Khusus
ditujukan kepada pesara kerajaan, sama ada bergelar atau tidak, ketika
berada di atas puncak kuasa dahulu, apa yang kamu buat untuk menjaga
kepentingan agama bangsa dan negara. Adakah kamu berkhidmat dengan penuh
ikhlas? Atau.... Tuhan sahaja yang tahu. Saya amat setuju dengan
cadangan Perkasa, ‘25 Melayu berpengaruh ini (pesara kerajaan) atau
menteri atau pemimpin parti, mengisytiharkan harta mereka. Sekadar
bekerja dengan kerajaan, setinggi manapun jawatannya, malah jawatan
menteri sekalipun, tidak akan menjadikan kita kaya-raya. Jika ada yang
kaya-raya, bermakna adalah benda yang tidak kena. Kecualilah, asal-usul
mereka memang kaya.
Ini tidak, kadangkala, bukan sahaja
pesara kerajaan itu kaya, adik-beradik dan anak-beranaknya pun turut
kaya. Dari mana mereka dapat duit? Justeru, muhasabah diri.
Fikirkan kembali. Bertaubatlah jika terlanjur. Mengapa hari ini,
selepas pencen, kamu menjadi begitu lantang dan berani, tanpa terlebih
dahulu membuat sedikit penelitian atau penyelidikan terhadap mereka yang
bertungkus-lumus berjuang mempertahankan maruah agama, bangsa dan
negara, sama ada pihak berkuasa kerajaan mahupun NGO-NGO berkaitan?
Bukan
bermakna di penghujung usia ini kita tidak bercakap langsung. Tetapi
biarlah bertempat. Pastikan tindak-tanduk kita menguntungkan Islam.
Pernahkah
terfikir, tatkala mata semakin kabur, kulitpun dah kendur, gigi mula
berterabur, rambut banyak gugur, makanpun dah makan bubur, dan tidak
lama masuk kubur, banyak persediaan perlu dilakukan menuju ke alam
akhirat.
Maklum sahajalah, sudah menjadi lumrah, masa muda kita
redah segala-galanya, tidak kira halal haram. Bila dah tua nanti barulah
bertaubat. Sebab itu, ramai yang tidak berani pergi menunaikan haji
waktu muda, kerana takut tidak boleh buat dosa lagi.
Maka ditunggu
sampai ke tua, agar boleh cuci dosa sebelum mati. Moga-moga masuk
syurga. Itu pun ramai yang tidak insaf lagi, pergi haji dan umrah
berkali-kali, balik, masih gondol lagi. Ingat, tiada jaminan bahawa
balik atau mati di Mekah boleh masuk syurga.
Jika itulah tandanya,
paling ramai masuk syurga nanti, adalah orang Arab, sebab rumah mereka
semuanya dekat dan mengadap Kaabah. Hari-hari boleh buat umrah dan
setiap tahun boleh buat haji dan juga mati di sana.
Rugilah kita
menjadi umat yang jauh dari Kaabah sebab tidak dapat mati di sana,
berumrah dan berhaji. Jelasnya, jauh atau dekat kita dengan Kaabah, itu
bukan penentu ke syurga. Hatta, jika tidak pernah sekalipun ke Mekah,
ada jaminan syurga. Yang penting, kita beriman dan tidak, semasa hidup.
Hari ini, sepatutnya, kamu melakukan muhasabah diri. Campur tolak dosa dan pahala.
Pertama,
bertaubatlah kepada Allah SWT, menyesali segala dosa yang dilakukan
selama ini. Qada semula solat telah kami pernah ditinggalkan. Dekatilah
masjid dan surau.
Kedua, jika masih belum menutup aurat, pergilah
kedai-kedai tudung (kopiah). Carilah yang bersesuaian untuk menutup
kulit dan rambut yang semakin dimamah usia.
Jika tidak percaya
kepada aurat (rambut) bagi yang wanita, mungkin jawapan agamawan sudah
dijangkakan. Apa kata pergilah bertanya kepada artis-artis yang telah
berhijrah. Tanyalah mereka kenapa bertudung?
Jangan jadi seperti
orang kampung. Apabila makcik-makcik ditanya kenapa masih tidak pakai
tudung, maka jawapannya, "makcik dah tua, pakai tudung buat apa, siapa
yang nak pun" Tidak mengapalah makcik kampung. Tetapi kamu orang bijak
pandai. Malangnya kepandaian kamu masih belum dapat menyedarkan kamu.
Ketiga,
luang masa untuk mentelaah al-Quran, Hadis dan kitab-kitab muktabar.
Jika bacaan al-Quran masih gagap dan tidak betul, pergilah belajar.
Saya
amat bimbang dengan perkumpulan wanita yang mendakwa dirinya Islam,
tetapi jahil dalam memahami al-Quran. Mereka bercakap banyak tentang
Islam, tetapi membaca al-Quran sekadar terjemahan. Sudahlah begitu,
mengaku pula diri pandai. Bukan apa, takut sesat jadinya.
Keempat,
jika ada anak dan cucu, jagalah mereka dengan baik. Pastikan mereka
membesar dengan iman dan Islam, berindentitikan Melayu, jika itulah
bangsanya.
Saya amat bimbang generasi hari ini, lahir dari ibu
bapa Melayu,tok nenek semua Melayu, tetapi sikap, perangai, tingkah laku
langsung tidak serupa Melayu. Mereka kelihatan lebih barat dari barat.
Maklumlah pernah jadi duta luar negara atau belajar di sana.
Kelima,
Jika ditakdirkan, khidmat kamu diperlukan selepas pencen, maka kamupun
dilantik memegang jawatan ini dan itu, sama ada peringkat kebangsaan
mahupun antarabangsa, itu bukan kerana kamu terlalu bagus, sehingga
menjadi kamu berlagak dan kondem orang lain.
Itu tandanya Allah
masih beri kamu peluang. Maka gunakan peluang tersebut untuk menebus
dosa-dosa yang lalu. Manfaatkan jawatan untuk agama, bangsa dan negara.
Keenam,
jika kamu ada mengambil duit rakyat atau duit haram semasa memegang
jawatan, banyakkanlah bersedekah sebelum Allah cabut nyawa kamu.
Jangan
pandai menuding jari, orang itu ekstrim dan orang ini ekstrim. Sendiri
mahu ingat. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga.
RT - tokAyah
RT - tokAyah
No comments:
Post a Comment