Dalam
pergolakan yang berlaku di Mesir yang menyaksikan berlakunya rampasan
kuasa serta Presiden Dr Morsi digulingkan, hampir seluruh dunia dan umat
Islam mengecam kejadian itu.
Ia bukan saja menggambarkan
sebuah kerajaan Islam yang dipilih secara sah dan demokratik diakhiri
dengan cara yang tidak demokratik tetapi juga kerana menampakkan adanya
permainan tangan-tangan ghaib di belakang kejadian itu.
Sementara
pelbagai pihak di Malaysia menyuarakan bantahan serta kecaman atas
kejadian itu sejak semalam lagi, pendirian kerajaan dan Najib tetap
ditunggu-tunggu mengenainya.
Ramai yang ingin tahu apakah
pendirian Najib dalam kejadian itu. Oleh kerana Najib kebetulan sedang
mengadakan lawatan rasmi ke United Kingdom, Najib hanya bercakap kepada
wartawan mengenai insiden di Mesir pada hari ini.
Sementara Anwar, PKR dan PAS
secara terbuka dan tegas mengecam rampasan kuasa melalui tentera untuk
mengguling Dr Morsi itu sambil mengajak seluruh dunia yang mengamalkan
demokrasi turut mengutuk tindakan sebegitu rupa, kenyataan Najib
mengenai insiden Mesir agak mengecewakan.
Beliau seolah-olah mengutuk
tindakan melakukan perubahan dan menjatuhkan Hosni Mubarak sebelum ini
dengan mengatakan perubahan tidak semestinya menjamin kemakmuran
sedangkan seluruh dunia mengetahui era 30 tahun Hosni Mubarak penuh
dengan segala macam penyelewengan, penindasan serta rompakan wang
rakyat. Dalam masa yang sama, Najib seperti gembira dengan penggulingan
Dr Morsi dengan berharap kerajaan baru segera dibentuk.
Sebaliknya, pendirian Khairy
Jamaluddin dan Pemuda UMNO dilihat lebih matang dan menggambarkan beliau
memahami keadaan sebenar yang berlaku di Mesir, sambil turut mengecam
rampasan kuasa yang berlaku itu.
Mari kita bandingkan perbezaan kenyataan antara Najib dan KJ mengenai insiden yang berlaku di Mesir itu.
Kenyataan Najib antaranya
berbunyi, rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada konflik di
Mesir apabila perubahan yang ingin dituntut tidak semestinya menjamin
kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.
Perdana Menteri juga berkata,
perubahan yang tidak diurus dengan baik boleh membawa penderitaan kepada
rakyat seperti kenaikan harga barang, peningkatan pengangguran dan
industri pelancongan menjadi lumpuh.
Akhirnya ia membawa kepada
rakyat sendiri yang menuntut perubahan sekali lagi, oleh kerana
perubahan itu tidak memenuhi kehendak rakyat dan apa yang diharapkan
oleh kita. Sambil menyifatkan apa yang berlaku di Mesir adalah soal
dalaman negara ini dan sesuatu yang sudah terjadi, namun Najib
mengharapkan kerajaan baru dapat diwujudkan, yang mencerminkan hasrat
dan aspirasi rakyat negara itu.
Bandingkan pula dengan pendirian KJ dan Pemuda UMNO yang berbunyi,
"Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam rampasan kuasa dan penahanan Dr Morsi. Insiden yang tercetus selepas demonstrasi berpanjangan ini bukan saja telah meragut nyawa, tetapi juga membawa rusuhan dan pertembungan ganas antara pihak penyokong dan penentang kerajaan di sana.
"Harus diingat bahawa Presiden Dr Morsi adalah seorang pemimpin yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir melalui proses pilihanraya dan bukannya rusuhan jalanan. Beliau tidak sepatutnya digulingkan dengan sebegitu rupa kerana ini bukan saja melanggari prinsip dan amalan demokrasi tetapi juga mengkhianati amanah rakyat.
"Ini adalah iktibar kepada seluruh masyarakat antarabangsa bahawa keputusan demokrasi mestilah diterima dan dihormati oleh semua. Sebarang tindakan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik nyata melanggari batasan undang-undang dan perlembagaan. Oleh itu, tindakan sebegini hendaklah dikecam dan ditolak sepenuhnya."
Jelas terdapat perbezaan yang
nyata antara kenyataan Najib dan KJ. Selain hanya bercakap mengenai
perubahan dalam perspektif yang sempit dan mengharapkan penubuhan
kerajaan baru, Najib langsung tidak mengecam tindakan rampasan kuasa dan
menggulingkan Dr Morsi. Berbeza dengan KJ, beliau mengecam apa yang
berlaku di Mesir, mahu suara rakyat melalui demokrasi dihormati dan
tidak menyebut langsung mengenai kerajaan baru. Secara logiknya,
kerajaan baru tidak seharusnya dialu-alukan kerana ia seperti merestui
tindakan menjatuhkan Dr Morsi.
Najib seperti menyatakan pendirian yang senada dengan Amerika dan tidak mahu menyinggung kuasa besar itu.
Ternampak juga bahawa Najib
seperti tidak mahu memahami bahawa ramasan kuasa dan penggulingan Dr
Morsi bukanlah kerana kerajaannya tidak memenuhi aspirasi rakyat tetapi
kerana diganggu-gugat secara halus oleh tangan-tangan ghaib yang mahu
menjatuhkan kerajaan Islam itu.
Kemenangan Dr Morsi adalah
kemenangan majoriti iaitu 52 peratus suara rakyat dalam pilihanraya lalu
tetapi golongan liberal dan sekular sentiasa mahu menjatuhkannya.
Pelbagai isu dan kelemahan
dicari, tambahan pula dengan adanya bantuan Amerika, Yahudi dan Israel,
usaha menggoncang kerajaan Dr Morsi sentiasa berjalan. Bukti nyata
tentang adanya campurtangan Amerika, Yahudi dan Israel ialah bilamana
sebaik saja Dr Morsi digulingkan, terowong yang merupakan laluan ke
Palestin segera ditutup dan ini menyebabkab rakyat Palestin terkepung
serta tidak dapat melarikan diri lagi jika sesuatu berlaku di negara
itu.
Mesir, antara negara yang
bersempadan dengan Palestin memang sentiasa dalam radar dan pemerhatian
Amerika, Yahudi dan Israel dalam usaha mereka terus menindas dan menekan
rakyat Palestin. Jika selama terowong itu dibuka, rakyat Palestin ada
tempat untuk melarikan diri, kini dengan penutupannya mereka jadi
terkepung dan tidak boleh lari ke mana-mana lagi.
Dalam isu Mesir, jelas matlamatnya ialah meluaskan pengaruh dan kuasa Israel di Palestin.
Dr Morsi dipilih sebagai
Presiden Mesir melalui pilihanraya yang sah dan demokratik setelah
kerajaan pimpinan Hosni Mubarak yang penuh dengan penyelewengan,
pembaziran, kemewahan dan pelbagai salah guna kuasa selama 30 tahun
ditolak oleh rakyat negara itu. Apabila Dr Morsi yang bersih peribadi
dan akhlak keluarganya juga terpuji memimpin Mesir, kuasa-kuasa Barat
terutama Amerika nyata tidak senang dengan beliau. Pelbagai alasan dan
kelemahan dicari untuk menyingkirkannya. Dr Morsi dianggap mengancam
Israel.
Sementara kita rakyat Malaysia
bersedih dengan apa yang berlaku di Mesir dan banyak masjid turut
melakukan sembahyang hajat memohon pertolongan Tuhan, membaca dan
mengamati kenyataan serta pendirian Najib, sebenarnya jauh lebih
menyedihkan. ~
shahbudin.com
No comments:
Post a Comment