Pada sebelah pagi Khamis (1 Ogos 2013), Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengadakan hari terbuka di
Matrade, Jalan Duta. Tujuannya satu: mendengar keluhan rakyat tentang
TPPA dan memberi
penerangan mengenainya. Ini adalah satu usaha Kementerian yang baik,
tetapi setahu saya telah banyak penerangan seumpama itu diberikan,
namun tidak satu pun penjelasannya yang menyakinkan.
Alih-alih
apa yang kita dengar ialah Malaysia akan mendapat manfaat daripada
TPPA ini kerana pasaran Malaysia akan lebih besar mengjangkau ke 793
juta orang orang di 60 negara Pasifik. Malaysia akan hebat kerana
tidak lagi menjadi ‘jaguh kampung’, tetapi menjadi jaguh global.
Barangan di Malaysia pula semuanya berkualiti kerana tidak banyak lagi
barang tiruan yang dilambakkan di pasaran negara kita.
MITI
juga cuba meyakinkan kita bahawa kita tidak akan berkompromi sekiranya
perjanjian ini menggugat kedaulatan negara kita. Kita juga mempunyai
pakar-pakar ekonomi dalam agensi kerajaan seperti UPE, Perbendaharaan
dan Bank Negara untuk memantau keadaan ini.
Persoalannya,
jikalah TPPA ini baik, mengapa dari 60 negara Pasifik, hanya 12 sahaja
yang terlibat dalam perundingan ini? Jika pasaran terbuka luas untuk
Malaysia, mengapa China dan Korea Selatan tidak turut sama menyertai
perundingan ini? Jika kerajaan cuba menjustifikasikan kemasukan Jepun
dalam perundingan ini sebagai bukti TPPA itu baik, saya kira itu
merupakan analisis yang silap. Jepun telah lama maju sebagai ‘pedagang
dunia’ sejak sebelum datangnya TPPA lagi. Jadi Jepun tidak perlukan
TPPA untuk mengajar mereka tentang perdagangan dunia.
Kelemahan
TPPA ini banyak. Kos kesihatan menjadi mahal, harga ubatan juga mahal
kerana ubat generik disekat, undang-undang hak cipta akan menyekat
kebebasan internet dan akses kepada maklumat, harga fotokopi dan buku
untuk perpustakaan, sekolah, dan perniagaan, semuanya akan meningkat.
Ini tentunya menyusahkan rakyat miskin kerana perlu membayar lebih untuk
semua jenis produk. Bank asing, syarikat insurans dan peniaga wang
akan mendapat lebih kuasa untuk mencabar undang-undang negara sekiranya
undang-undang kita boleh memberi kesan kepada nilai pelaburan mereka
dan banyak lagi lainnya.
Jika kita kata bahawa kita perlu TPPA
untuk pasaran barangan kita, saya tidak nampak pula barangan kita
banyak. Eksport kita banyak bergantung kepada petroleum dan minyak
sawit sahaja, bukannya banyak barangan lain pun. Tetapi kalau eksport
AS, memang banyak. Jadi, perlukah kita terus menjadi alat kepada AS
ini?
Jika Malaysia masuk TPPA ini dan menjadi negara pasaran
bebas, maka yang paling untung nantinya ialah Singapura. Ini kerana
perdagangan Singapura ini jauh lebih cekap dan efisien dari negara kita.
Saya ragu kita boleh bersaing dengan kehebatan Singapura dalam soal
ini. Jika sebelum ini Singapura sukar untuk menceroboh masuk secara
bebas dalam pasaran negara kita, tetapi dengan TPPA Singapura boleh
masuk melalui pintu belakang TPPA ini. Sudah bersediakah kita?
Jadi, satu cara untuk menghilangkan keraguan rakyat tentang TPPA ini
ialah kerajaan perlu dedahkan inti utama kandungan perundingan ini
supaya rakyat tidak lagi mempunyai persepsi negatif. Ini kerana TPPA
ini memberi kesan kepada kita semua. Dalam berhubung dengan kuasa
besar, tulisan seorang pemerhati ini perlu diberi perhatian: “anything
that is aggressively promoted by the super-power are not good for the
non super-power. More often than not, it will benefit the super-power at
the expense of non-super-power.”
Hari Khamis ini jika ada
kesempatan, saya akan ke Matrade. Sebagai rakyat saya mahu tahu apakah
langkah dan tindakan yang kerajaan akan ambil untuk perkara berikut:
i. Memastikan kos kesihatan dan kos ubat tidak naik.
ii. Memastikan harga buku dan kos pendidikan tidak naik.
iii. Memastikan peniaga IKS tidak terjejas?
iv. Memastikan kedaulatan negara kita tidak dicabar oleh syarikat
besar?
Secara peribadi saya melihat TPPA ini ada baiknya untuk negara. Kita
perlu menyokongnya jika kerajaan dapat membuktikan telah mempunyai
mekanisme untuk mengatasi kerisauan yang saya timbulkan di atas.
Sekiranya MITI tidak dapat memberikan jawapan yang menyakinkan, maka
saya fikir kita mesti berhati-hai sebelum bertindak lebih jauh. Ini
kerana jurang kehidupan antara rakyat kita masih luas. Jika kita
bercakap soal untungnya kita dengan pasaran bebas, ingatlah bahawasanya
apa yang kita mahu ialah FAIR trade bukannya FREE trade.
No comments:
Post a Comment