Faktor penting yang menyebabkan BN hanya mampu menang 133 kerusi
berbanding 140 pada pilihanraya 2008 adalah disebabkan penolakan
pengundi Cina terhadap BN. Akibat daripada penolakan itu, MCA hanya
mampu menang 7 kerusi Parlimen berbanding 37 yang ditandinginya manakala
Gerakan pula hanya mampu menang satu kerusi Parlimen sahaja.
MCA, sebagaimana yang diputuskan dalam resolusinya pada 2011 bahawa
mereka menolak sebarang jawatan dalam kabinet dan kerajaan jika kerusi
Parlimen yang dimenangi kurang daripada 15, iaitu jumlah yang dimenangi
pada pilihanraya 2008. Kini dengan hanya menang 7 kerusi Parlimen saja,
MCA terpaksa akur kepada resolusi itu.
Buat pertama kali kabinet yang diumumkan Najib tidak dianggotai oleh
MCA. Najib bagaimanapun masih mengharap MCA akan kembali menyertai
kabinet dalam masa yang sesuai nanti. Najib mengatakan bahawa MCA
menolak menyertai kabinet kerana masih berpegang kepada resolusi itu dan
penyertaan mereka dalam kabinet hanya boleh dilakukan jika resolusi itu
dibatalkan terlebih dahulu.
Ia akan ditentukan dalam persidangan agung MCA penghujung tahun ini,
sama ada perwakilan parti itu mahu mengekal atau membatalkannya.
Dalam masa yang sama, sesuai dengan pengharapan Najib agar MCA kembali
menganggotai kabinet, beliau turut menyimpan satu jawatan menteri untuk
parti itu iaitu menteri pengangkutan yang sekarang ini dipangku oleh
Hishammuddin yang memegang Menteri Pertahanan dalam waktu yang sama.
Difahamkan juga melalui sidang akhbar Najib selepas pembentukan
kabinetnya minggu lalu, beliau turut memberitahu bahawa satu jawatan
timbalan menteri yang akan ditentukan potfolionya kemudian juga turut
disimpan untuk MCA.
Ini bermakna jika MCA mahu kembali menyertai kabinet, jawatan yang
diperuntukkan Najib untuk parti itu hanyalah satu menteri dan satu
timbalan menteri, suatu keadaan yang bukan saja berkurangan berbanding
sebelumnya tetapi juga tentunya lebih kecil berbanding MIC yang sudah
memegang dua jawatan menteri dan tiga timbalan menteri. Dalam komponen
BN, MCA dikenali sebagai parti kedua terbesar selepas UMNO manakala MIC
menduduki tempat ketiga.
Sebelumnya juga MCA biasanya diberikan tiga jawatan menteri dan antara 7
atau 8 jawatan timbalan menteri. Jawatan menteri yang biasa dipegang
oleh wakil MCA ialah menteri pengangkutan, menteri kesihatan serta
menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Tetapi dalam susunan kabinet yang dibuat oleh Najib, hanya menteri
pengangkutan yang diperuntukkan kepada MCA manakala jawatan menteri
kesihatan sudah diambil alih oleh MIC melalui S Subramaniam manakala
jawatan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan
pula diambil alih oleh wakil UMNO, Rahman Dahlan.
Tidak syak lagi, tempat MCA sebagai parti kedua penting dalam agihan
kabinet sudah diambil alih oleh MIC. Soalnya, mungkinkan MCA sedia
membatalkan resolusinya dan kembali menyertai kabinet sedangkan peranan
mereka makin mengecil?
Sesuai dengan kedudukan pengundi Cina yang merupakan kedua terbesar
dalam negara ini, tindakan Najib ini dianggap kurang wajar dan makin
menjauhkan komuniti daripada kerajaan. Jika MCA sudah mengugut pengundi
Cina melalui resolusinya dan ia tidak juga berjaya menjadikan mereka
kembali menyokong BN, bermakna tindakan Najib menghukum komuniti itu
dengan menjadikan mereka kelompok yang makin mengecil dalam pentadbiran
kerajaan, ia pastinya juga membuahkan hasil yang sama.
Tindakan Najib ini bukan saja menjadikan mereka semakin menjauhkan diri
daripada BN dan kerajaan, bahkan merasakan tiada gunanya lagi kembali
menganggotai kabinet dan kerajaan. Sudahlah kalah banyak kerusi,
kedudukan dalam kerajaan juga bagai dipinggirkan.
Cabaran MCA dalam menghadapi PRU 14 dalam keadaan seperti ini bukan saja
lebih getir, sama ada mereka kekal tidak menyertai kabinet atau kembali
menyertainya, tetapi juga akan menyebabkan hasrat Najib dan BN untuk
mencapai keputusan yang lebih baik daripada kemenangan 133 kerusi
Parlimen turut bertambah sukar. (SH 22/05/2013)
No comments:
Post a Comment