Larangan
penggunaan kalimah Allah yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan semalam
hanya terpakai kepada akhbar mingguan Katolik, Herald dan bukannya
kepada penerbitan Kristian lain atau Bible dalam bahasa Melayu, Al-Kitab
yang digunakan di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Dalam
Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata keputusan Kabinet membenarkan penggunaan kalimah Allah
dalam Al-Kitab di Sabah dan Sarawak serta jaminan yang dikeluarkan oleh
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 2011 masih
terpakai.
Katanya, isu ini masih belum selesai dan beliau percaya kes ini akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. "Saya percaya akan ada lagi semakan kehakiman."
Wan Junaidi berkata keputusan oleh Mahkamah Persekutuan kelak akan mengakhiri segala perkara berbangkit.
Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan nanti akan dipolitikkan oleh pihak tertentu.
"Keputusan yang diputuskan mahkamah adalah berpandukan Perlembagaan dan tidak menerima tekanan daripada sesiapa.
"Bermakna polis atau agensi lain tidak mempengaruhi keputusan mereka,"
katanya ketika ditemui dalam satu acara penyembelihan korban di Tabuan
Hilir, Sarawak.
Namun, Wan Junaidi berkata kerajaan berpandukan undang-undang boleh
menggunakan kuasanya untuk menarik balik keputusan mahkamah melalui
pindaan undang-undang di Parlimen.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau memberi amaran
kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar tidak
membabitkan negeri di Malaysia Timur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan
semalam.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UPKO berkata penggunaan kalimah Allah
di Sabah dan Sarawak tidak mendatangkan apa-apa masalah di sana. Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah itu sejak 100 tahun lalu dengan aman dan harmoni.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing turut senada dengan Madius. "Datuk Zulkifli Noordin tinggalkan keputusan itu di Semenanjung dan
jangan bawanya ke Sabah dan Sarawak untuk merosakkan keharmonian di
sini."
Masing-masing turut menyuarakan kebimbangan sekiranya keputusan itu
terpakai kepada Al-Kitab akan memungkiri janji Datuk Seri Najib Razak di
Sibu pada 2010.
"Sekiranya perkara itu benar berlaku akan merosakkan kredibiliti
Barisan Nasional (BN) dan Najib sebagai Perdana Menteri," katanya. - 15
Oktober, 2013.
No comments:
Post a Comment