China terus melarang umat Islam di wilayah Xinjiang daripada
menunaikan ibadah puasa pada tahun ini sama seperti sebelum ini, lapor
beberapa media antarabangsa.
Larangan yang dipercayai dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Awam di
Beijing itu dihebahkan melalui laman web beberapa agensi kerajaan kepada
kakitangan awam, guru dan pelajar.
Jabatan kajicuaca di Qaraqash di barat Xinjiang menyebut larangan itu
sebagai “arahan pihak atasan” dan ia meminta “semua kakitangan dan
bekas kakitangan untuk tidak berpuasa dalam bulan Ramadan”.
Parti Komunis China dan pemerintah di Xinjiang sebelum ini menyekat
sebarang perhimpunan berbentuk keagamaan atas sebab-sebab keselamatan.
Ia bimbang perhimpunan seumpama itu dijadikan pentas untuk menyebarkan
mesej gerakan pemisah.
Biro hal ehwal perdagangan di Turfan melalui laman webnya meminta
kakitangannya tidak berpuasa atau terlibat dalam sebarang aktiviti
keagamaan. Sebuah laman web lain menyebut: “Kami mengingatkan semua
bahawa mereka tidak dibenarkan untuk berpuasa.”
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, larangan itu dikecam oleh
kumpulan etnik Uighur yang melarikan diri dari China dan hidup dalam
buangan.
Jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit berkata tindakan
kerajaan China yang menindas itu akan mencetuskan lebih banyak
ketegangan.
“Kami menggesa China agar memastikan kebebasan agama untuk Uighur dan
menghentikan sebarang penindasan politik melibatkan bulan Ramadan,”
katanya dalam satu kenyataan yang dipetik oleh media antarabangsa.
Menurut Raxit, pihaknya juga dimaklumkan oleh penduduk di Xinjiang
bahawa mereka diberi makanan percuma sebagai galakan untuk tidak
berpuasa manakala pihak berkuasa juga membuat pemeriksaan dari rumah ke
rumah untuk memastikan tidak ada yang berpuasa.
Xinjiang, yang juga dikenali sebagai Turkestan Timur, merupakan
wilayah autonomi di barat laut China. Ia didiami oleh etnik Uighur
beragama Islam yang menuntut kemerdekaan daripada pemerintah di Beijing.
Wilayah itu juga didiami oleh penduduk Islam daripada etnik lain
termasuk Kazakh, Kyrgyz, Uzbek, Tatar dan Tajik.
Berdasarkan bancian penduduk pada tahun 2000, etnik Uighur di
Xinjiang dicatatkan berjumlah 10.2 juta orang. Bancian terbaru yang
dibuat pada 2010 bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah yang terkini
biarpun jumlah etnik lain dicatatkan dalam bancian empat tahun lalu itu.
China menuduh etnik Uighur menggerakkan kempen keganasan untuk
menuntut kemerdekaan. Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dan
dilihat oleh kumpulan yang bersimpati dengan Uighur sebagai helah untuk
menghalalkan diskriminasi ke atas golongan minoriti itu.
amazingnara
No comments:
Post a Comment