Salam, ustaz baru-baru ni heboh pasai
Tun cakap hudud tak wajib ke atas orang Islam sebab tiada dalam al-Quran
katanya hanya kata-kata ahli fiqah saja. Apa pendapat ustaz pula,
sedangkan para ulamak-ulamak memperjuang hukum hudud Allah kerana
terdapat dalam al-Quran juga mengatakan wajib melaksanakan hukum
Allah...
Jawapannya
Memang semua orang kenali bahawa Tun
Mahadir adalah orang yang bijak. Banyak jasa-jasanya yang dilakukan
terhadap pembangunan negara sewaktu ia menjadi perdana menteri Malaysia
dahulu. Cuma kekurangan yang ada pada Tun adalah ilmu-ilmu agama, sebab
itulah ada sebahagian hujah-hujah agama yang dikeluarkan oleh Tun sangat
bertentangan dengan disiplin ilmu agama yang ada. Berlakulah
pandangan-pandangan yang sangat meleset dari kebenaran yang telah
dirungkaikan oleh ulama dari dua manhaj yang ditinggalkan Rasulullah SAW
iaitu al-Quran dan sunah.
Mengenai kata-kata Tun bahawa hukum
hudud tiada di dalam al-Quran itu merupakan satu kesalahan yang sangat
besar. Kerana dari segi hakikatnya banyak ayat-ayat al-Quran yang
menceritakan tentang pelaksanaan hukum hudud. Untuk makluman pembaca
budiman, hudud adalah sebahagian kecil undang-undang Islam yang terdapat
di bab Jenayah Islam. Sebenarnya undang-undang Islam meliputi semua
perkara yang dinamakan syariat Islam termasuklah hukum qisas, hudud dan
takzir.
Mari kita singkap ayat-ayat al-Quran yang menceritakan kewajipan melaksanakan hukum hudud, antaranya ialah :
Kesalahan mencuri. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Lelaki yang mencuri dan perempuan
yang mencuri, potonglah tangan kedua-dua mereka (sebagai) pembalasan
terhadap apa yang telah mereka lakukan dan sebagai seksaan
(kemurkaan)dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Maidah : 38)
Kesalahan berzina. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Perempuan-perempuan yang berzina dan
lelaki-lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari
keduanya seratus kali sebatan dan janganlah belas kasihan kepada
keduanya menghalang kamu dari menjalankan agama(hukuman) Allah, jika
kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan hendaklah perlaksanaan
hukuman terhadap mereka berdua disaksikan oleh sekumpulan orang-orang
yang beriman”. (Surah an-Nur : 2)
Kesalahan menuduh zina tanpa empat orang saksi.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang menuduh
wanita-wanita yang baik-baik melakukan zina dan mereka tidak
mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (penuduh) dengan 80
kali sebatan dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka
selama-lamanya dan mereka itulah orang-orang yang fasiq”. (Surah an-Nur : 4)
Kesalahan minum arak. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman,
sesungguhnya meminum arak, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi
nasib dengan panah adalah perbuatan keji dari perbuatn syaitan. Maka
jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan.
Sesungguhnya syaitan itu ingin menimbulkan permusuhan dan kebencian di
kalangan kamu dengan meminum arak dan berjudi, dan menghalangi kamu dari
mengingati Allah dan mendirikan sembahyang, maka adakah kamu mahu
berhenti (dari melakukan perkara tersebut)”. (al-Maidah : 90-91)
Kesalahan murtad. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Barangsiapa yang murtad di kalangan
kamu dari agamanya lalu dia mati dalam keadaan kekafiran itu, maka
sia-sialah segala amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka inilah
penghuni neraka dan kekal di dalamnya selama-lamya”. (Surah al-Baqarah : 217)
Kesalahan menderhaka kepada pemerintah Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Balasan orang-orang yang memerangi
Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi,
ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak
merampas, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau
mereka merampas sahaja) atau di buang negeri (kalau mwereka mengganggu
ketenteraman awam. Hukuman yang demikian adalah suatu kehinaan di dunia
bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat
besar.” (al-Maidah : 33)
Hudud ini bukan rekaan ahli fekah,
tetapi sudah lama termaktub di dalam kitab al-Quran dan hadis. Jadi
dakwaan mengenai rekaan ahli fekah itu adalah tuduhan yang salah tanpa
menyelidiki dahulu sumber-sumber yang dibincangkan oleh ulama fekah.
Inilah musibah yang dihadapi oleh kita semua apabila orang yang tidak
ahli berhujah mengenai hukum-hukum Islam. Amat malang semua ini dirujuk
pula kepada mereka yang jelas ingin menentang kebenaran Islam dengan
menolak dalil-dalil hadis dan mereka berkata al-Quran sudah lengkap
tidak perlu lagi hadis-hadis dan hujah ulama.
Gambaran yang dapat saya buat di sini
seperti sebuah kapal yang berlayar di lautan luas, ia memerlukan satu
enjin yang kuat, body yang tahan dari pukulan ombak, nahkodanya juga
cukup arif dalam bidang pelayaran. Insyaallah semua anak kapalnya akan
selamat tiba ke distinasi yang dituju. Cuba anda bayangkan bagaimana
jadinya kapal tersebut apabila kurang salah satu dari tiga komponen yang
penting ini. maka sudah pasti ia tidak boleh belayar, sekiranya belayar
ia akan melencung jauh dari distinasinya.
Begitu juga Islam terdiri daripada
beberapa asas utama iaitu al-Quran, al-Hadis dan ijmak ulama. Di sini
bukan bermaksud al-Quran itu lemah, tetapi ia menjadi sokongan atau
penguat antara satu sama lain. Sebenarnya setiap hadis dan ijmak ulama
itu datangnya juga dari al-Quran. Jadi tidak ada satupun hukum Islam itu
yang direka oleh ahli fekah. Buktinya boleh lihat di dalam kitab-kitab
fekah setiap hujah dikuatkan dengan al-Quran dan hadis.
Akhir sekali, diharapkan Tun dan juga
mereka yang berpandangan sama dengannya kembalilah bertaubat dan
perbetulkan pandangan agar ia selaras dengan apa yang dinyatakan oleh
al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Sebelum mengeluarkan sesuatu hujah
mengenai Islam, maka sebaiknya rujuklah kepada mereka yang ahli
mengenainya, supaya setiap pandangan dibuat tidak sesat jauh dari jalan
yang dibawa oleh Islam.
No comments:
Post a Comment