KUALA LUMPUR: Berita pemecatan serta
merta Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan (gambar) sebagai Pengarah Pusat
Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) tidak mengejutkan tetapi
tetap mengecewakan dan tidak wajar.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim berkata, penyingkiran secara melulu bertujuan memberi amaran
kepada semua ahli akademik bahawa kebebasan mereka akan berakhir semata
untuk mempertahankan kepentingan Umno.
"Dalam pentadbiran yang rakus ini,
kebebasan mengkritik adalah hak mutlak kepada mereka sasarannya adalah
pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atau mereka yang kritikal terhadap Umno
BN," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, penghukuman yang cukup pantas
ini akan menimpa mereka yang menyokong apa-apa pandangan atau pendapat
yang kelihatan kritikal terhadap Umno apatah lagi yang memihak kepada
pembangkang.
Beliau berkata, nasib yang sama juga
telah menimpa pakar ekonomi terkenal Prof Jomo KS, profesor sains
politik Prof Dr P. Ramasamy dan pakar perlembagaan dan undang-undang Dr
Aziz Bari tidak lama dahulu.
"Dan hari ini kita lihat ia menimpa Prof
Redzuan yang telah terbukti menunjukkan prestasi akademik dengan
profesional dalam bidang penyelidikan yang menuntut objektiviti lengkap
dan kebebasan," ujarnya lagi.
Ketua Umum PKR itu menambah, amat jelas
bahawa keputusan untuk tidak menyambung tempoh Profesor Redzuan sebagai
Pengarah UMCedel amat tidak wajar.
"Beliau sekali lagi menjadi mangsa penguasa angkuh yang enggan melihat sarjana bersikap bebas dan berani," katanya.
Sehubungan itu, beliau ingin
mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri
Idris Jusoh bahawa kuasa pelantikan dan pemecatan bukannya mutlak dan
tindakan terbaru itu bukan sahaja melanggar kebebasan akademik malah
pengkhianatan terhadap harapan rakyat terhadap peningkatan mutu dan
kedudukan institusi pengajian tinggi. - HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment