GAMBAR LAKONAN BLACKOUT 505: MENYANGKAL DAKWAAN SPR
Saya mengecam kenyataan Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR) melalui Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar
yang menyatakan bahawa kejadian Blackout 505 yang tersebar di internet
dan akhbar adalah fitnah dan lakonan yang dirakam sebelum PRU 13.
Ternyata hasil penelitian dan siasatan
awal yang dilakukan beliau bersama pegawai-pegawainya adalah sangat
lemah dan hanya sekadar ingin menutup kelemahan sistem pilihanraya yang
ada dan menafikan kejadian blackout yang benar-benar berlaku.
Saya ingin menyatakan bahawa gambar yang
tersebar tersebut adalah benar dan kejadian itu berlaku di SEKOLAH
KEBANGSAAN SERDANG, di bilik pengiraan undi Saluran 3.
“Counting Agent” kami telah mengambil beberapa gambar sebelum dan selepas kejadian blackout tersebut itu berlaku.
Saya juga melihat beberapa kelemahan
Timbalan Pengerusi SPR dalam menilai beberapa aspek dikatakan Prosedur
Operasi Standard (SOP) SPR sewaktu hari mengundi pada 5 Mei 2013 yang
lalu.
Bagaimana beliau sendiri tidak tahu pakaian rasmi petugas-petugas SPR berwarna kelabu pada hari tersebut.
Saya juga berasa hairan kerana beliau juga tidak kenal kotak bekas kiraan undi yang digunakan oleh pihak SPR sendiri.
Gambar tersebut dengan jelas menampakkan logo SPR di tepi kotak kiraan undi yang digunakan.
Sewaktu kejadian itu berlaku, wakil
calon kami juga telah berusaha membekalkan lampu suluh ke bilik kiraan
undi tersebut bagi memastikan proses kiraan undi berjalan dengan lancar.
Saya menafikan bahawa terdapat wartawan
di lokasi kejadian kerana yang ada hanya Ketua Tempat Mengundi (KTM),
petugas SPR, wakil calon dan anggota polis yang bertugas.
Oleh itu, saya menyarankan agar pihak
SPR khususnya Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar memohon
maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah melakukan kesilapan
dalam mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian yang mendalam dan
mengambil ringan isu yang dibangkitkan oleh rakyat.
SPR sebagai badan rasmi yang menguruskan
pilihanraya ini mesti dilihat profesional, adil dan telus serta tidak
berpihak kepada mana-mana parti.
YB NOOR HANIM ISMAIL
ADUN SERI SERDANG.
25 Mei 2013 / 15 REJAB 1434
No comments:
Post a Comment