhadap Tun Mahathir, kepercayaan umum ialah ia sukar dipisahkan daripada kaitannya dengan gesaan serta desakan berterusan bekas Perdana Menteri itu yang mahukan Najib berundur daripada jawatannya.

Adakah Tun Mahathir akan diambil apa-apa tindakan jika dalam membuat dakwaan ada pemimpin UMNO mengambil rasuah itu, beliau dalam masa yang sama masih menyokong dan berdiri teguh mempertahankan Najib?

Daripada sekian ramai ahli UMNO dan rakyat Malaysia yang meluahkan perasaan perlunya Najib meletakkan jawatan, kenapa hanya Tun Mahathir dijadikan sasaran?

Dalam tulisan terbaru di blognya, Tun Mahathir nyata amat menyedari perkara itu dengan menulis, "Sekarang Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri akan berusaha untuk saya disoal lagi oleh polis kerana ucapan-ucapan dan tulisan saya dalam blog. Di bawah undang-undang apakah yang saya hendak disoal?

"Menegur Presiden Parti atau Perdana Menteri bahkan mendesak supaya PM letak jawatan tidak salah dalam negara demokratik. Kenapa daripada ribuan rakyat yang meminta Najib undur (sepanduk oleh penonton bolasepak Kedah VS Selangor yang menyuruh Najib letak jawatan) saya sahaja yang hendak disoal oleh polis? Prinsip keadilan berkehendakan undang-undang dikuatkuasakan kepada semua orang tanpa diskriminasi."

Dalam semua keadaan itu, tidak dinafikan bahawa mengambil tindakan terharap Tun Mahathir akan membuakkan lagi sokongan dan simpati rakyat terhadapnya.

Namun, jika didapati tiada kes pula, ia bukan saja suatu kemenangan kepada Tun Mahathir, bahkan mungkin lebih bertali arus dan sesiapa saja jadi tambah berani meminta Najib meletakkan jawatan.

Meletakkan jawatan demi menyelamatkan parti adalah "gentleman", tetapi di sisi kelompok yang lain berani bertindak terhadap Tun Mahathir juga adalah sikap "gentleman".

Yang selebihnya mungkin mengatakan tidak menggunakan undang-undang dan berlawan secara politik dengan Tun Mahathir turut memperlihatkan sikap "gentleman" Najib.

 "Gentleman"  manakah jadi pilihan Najib? (SH 16/12/2015).

No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA