Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Sunday, June 5, 2016

PAS KINI SERBA SALAH......

kemana PERJUANGAN PAS?

Pas: Dari parti suci kini menghampiri perjuangan Umno?

Muktamar Pas ke 62 di Kelantan bukan sahaja membuat kejutan apabila pemimpin utama Pas seperti Nik Abduh Nik Aziz dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berpakaian hulubalang Melayu, meninggalkan pakaian sunah ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda; namun ianya merebak kepada isu-isu perkauman serta melempar tuduhan tidak berasas sebagaimana layaknya dalam Perhimpunan Agung Umno.
Ketua Dewan Pemuda Nik Abduh dikecam DAP apabila menyerang parti itu dan meminta Pas mengambil semula kerusi yang dipinjamkan kepada DAP dan PKR pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Umum maklum PKR memang mendapat banyak kerusi yang dimiliki Pas sebelumnya. Namun DAP tidak pernah mengambil kerusi Pas kerana kerusi parti itu biasanya mempunyai pengundi Cina sehingga 60%. Pas mustahil bertanding di kerusi sedemikian.
Oleh itu tempelakan pemimpin DAP, Anthony Loke bahawa Nik Abduh tidak mengutamakan sifat ahli agama yang berhati-hati dalam membuat kenyataan tepat ke sasarannya. Seorang ustaz tidak wajar menuduh orang lain tanpa fakta kukuh. Apabila diminta bukti dan ustaz gagal memberikannya maka kes itu akan menjatuhkan maruah seorang ahli agama.
PKR pinjam
Meskipun PKR memang meminjam kerusi Pas, namun Nik Abduh tidak boleh angkuh berbicara mahu mengambil semula kerusi yang dipinjam. Benarkah Pas begitu kuat dan tidak memerlukan jasa Anwar Ibrahim daripada PKR untuk menang dalam PRU 1999, 2008 dan 2013?
Fakta sejarah mana yang dikutip Nik Abduh mewajarkan Pas tidak memperdulikan sekutunya? Pernahkah berlaku Pas memenangi sebarang kerusi sejak PRU 1969 di Selangor, Perak atau Negeri Sembilan?
Sejak dua dekad sebelum PRU 1999, sejarah mencatat Pas kalah dan hilang deposit bertanding kerusi parlimen dan DUN di ketiga-tiga negeri itu. Hanya pada PRU 1999, menunggang gelombang reformasi Pas berjaya bertapak di 2 kerusi parlimen di Perak serta 2 DUN di sana.
Pas juga berjaya bertapak di 4 kerusi DUN di Selangor pada PRU itu selain menguasai Terengganu yang memang negeri kubu kuat Pas.
Jika kuat
Tidak dinafikan Pas memiliki jentera kempen yang kuat. Malah terkuat di Malaysia kerana Umno BN mengharapkan jentera kerajaan dalam berkempen. Namun pada setiap kali PRU, Pas pasti kalah teruk kerana tidak berjaya merebut kepercayaan rakyat.
Sekiranya Pas benar-benar kuat, pengenalan parti itu dalam ceramah besar-besaran pada 1998 – 1999 pastinya telah meraih keyakinan rakyat dan membolehkan mereka menguasai gelanggang politik pada PRU 2004 apabila gelombang reformasi mengendur.
Sebaliknya, terbukti Pas kalah teruk dalam PRU 2004, hilang semua kerusi di Selangor dan Perak. Terengganu tumbang dan Kedah semakin mengecil.
Pas hanya kembali kuat pada PRU 2008. Itu pun selepas dua tahun Anwar Ibrahim berkempen ke seluruh negara. Berlakunya demonstrasi Bersih 1 yang berjaya mengumpul 80,000 peserta dan demonstrasi Hindraf mengumpul 30,000 peserta di Kuala Lumpur.
PRU 2008, Pas berjaya menguasai negeri di Pantai Barat. Berjaya di Selangor, Perak dan Kedah. Namun adakah kerana kekuatan Pas atau keyakinan rakyat ke atas Anwar dan mahu mencuba ikon politik itu sebagai Perdana Menteri?
Cuba andaikan Anwar masih di dalam penjara pada 2008 adakah Pas mampu menguasai Selangor atau pemimpinnya menjadi MB di Perak dan Kedah? Kalau Pas tidak mampu memberi jawapan maka ternyatalah parti itu hanya menumpang kekuatan parti atau karisma individu dari parti lain.
Dengan demikian, tidak perlu dipersoalkan kerusi Pas dipinjam PKR kerana sekiranya Pas bertanding di kerusi tersebut dan Anwar tidak dipecat daripada Umno maka sampai kiamat parti Islam itu akan hilang deposit di kerusi-kerusi yang dipinjamkan itu.
Benci DAP
Satu lagi, ketua pemuda Pas Pulau Pinang Mohd Hafiz Alias mengeluh dalam muktamar pemuda meskipun orang Melayu membentuk 43% penduduk negeri namun pemilikan tanah mereka cuma 20% sahaja.
Beliau mencadangkan untuk melindungi orang Melayu maka PAS perlu terlibat membentuk kerajaan negeri. Hujah itu menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri Pakatan Harapan tidak melindungi tanah Melayu selama dua penggal ini.
Tuntutan membentuk kerajaan negeri tentulah dengan Umno, Gerakan dan Pas. Namun sedarkah Pas selama BN menguasai Pulau Pinang bukan sahaja pemimpin Gerakan yang mengambil dan menjual tanah Melayu tetapi pemimpin Umno juga terlibat sama.
Selepas ini mungkin Pas melancarkan usaha memburuk-burukkan kerajaan PH yang diterajui DAP dalam kalangan orang Melayu dan mengesa mereka mengundi Umno, Gerakan selain Pas. Namun selepas kerajaan berganti nanti pastinya tanah orang Melayu akan hilang lebih banyak berbanding 10 tahun di bawah naungan DAP.
Bolehkah pengaruhi ahli?
Ternyata selepas dua tahun kepergian Nik Aziz Pas berubah 180 darjah daripada parti agama yang dihormati semua bangsa kepada parti yang tidak jauh berbeza dengan Umno. Pemimpinnya menuduh sembarangan dan mencaci DAP seolah-olah parti itu tidak dianggotai manusia tetapi kalangan kaum jin yang jahat.
Dengan cara apakah Pas mahu mentarbiyah ahli mereka agar tidak memusuhi Umno? Mudahkah ahli menerima parti yang pernah membunuh 13 syuhada Memali itu sebagai kawan tanpa meminta maaf terlebih dahulu? Bolehkah ahli menerima Umno yang memfitnah Anwar meliwat dua kali tanpa bukti?
Atau bolehkah ahli menerima parti yang terlibat dalam skandal kewangan 1MDB mengumpul hutang RM50 bilion dan menyuruh rakyat membayar hutang RM27 bilion yang diserap kerajaan?
Cara yang mudah untuk menyuruh ahli taat kepada pemimpin adalah dengan membawa pelbagai nas al Quran. Adakah cara itu akan digunakan untuk mempengaruhi ahli agar berkawan dan bersahabat dengan Umno?
Ternyata perjuangan seperti itu adalah mimpi ngeri kepada Fadzil Noor dan Nik Aziz. Pas akan menjadi parti mempergunakan agama sepenuhnya, seperti Umno, apabila cuba menutup sebelah mata terhadap dosa-dosa besar pemerintah.
Dan dalam kes Pulau Pinang bagaimanakah cara Pas mahu menghasut orang Melayu membenci DAP? Kerajaan PH yang terbukti meningkatkan peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang hampir 5 kali ganda daripada zaman BN bukan mudah untuk dibakul sampahkah. Adakah dengan cara fitnah ala media Umno? Jika itu dilakukan Pas akan tercebur ke lubuk fitnah yang maha dahsyat demi merebut kuasa.
Adakah itu penghujung perjuangan Pas? Daripada sebuah parti agama yang suci kepada parti yang menghampiri perjuangan sekular pragmatik yang ditentang oleh pemimpin utamanya sebelum ini?

Gambar-gambar muktamar PAS di Putik Kota Baru, 
apakah adanya persamaan kini antara PAS dan UMNO?





No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA