Pemberian
tunai tidak membantu parti pemerintah pada pilihan raya umum ke-13
(PRU13) kerana rakyat menganggap mereka berhak memiliki wang mereka
sendiri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).
"Sebenarnya, pemberian itu langsung tidak berkesan. Penerima bantuan
terutama penyokong pembangkang, tidak berterima kasih kerana menganggap
ia wang mereka. Itu duit cukai bukan wang kerajaan atau BN," katanya.
Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun sekali gus paling lama dalam
sejarah tanah air itu berkata demikian pada temu bual dalam rencana
Utusan Malaysia hari ini.
Beliau juga menyifatkan amalan pemberian tunai itu berlawanan dengan pentadbirannya antara 1981 dan 2003. "Sebelum ini, kerajaan memastikan persekitaran melalui kemudahan kepada
masyarakat, pengendalian ekonomi, pelaburan dan banyak lagi untuk
dinikmati rakyat.
"Bukannya beri wang kerajaan tetapi kita sediakan ruang dan persekitaran yang sesuai untuk kehidupan rakyat. "Sekarang, kita lihat ramai graduan tidak ada pekerjaan. Mungkin rakyat
berasa puas hati apabila menerima bantuan tunai tetapi ia sebenarnya
tidak cukup. Ia akan habis dalam beberapa hari," katanya.
BN membuat dua pemberian tunai melalui Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)
dan berjanji melalui manifesto pilihan raya untuk memberi RM1,200
kepada keluarga isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.
Sekalipun begitu, BN hilang lebih banyak kerusi kepada Pakatan Rakyat,
hanya 133 berbanding 140 pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008.
Kepada satu soalan berkaitan kecaman Ketua Eksekutif AirAsia X, Azran
Osman Rani terhadap Utusan Malaysia berikutan akhbar itu dilihat menyiar
laporan berunsur rasis, Dr Mahathir berkata:
"Inilah jenis Melayu berkualiti rendah. Ini kerana nilai kehidupan
mereka tidak tahu berterima kasih kepada Melayu lain." - 21 Julai, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment