Prof. Mohammad Agus Yusof ( gambar ) bersetuju dengan pelaksanaan GST, tetapi alasan persetujuan saya tidak sama dengan alasan
kerajaan. Saya bersetuju kerana saya melihat pelaksanaan GST ini
dapat meningkatkan hasil cukai serta mengelakkan berlakunya ketirisan
dalam menjana pendapatan negara.
Dengan hasil cukai yang meningkat itu, harapan saya ialah untuk negara mempunyai daya saing, negara dapat membayar hutang luar, dan negara dapat menggunakannya untuk meningkatkan kemudahan hospital, sekolah, jalan raya dan lain-lain kemudahan asas yang diperlukan oleh rakyat.
Dengan hasil cukai yang meningkat itu, harapan saya ialah untuk negara mempunyai daya saing, negara dapat membayar hutang luar, dan negara dapat menggunakannya untuk meningkatkan kemudahan hospital, sekolah, jalan raya dan lain-lain kemudahan asas yang diperlukan oleh rakyat.
Saya membaca alasan dan hujah beberapa pemimpin kerajaan. Cukup
mengelirukan. Kata mereka, GST membolehkan rakyat menikmati harga lebih
murah untuk pelbagai jenis barang. Ini kerana rakyat hanya perlu
membayar GST 6% sahaja berbanding 5% bagi cukai perkhidmatan dan 10%
cukai jualan sekarang ini.
Kata mereka lagi, GST juga dapat
menurunkan Indeks Harga Pengguna (IHP), sekali gus menurunkan
perbelanjaan isi rumah. GST juga dapat mengurangkan kos operasi para
peniaga kerana syarikat yang mencatatkan perolehan tahunan kurang
daripada RM500,000 dikecualikan daripada membayar GST.
Kata
mereka lagi, GST dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk
pertanian serta makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan
rakyat khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Otak
saya menolak hujah di atas. Jikalah GST menurunkan harga barang,
mustahil untuk rakyat menolaknya. Kenapa kerajaan tidak memberikan
alasan yang lebih sempurna dan lebih telus tentang GST supaya rakyat
senang faham?
Kenapa kerajaan tidak menyatakan GST penting
untuk meningkatkan pendapatan kerajaan bagi memastikan negara kita
kekal sebagai sebuah negara yang mempunyai daya saing? Kenapa kerajaan
tidak boleh beritahu rakyat bahawa kita perlukan wang untuk mengurus
ekonomi negara dan membayar hutang luar kita, serta membangunkan
kemudahan asas yang diperlukan rakyat?
Susahkah untuk kita
berlaku jujur dan memberi penjelasan yang tidak berbelit kepada rakyat?
Saya yakin rakyat tidak menolak GST jika kempennya tidak
mengelirukan.
Cumanya, sebelum melaksanakan GST ambillah
beberapa langkah awal supaya rakyat tidak tersepit dengan pelaksanaan
GST nanti: naikkan pendapatan rakyat, kurangkan pengangguran, tambatkan
harga komoditi dan lain-lain langkah yang kerajaan fikirkan patut.
KEMPEN GST
Dua hari lepas, Timbalan Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan akan
melatih 330 penceramah untuk memberi penerangan tentang GST di setiap
kawasan Parlimen dengan peruntukan RM2.2 juta. Kata beliau, semua
penceramah itu dipilih sendiri oleh Ketua Umno Bahagian di setiap
kawasan Parlimen dan mereka akan menjalani latihan selama tiga hari.
Persoalan saya ialah kenapa mesti Ketua Bahagian Umno yang pilih?
Bukankah GST ialah dasar kerajaan, maka kenapa tidak memberikan tugas
ini kepada pegawai kerajaan yang berkelayakan untuk menjelaskannya
kepada rakyat?
Persoalan saya seterusnya ialah apakah masih
belum mencukupi lagi kempen yang dijalankan oleh kerajaan dengan
paparan iklan GST di sepanjang jalan? Tidak cukupkah lagi dengan iklan
di tv, akhbar, dan penjelasan yang dibacakan pak imam di khutbah
Jumaat?
Saya fikir kempen yang dijalankan oleh kerajaan telah
mencukupi, cumanya pendekatan dan strategi kempen sahaja yang tidak
tepat. Untuk rakyat memahami isu GST ini mudah sahaja, berlaku jujur
kepada mereka. Nyatakan apa kesan sebenar GST kepada mereka dan
nyatakan apa kebaikan sebenar kepada negara.
GST ini pun
bukanlah sistem yang teruk. Sebab itulah ia digunakan oleh sebanyak
hampir 150 buah negara sekarang ini. Dalam kelompok negara ASEAN,
selain negara kita, hanya Brunei dan Myanmar yang belum
memperkenalkannya.
Laksanalah, tetapi ubahlah strategi kempen.
Jangan selalu memberikan alasan yang memberi ruang kepada rakyat jalan
untuk menolaknya. Hormati intelek mereka.
Tak semestinya kalau semua negara laksanakan gst sekalipun bermakna gst tu bagus. Ini adalah perangkap. Masih ingat lagi 1997? Hampir semua negara sengsara dengan krisis kewangan pada tahun tersebut trmasuk Malaysia tapi di kala kebanyakan negara ketika itu melakukan satu tindakan yang memakan diri mereka dengan meminjam pada IMF dan bank dunia, masalah mereka nyata hanya menjadi lebih berat. Malaysia dengan kebijaksanaan tun dr mahathir dapat menyelesaikan krisis ekonomi tersebut dengan cara kita sendiri. Lagipun, lihat pada brunei yang tidak melaksanakan gst merupakan suatu langkah yang tepat kerana rakyat mereka pun makmur dengan kos sara hidup yang rendah tetapi menikmati kualiti hidup yang lebih tinggi.
ReplyDelete