Mahkamah
Syariah Kelantan kini sudah mampu untuk menguruskan pelaksanaan
undang-undang hudud jika kerajaan Kelantan pimpinan PAS mampu
menguatkuasakan undang-undang berkenaan di negeri ini.
Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud
Muhammad berkata ini kerana segala prasarana berkaitan pelaksanaan hukum
Islam itu sudah lengkap termasuk mempunyai hakim untuk melaksanakannya.
“InsyaAllah Kelantan sudah boleh
laksanakan hudud. Undang-undang sudah ada dan kalau perlu tambah hakim,
kita tambah,” katanya selepas Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah
Negeri Kelantan di Bandar Baharu Tunjung di sini, hari ini.
Perasmian kompleks berharga RM25.8 juta
itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang turut dihadiri
Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar
Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah
Kelantan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Pada 1993, Dewan Undangan Negeri
Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 untuk
membolehkan kerajaan Kelantan melaksanakan hukum Islam itu.
Bagaimanapun sehingga kini
pelaksanaannya tidak dapat dilaksanakan termasuk disebabkan ia mendapat
tentangan daripada rakan sekutu mereka iaitu DAP.
Sementara itu, Daud berkata tidak ada
kes tertunggak melibatkan pelbagai kes umat Islam di Mahkamah Syariah di
negeri ini dan itu dianggap satu kejayaan.
“Kami berjaya menyelesaikannya
sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun daripada kes itu berjalan. Ini
kerana kami mempunyai kelengkapan termasuk hakim yang mencukupi,”
katanya.
No comments:
Post a Comment