Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Friday, April 27, 2018

TIGA PENJURU - SIAPA YANG AKAN RUGI?





- Gambar hiasan 

PADA 9 Mei ini akan menyaksikan persaingan sengit tiga penjuru antara BN, Pas dan Pakatan Harapan (Harapan) yang dilihat akan menentukan keputusan PRU14. 

Namun, adakah benar tiga penjuru ini akan menguntungkan BN dan merugikan Pas serta Harapan, atau sebenarnya Harapan dan Pas mampu cipta kejutan pada hari pengundian nanti. 

Beberapa pemerhati politik melihat senario ini sangat penting dalam menentukan keputusan siapa yang akan memerintah negara selepas PRU14 kerana kuasa undi orang Melayu amat penting termasuk di kerusi-kerusi campuran Melayu, Cina dan India. 

Sukar ramal siapa akan menang 

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berpandangan, keputusan untuk menilai parti yang akan memenangi dalam persaingan tiga penjuru dalam PRU14 nanti sukar diramal kerana terdapat beberapa faktor penting bagi menilai perkara itu, antaranya adalah peratusan pengundi iaitu Melayu, Cina dan India.

 “Sekiranya pengundi Melayu lebih daripada 80 peratus, BN ada peluang kerana pengundi Pas dan PKR berpecah dua. Andaian undi bukan Melayu sebanyak 20 peratus itu juga akan pecah. 

“Situasi ini juga serupa sekiranya jumlah pengundi di bawah 80 peratus tetapi lebih daripada 60 peratus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. 

Mengulas peluang Pas, Nik Ahmad Kamal berkata, Pas berpeluang memenangi kerusi Parlimen atau Dun sekiranya pengundi Melayu lebih daripada 80 peratus. 

Namun, sekiranya pengundi Melayu lingkungan 40 hingga 60 peratus, peluang PKR untuk menang adalah cerah dengan sokongan pengundi bukan Melayu. 

“Jika pengundi bukan Melayu majoriti, Harapan lebih banyak peluang untuk menang,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, itu adalah andaian dalam senario pengundi Melayu majoriti dan minoriti sahaja, belum dilihat dalam angkubah lain seperti peratusan pengundi muda di bawah 30 tahun, pengundi pertama dan sebagainya. 

BN dapat kelebihan 

Menurut Pakar Geostrategis, Azmi Hassan, analisis sesetengah pihak berhubung situasi tiga penjuru yang dijangka memberi kelebihan kepada BN mungkin ada benarnya. 

“Apabila Pas memberi kenyataan akan bertanding 160 kerusi Parlimen maka isu pertandingan tiga penjuru sudah pasti berlaku di kebanyakan kerusi Parlimen dan juga Dun. Ini kerana Pas dianggap sebagai pembangkang walaupun ketika ini mesra BN dan semestinya penyokong Pas terdiri daripada kumpulan yang tidak akan undi BN. 

“Sebab itu dihujahkan perpecahan undi akan berlaku dan pihak yang paling terkesan secara negatif adalah Pas dan Harapan, manakala status quo kekal bagi BN iaitu BN akan terima kesan positif,” katanya. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir pula berkata, dalam pertembungan tiga penjuru, Pas dilihat tidak mempunyai kelebihan kerana kekuatan parti berteraskan Islam itu tidak sama seperti PRU13. 

“Harus diingat pada PRU13 kemenangan besar itu adalah disebabkan dokongan kuat parti komponen Pakatan Rakyat. Jadi saya menjangkakan kekuatan Pas terhakis 30 peratus,” katanya. 

Disebabkan itu Jeniri mendakwa, Pas tidak boleh bermimpi untuk menjadi ‘kingmaker’ andai PRU13 menjadi kayu pengukur. Pas sukar menang 

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula berpendapat, pada PRU14 ini, Pas tidak berupaya untuk menang kerusi Parlimen atau Dun kerana parti berkenaan bertanding di atas tiket parti itu sendiri dan tidak bertanding berdasarkan kerjasama dengan parti-parti politik yang lain. 

Katanya, Pas boleh menang sekiranya mendapat kerjasama daripada parti-parti lain. 

Jelasnya, peperangan hanya berlaku antara BN dengan Harapan dan di antara kedua-dua parti ini, keputusan bergantung kepada sejauh mana sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu. 

Beliau menambah, kajian statistik dari Invoke, Ilham Center, Merdeka Survey Center, Unisel dan beberapa NGO menunjukkan bahawa secara umumnya, tahap sokongan pengundi Melayu terhadap BN kurang daripada 40 peratus dan tahap sokongan pengundi Cina pula melebihi tahap sokongan Melayu. 

“Jadi, kalau tidak ada apa-apa aral melintang dan semua berjalan dengan baik, Harapan boleh memenangi lebih daripada tujuh atau sembilan negeri. 

“Cuma Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Perlis, BN boleh menang,” katanya. Harapan terima kesan negatif 

Sementara itu, Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib pula berpendapat, pertembungan tiga penjuru yang sengit pada PRU14 ini pasti menyaksikan salah satu parti ‘bungkus’ atau kalah serta mengulangi episod PRU13 yang lalu. 

Menurutnya, jika berlaku pertempuran tiga penjuru antara BN, Pas dan Harapan, sudah pasti Harapan akan mendapat kesan negatif.

 “Parti yang akan mengalami trauma ialah PKR berbanding DAP, itu pun jika masyarakat Cina berterusan tidak mengubah polarisasi sokongan dan dalam hal ini yang dapat untung besar ialah DAP,” katanya. 

Apapun pandangan dalam isu ini, tiada siapa pun menolak PRU14 kali ini akan berkisah tentang kuasa undi Melayu. 

Pengundi Melayu walaupun dipecahkan kepada pelbagai parti politik, namun masih lagi merupakan penentu kepada pembentukan kerajaan. 

Sama ada BN dapat untung atau Pas jadi ‘kingmaker’ selepas PRU14 atau Harapan mampu cipta kejutan merampas Putrajaya, diharap perjalanan pilihan raya kali ini berlangsung dengan harmoni. 


Ini penting supaya rakyat dapat keluar mengundi dengan tenang dan boleh membuat pilihan tepat pada 9 Mei nanti.


Make Google view image button visible again: https://goo.gl/DYGbub

No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA