Amaran! Artikel ini bukanlah artikel kisah lucah lesbian ataupun cerita panas lesbian tetapi artikel ini mengenai seorang lesbian yang bertaubat di jalan Allah. Kisah lesbian bertaubat yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua. Agak membimbangkan dengan gejala ini yang semakin menular dalam langan masyarakat kita sekarang.
Apa itu
maksud lesbian? Lesbian mengikut kamus dewan bahasa bermaksud perempuan
yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya. Secara
ringkasnya perempuan itu diklasifikasikan sebagai perempuan homoseksual.
Marilah sama-sama kita ikuti kisah seorang perempuan yang dahulunya seorang lesbian dan kini telah bertaubat kepada Allah S.W.T.
Saya bekas siswazah di sebuah institusi
pengajian tinggi swasta. Ketika melanjutkan pengajian saya berkenalan
dengan Si B yang belajar di institusi sama, tapi berlainan kursus. B
rakan serumah saya dan kami menetap di asrama yang sama dan menjadi
kawan karib.
Kami berpisah apabila saya tamat
belajar. Ketika persahabatan kami terjalin, boleh dikatakan semua
aktiviti kami buat bersama seperti pergi ke kelas, belajar, memasak,
keluar bersiar selain berkongsi masalah. Saya begitu mengambil berat
perihal B begitu juga sebaliknya.
Dalam tempoh persahabatan itu, kami
menyalahgunakan erti persahabatan. Kami melakukan aktiviti yang dilaknat
Tuhan. Pada awalnya kami hanya melakukan aktiviti ringan saja seperti
bercumbu, namun lama kelamaan semakin selesa dengannya selain tidak
menganggap ia sebagai satu dosa. Akhirnya kami terlanjur dan menjadi
pasangan lesbian.
Ada ketika saya rasa menyesal dan
berdosa, tapi apabila bersama B di asrama, perasaan itu hilang entah ke
mana. Disebabkan itu kami berterusan dan selesa melakukan perbuatan
terkutuk itu.
Saya pernah beritahu B, perbuatan kami
lakukan ini adalah berdosa, tapi B hanya menjawab dia sayangkan saya
sebab itu dia merelakan perbuatan terkutuk itu.
Apabila saya menjalani latihan industri
di sebuah syarikat, saya mengambil peluang yang ada untuk menjauhkan
diri. Saya juga tidak lagi menetap di asrama dan duduk menyewa. Saya
menghilangkan diri daripada B dan juga dari rakan serumah yang lain.
Saya berasa sedikit lega apabila tidak lagi berhubung dan berjumpa
dengannya
Hingga hari ini, saya masih dibelenggu
dosa yang pernah dilakukan. Saya selalu bermimpi yang menakutkan dan
dalam sebulan boleh dikatakan tiga atau empat kali bermimpi melakukan
maksiat dengan B. Saya sering diserang rasa berdosa, menyesal dan takut
Allah tidak dapat mengampunkan dosa saya, takut nabi tidak mengaku saya
umatnya di akhirat, malah takut tidak dapat berjumpa dengan ibu bapa
saya di akhirat kelak.
Awal tahun lepas, saya berusaha untuk
mencari B. Tujuan saya mencarinya hanya untuk memohon kemaafan atas
perkara yang kami lakukan. Saya berjaya menemui akaun facebook B. Saya
hantarkan pesanan dan memberitahu segala permasalahan yang sering
membelenggu diri saya selain rasa bersalah dan menyesal.
Tapi malangnya, B hanya menjawab dia hanya memaafkan saya bila tiba waktunya.
Fikiran saya terganggu akibat daripada maklum balas yang diberikan padahal ketika sama-sama menetap di asrama dulu. B juga merelakan segalanya.
Saya runsing dengan keadaan diri saya
sekarang. Saya betul-betul menyesal dengan apa yang terjadi dulu,
menyesal dengan dosa yang saya lakukan.
Dr bantulah saya untuk menguatkan
kembali keyakinan diri bagi menempuh hidup ini. Saya ingin menjadi anak
yang solehah untuk ibu bapa saya. Saya ingin menjadi umat terbaik dan
hamba Allah yang diredai. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?
Insan kebingungan,
Perak
Jawapan
Dr sesungguhnya amat gembira mendengar adik ingin berubah ke arah yang positif.
Keinginan adik untuk bertaubat amat disukai dan diredai Allah seperti mana firman-Nya “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri.” (QS. Al Baqarah: 222)
Secara psikologinya, apabila hubungan
persahabatan bertukar menjadi terlalu intim, ia boleh mewujudkan satu
bentuk perhubungan yang membabitkan keinginan dan naluri seksual. Ini
berlaku apabila desakan ingin disayangi, dihargai dan cinta
diterjemahkan dalam manifestasi perlakuan yang boleh mendatangkan unsur
keseronokan. Unsur keseronokan ini boleh berlaku dalam bentuk melakukan
hubungan maksiat.
Malah, unsur keseronokan adik dan B
boleh berterusan sekiranya tiada pihak yang mahu ambil inisiatif untuk
berubah. Dalam konteks adik, Dr ingin mengucapkan tahniah kerana adik
sudah berusaha untuk tidak terus berada dalam kesesatan.
Kebiasaannya, pihak yang ingin
memberhentikan sesuatu tingkah laku bersalah pasti merasa menyesal.
Seperti mana adik, rasa sesalan ini terbawa-bawa dalam aktiviti harian
termasuk dalam mimpi dan tidur.
Apabila adik tidak lagi melakukan
maksiat dengan B secara realitinya, keinginan seksual itu ada kalanya
terjelma dalam mimpi adik. Perkara ini lama kelamaan pasti hilang.
Dr juga harap adik tidak menggunakan
alasan B yang sukar memaafkan adik ketika ini sebagai helah bela diri
untuk adik terus merasa bersalah. Adik sudah berusaha untuk memohon maaf
darinya. Jika B masih tidak dapat memaafkan segala apa yang berlaku
antara kalian berdua, itu masalah dirinya. Apa yang lebih penting adalah
adik tidak lagi melakukan perkara terkutuk itu dan memohon keampunan
Allah.
Adik juga memerlukan kekuatan untuk
mengembalikan keyakinan diri dalam menempuh kehidupan berliku ini. Dr
gembira dan melihat adik mempunyai potensi diri untuk menjadi anak
solehah buat kedua ibu bapa. Dr juga yakin adik mempunyai kekuatan
menjadi umat terbaik Rasulullah dan menjadi hamba Allah yang diredai.
Allah itu Maha Pengampun. Allah
berfirman: “Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap
diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.
Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah
yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az-Zumar: 53)
Ayat di atas pastinya membukakan pintu
dengan seluas-luasnya bagi seluruh orang yang berdosa dan melakukan
kesalahan. Meskipun dosa mereka sudah mencapai hujung langit sekali pun.
Adik belum terlambat untuk bertaubat.
Banyak keutamaan bagi orang yang
bertaubat. Di antara keutamaan orang-orang yang bertaubat adalah: Allah
menugaskan malaikat muqarrabin untuk beristighfar bagi mereka dan berdoa
kepada Allah supaya Allah menyelamatkan mereka dari azab neraka. Selain
memasukkan mereka ke dalam syurga. Menyelamatkan mereka dari keburukan.
Mereka memikirkan urusan mereka di dunia, padahal malaikat sibuk dengan
mereka di langit.
Allah berfirman: “(Malaikat-malaikat)
yang memikul ‘Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih
memuji Tuhannya dan mereka beriman kepadaNya serta meminta ampun bagi
orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): … dan itulah kemenangan
yang besar.” (QS.Ghaafir: 7-9).
Semoga yang terbaik menjadi milik adik.
Dr doakan adik menjadi wanita dan anak yang solehah serta umat terbaik
untuk Rasulullah selain hamba yang sentiasa diredhai-Nya.
ammar blog
No comments:
Post a Comment