Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Thursday, March 8, 2018

PENGARAH JSJ - DIMANA SILAPNYA

Wan Ahmad Najmuddin Mohd (tengah) adalah ketua polis Johor ketika beliau
meminta bantuan seorang rakan rapat, warga India untuk mengendalikan urusan
pemindahan wang di Australia pada 2016. – The Malaysian Insight, 6 Mac, 2018.

 SEJUMLAH 54 transaksi, setiap satu di bawah paras AU$10,000(RM30,210). Di negara mana sekali pun di dunia ini, ia sudah tentu mencetuskan rasa keraguan, dan syak wasangka. 

 Apatah lagi jika ia akaun seorang pegawai polis.

 Wan Ahmad Najmuddin Mohd ialah pegawai polis kanan, bukan anggota biasa. Beliau pernah menjadi ketua polis Johor dan kini mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). 

 Bukan itu saja, beliau memberitahu pihak berkuasa Australia bahawa beliau tidak akan menuntut AU$320,000 yang dirampas. Walaupun ia hasil daripada penjualan rumahnya dan hendak digunakan untuk membiayai pendidikan anaknya. 

 Polis Malaysia membebaskannya daripada segala salah laku sementara Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata Wan Ahmad “naif” tentang perundangan di Australia. 

 Isu Wan Ahmad menjadi tumpuan minggu lalu selepas Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan polis Australia merampas wang itu selepas disyaki akaun bank miliknya di Sydney terbabit dalam penggubahan wang haram. 

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low yang bertanggungjawab memantau kegiatan anti rasuah di negara ini berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat kes itu. Pandangannya itu dikongsi beberapa kumpulan persatuan sivil. 

 Berikut antara fakta kes itu, kenyataan daripada pihak berkuasa Malaysia dan persoalan yang kekal tidak berjawab : 

 SMH melaporkan Wan Ahmad membuka akaun “Goal Saver” di Commonwealth Bank pada 2011, menggunakan alamat di Bankstown dan kemudian Glebe di Sydney. Sejak 2011, Wan Ahmad berkunjung ke Australia sembilan kali, biasanya menggunakan visa pelancong, dan berada di sana kurang seminggu, dan kadangkala dengan wang tunai yang banyak.

Sepanjang tiga perjalanan pada 2011 dan 2012, beliau mengisytiharkan AU$112,000 (RM338,357) kepada kastam Australia. Beliau membuka akaun ketika salah satu lawatan itu menggunakan namanya sendiri di Commonwealth Bank cawangan Haymarket di Sydney. Wang itu katanya bagi pengajian bidang penerbangan untuk anak lelakinya. 

 Pada Disember 2012, sehari selepas tiba di Australia, sebanyak AU$30,000 (RM90,631) dimasukkan ke akaunnya dari beberapa lokasi berbeza iaitu Merrylands, Ryde, Strathfield dan Burwood. Sejumlah AUD$8,000 (RM24,167) dikeluarkan di Haymarket.

Ketua Polis Negara (KPN) Mohamad Fuzi Harun mengeluarkan kenyataan sehari selepas laporan SMH disiarkan. Beliau mempertahankan pengarah JSJ itu dan berkata siasatan dalaman diadakan dan Wan Ahmad dibebaskan daripada segala salah laku.

 KPN juga berkata wang itu diperoleh daripada jualan rumah Wan Ahmad di Shah Alam, yang dijual pada harga RM700,000 (AU$260,770). 

 SOALAN: Dari mana Wan Ahmad memperoleh RM338,357 yang diisytiharkan kepada kastam Australia pada 2011 dan 2012? Adakah ia juga hasil jualan rumahnya? Siapa memasukkan wang itu ke dalam akaun Wan Ahmad? Dan kenapa deposit itu dibuat di beberapa cawangan sekitar Australia. 

 Aliran wang itu tidak terhenti di situ. Satu afidavit yang dilihat oleh SMH kemudian mendedahkan wang kembali masuk ke akaun berkenaan pada 2016, selepas ia tidak aktif selama beberapa tahun. 

 Kali ini, deposit dibuat di lima daerah berbeza dari Biloela di Queensland hingga ke Devonport di tara Tasmania ke Lakemba di barat Sydney dan Melbourne, enam hari selepas Wan Ahmad berkunjung ke Australia pada September 2016.

 Terdapat 54 transaksi, setiap satu deposit di bawah paras AU$10,000 (RM30,210). Jumlah di atas paras itu akan mencetuskan perhatian daripada pihak berkuasa Australia. Dalam tempoh sebulan saja, jumlah yang dimasukkan ke akaun Wan Ahmad ialah AU$290,000 (RM875,961). Wang itu dikatakan untuk program pengajian sarjana anak perempuannya. 

 SMH juga melaporkan bahawa siasatan mendapati Wan Ahmad pada ketika itu ketua polis Johor meminta bantuan seorang rakan rapat, warga India bernama Seenisirajudeen Mohamad Basith untuk mengendalikan urusan pemindahan wang itu, yang kemudiannya pulang ke India. 

 SOALAN: Siapa Seenisirajudeen Mohamad Basith? Kenapa tidak Wan Ahmad pindahkan saja wang dari bank Malaysia ke banknya di Sydney? Apa yang cuba dielaknya? Dan sekali lagi, adakah RM875,961 itu juga hasil jualan rumahnya? 

 SMH juga melaporkan Wan Ahmad tidak mahu menuntut semula wangnya atas alasan mudah iaitu tindakan mahkamah terlalu mahal. 

 SOALAN: Siapa agaknya yang dengan sewenang-wenangnya melepaskan wang hampir RM1 juta? Siapa pula akan membiayai pengajian anak perempuannya? Adakah pengajian itu akan ditangguhkan? 

 Menurut sumber yang tahu tentang transaksi seperti itu, biasanya orang akan mengelak cara konvensional memindahkan wang (bank ke bank) kerana jumlah yang besar, seperti dalam kes Wan Ahmad, akan mendapat perhatian daripada Bank Negara Malaysia dan agensi kerajaan lain. 

 “Akan ada terlalu banyak soalan untuk dijawab. Dari mana wang itu datang? Kenapa ia dihantar ke luar negara? Bukti dan dokumen perlu disediakan.

 “Terlalu leceh dan birokrasi. Jadi untuk elak semua itu, mereka dapatkan bantuan rakan yang kaya dan tinggal di negara berkenaan untuk membuat deposit ke akaun.

 “Jumlah yang terlibat akan dibayar oleh pengirim kepada rakannya di sini. Mudah, tidak ada soalan ditanya,” kata sumber.

 Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata Wan Ahmad Najmuddin Mohd naif tentang perundangan di Australia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2018.

 Dalam mempertahankan Wan Ahmad, timbalan perdana menteri berkata pegawai itu naif tentang undang-undang Australia ketika memindahkan wang ke negara itu bagi membiayai pengajian anak-anaknya. 

 “Perkara ini timbul sejak 2016, Wan Ahmad ada sebut sumber sebenar wang itu dengan penjualan rumah untuk biaya pendidikan anaknya di Australia, cuma undang-undang di negara itu jika ada transaksi lebih daripada AU$10,000, ia harus mendapat kebenaran khusus. 

 “Tapi dia (Wan Ahmad) menjelaskan mengenai perkara itu kepada pihak berkuasa dan juga secara peribadi kepada saya sendiri. Kita terima penjelasannya dengan niat yang amat baik,” kata Zahid. 

 SPRM juga berkata tidak ada keperluan untuk menyiasat Wan Ahmad kerana beliau dibebaskan daripada salah laku oleh siasatan dalaman polis. 

 The Malaysian Insight cuba untuk menghubungi Wan Ahmad beberapa kali tetapi setakat ini belum mendapat respons. – 6 Mac, 2018. ~ Themalaysianinsight

 Nota : Sprm mula siasat kes akaun Pengarah Bukit Aman

1 comment:

  1. Entah berapa banyak perniagaan judi tidak berlesen, kartel dadah, pelacuran dan lain-lain jenayah yang telah dilepaskan setelah proses tumbuk rusuk lalu diguna untuk membeli beberapa hartanah. Kalau nak diharapkan gaji semata-mata, mana mungkin boleh mengumpul sekian banyak wang yang kemudian disita dan tidak mahu pula menuntut pembebasan wang tersebut. Biasalah...polis bahagian jenayah, apa pula peliknya?

    ReplyDelete


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA