PERAYAAN HARI GURU 2013 " 1 ASPIRASI 1 AGENDA "
SELAMAT HARI GURU -
kepada semua warga pendidikan seluruh sengara.
Guru
adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja
perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti
akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan
kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.
Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang
membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu. Tanpa guru
siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera
dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita
sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita
menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya.
Adalah
menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun
mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai
pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar
orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh
syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah
kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang
berkuasa) dari kalangan kamu." (An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu
hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya,
masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada
memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat.
Tergamam
anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi
kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau
memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi
badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai
cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila
diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie "
Pada suatu
hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu
bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup
umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau
kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing
mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi.
Badwi itu
menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki
belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak
mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku
dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu
sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan
menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak
mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami."
(Riwayat Ahmad)
Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati
dengan guru.
Sudah
menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang
berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah
dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata,
"Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan
kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat
banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal
dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang
tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.
Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka
merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta
nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan guru dalam
setiap urusan mereka.
Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang
pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang
doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru
mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan
di sisi Allah s.w.t.
Ulama
terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama
yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan
panggilan "engkau" dan "awak". Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata
"Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata
seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan
dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim
kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan
guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan
suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk
berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah.
Perbuatan
ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan
merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab
diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan
guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan
diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur
ataupun selesai dari berehat.
Ibnu 'Abbas
r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w
untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan
kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu.
Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu
'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah
mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana
mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua
termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment