Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Friday, May 20, 2016

PRK KK ( PERAK ) & SB ( SELANGOR ) UJIAN UNTUK PR.

Menjelang berlangsungnya mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan minggu depan, banyak pihak sedang menanti sejauh mana penentuan calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar memihak kepada Amanah.


Pada ketika Pas jelas sudah memberi amaran kepada parti pembangkang lain untuk hanya memberi laluan kepadanya, pertembungan paling kurang tiga penjuru pada pembuangan undi 18 Jun nanti tidak dapat dielak.


Mungkin setelah mengukur baju di badan sendiri – meminjam peribahasa disebut Abdul Hadi Awang yang difahami dituju kepada Amanah – Pas tanpa mengambil kira senario politik BN dan pembangkang yang berbeza selepas tiga tahun tetap berdegil untuk membolot kedua-dua kerusi tersebut.

Hadi barangkali lupa rekod Pas mengurangkan majoriti undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013 lalu adalah kerana penyokong PKR dan DAP turut mengundi Pas yang berada dalam gabungan parti pembangkang. 

Pada masa sama, serangan bertubi-tubi Mahathir ke atas Najib serta isu pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafei Apdal juga bakal memberi tempias kepada pengundi tetapi tidak semestinya mereka bersedia untuk memangkah Pas yang semakin ‘mesra’ Umno.

Selepas Hadi sepentas dan sedondon berbaju merah jambu dengan Najib tahun lalu, hari ini penceramah TV, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias memuat naik gambarnya bersalaman dengan Datuk Dr Haron Din selepas mesyuarat Majlis Perundingan Islam Kluster Dakwah yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas itu.

Tidak hairanlah banyak pihak menganggap PRK di Selangor dan Perak menguji semangat setiakawan antara PKR, Amanah dan DAP yang berpayung di bawah Pakatan Harapan sekali lagi diuji.

Hal inilah yang ditekankan Presiden Amanah, Mohamad Sabu pada 15 Mei lalu dengan antara lain mengingatkan tidak harus ada usaha mencari formula mahupun pendekatan lain.

Beliau turut menyeru sekutu Pakatan Harapan menggembleng seluruh kekuatan pembangkang termasuk mereka yang ingin sekadar menyingkirkan Najib di belakang Pakatan Harapan.

“Amanah mahukan PRK ini dijadikan medan memperkukuh Pakatan Harapan sekaligus bina keyakinan rakyat terhadap keutuhan dan kesungguhan Pakatan Harapan mencabar BN sebagai kerajaan menanti,” tegasnya lagi.

Pertindihan kerusi antara Pakatan Harapan dengan Pas memang akan berlaku ekoran sikap keras kepala Presiden Pas tetapi perebutan sesama komponen Pakatan Harapan seharusnya tidak berlaku.

Sebaliknya, kesepakatan umum bahawa Amanah sebagai parti Islam progresif berperanan sebagai pengganti Pas yang menganggap dirinya kuat melalui Blok Ketiga itu perlu dibuktikan pada PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini.

Agak mudah menilai sokongan DAP terhadap Amanah untuk masuk ke gelanggang pilihan raya. Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming secara terbuka menasihatkan Pas untuk tidak bertanding bagi memastikan pertandingan satu lawan satu melibatkan pembangkang dan BN.

Hanya rentak pemimpin tertentu dalam PKR sedang diperhati tajam seperti tergambar pada kebimbangan sebahagian besar pro Pakatan Harapan di media sosial.

Mereka tidak mahu pisang berbuah dua kali selepas apa yang berlaku pada PRN Sarawak, 7 Mei lalu apabila kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang menyaksikan pertembungan sesama Pakatan Harapan kalah teruk.

Dakwaan penganalisis politik, Dr Jeniri Amir kononnya Amanah belum ada pengaruh besar dilihat tidak bersandarkan realiti dengan kehadiran tokoh berpengaruh serta pencapaian besar parti yang hanya berusia lapan bulan itu.

Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu mungkin menganggap rekod Pas kehilangan tujuh daripada 21 Ahli Parlimen yang dikenali lantang menyuarakan keadilan dan hak rakyat sebagai tidak signifikan.

Jeniri juga barangkali tidak pernah melihat dengan mata kepalanya melihat sambutan hangat ketika Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas dahulu mampu menarik ramai audiens ke ceramah sekaligus memenuhkan tabung derma yang diedarkan petugas Unit Amal.

Realitinya, PAS yang telah mengkhianati tahaluf siyasi dengan DAP akan mempengaruhi trend pengundian hampir 31 peratus pengundi Cina di Sungai Besar dan kira-kira 25 peratus pengundi Cina di Kuala Kangsar.

Selain itu, komposisi pengundi muda di Sungai Besar yang merangkumi kira-kira 35 peratus atau 11,368 pemilih berdaftar dijangka memberi kelebihan kepada calon Pakatan Harapan.

Muafakat dalam PH dilihat perlu diperkukuh kerana pencapaian Amanah akan menjadikan pembangkang lebih kuat untuk menjadi ejen semak dan imbang kepada kerajaan menjelang PRU14. Komponen Pakatan Harapan harus memanfaatkan kewujudan Amanah yang siginifikan dalam radar politik tanah air.

Berbeza dengan Pas, prestasinya dalam membawa suara rakyat di Parlimen ketara kurang menyengat apa lagi selepas enam ahli Parlimen parti itu memimpin Amanah manakala seorang lagi memilih untuk bersama PKR ekoran pertembungan jalur konservatif dan progresif dalam Pas.

Sehubungan itu, seramai 32,949 pemilih berdaftar di Kuala Kangsar dan 42,655 pengundi di Sungai Besar tentunya tidak mahu melihat ahli parlimen mereka ‘lemau’ apa lagi kerap ponteng dalam perbahasan di Dewan Rakyat. - ARIF ATAN

No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA