Paparan kali ini adalah kaitan dengan apakah peranan pegawai kerajaan dengan mereka di parlimen, dewan undangan negeri atau pun semasa atau mereka semasa memberikan ucapan di setiap perjumpaan dengan rakyat, siapakan yang di pertanggongjawabkan untuk menyediakan teks ucapan mereka di situasi yang di nyatakan? Jom kita layari coretan berikut.
Seorang sahabat bertanya sama ada jawaban yang diberi secara lisan atau
bertulis di Parlimen oleh seseorang menteri itu tanggungjawabnya atau
pegawai yang menyediakan jawaban. Beliau ingin tahu kebenaran sama ada
apa yang dinyatakan oleh Kementerian Kewangan berkaitan jawaban Perdana
Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai
isu 1MDB yang tidak tepat atau tidak betul itu adalah kesilapan pegawai.
Saya diminta memberi sedikit latar belakang berkaitan soalan dan jawaban
pihak kerajaan di Parlimen kerana pernah terlibat dalam urusan
berkenaan semasa berkhidmat di Pejabat Menteri, Jabatan Perdana Menteri.
Benar, saya pernah terlibat dalam urusan penyediaan dan semakan jawaban
oleh pihak kerajaan, sama ada Menteri, Timbalan Menteri atau pada
ketika itu, Setiausaha Parlimen.
Dalam pengalaman yang saya lalui, para pegawai terlibat akan dipanggil
bermesyuarat yang lazimnya di pengerusikan oleh Setiausaha Bahagian
(Kabinet), Jabatan Perdana Menteri. Kami akan meneliti setiap soalan
yang diterima, mendapatkan jawaban daripada jabatan atau agensi
berkaitan, meneliti jawaban dan mencapai kata sepakat berkaitan menteri
mana yang akan menjawabnya.
Selepas itu, deraf jawaban itu akan diserahkan kepada menteri berkenaan
untuk mendapat persetujuan dan kelulusan. Sekiranya menteri tidak
berpuas hati, dia akan meminta maklumat tambahan atau menolak apa-apa
maklumat yang difikirkannya tidak perlu. Para pegawai kemudian akan
mendapatkan maklumat tambahan yang diminta dan sekali lagi menyerahkan
deraf jawaban kepada menteri untuk kelulusan. Begitulah kaedah dan
proses yang kami lalui (semasa saya bertugas) dan saya percaya ianya
masih diteruskan hingga sekarang.
Apabila memberi jawaban di Parlimen, sama ada Dewan Rakyat atau Dewan
Negara, menterilah yang bertanggungjawab sepenuhnya, bukan pegawai atau
pihak lain yang menyediakan jawaban itu. Menteri mempunyai kekebalan
selaku Ahli Parlimen sedangkan pegawai tidak. Oleh itu, menteri tidak
boleh lari daripada tanggungjawab sepenuhnya keatas jawaban yang
diberikan kerana dia sendiri yang meluluskannya.
Oleh itu, saya tidak dapat terima alasan yang diberikan oleh Kementerian
Kewangan yang cuba menuding jari kepada pegawai atau pihak ketiga
apabila Datuk Seri Najib memberi jawaban yang tidak benar di Dewan
Rakyat. Apa yang dapat saya katakan ialah mungkin ada pegawai yang cuba
mengampu atau yang diarah untuk memikul kesilapan itu. Perkara
sedemikian tidak harus berlaku kerana yang bertanggungjawab ialah Najib,
bukan pegawai atau pihak lain. Najib seharusnya berani menerima
kenyataan dan mengakui kesilapan, bukan cuba mengalihkannya kepada orang
lain.
Tidak guna menjadi pemimpin sekiranya tidak berani memikul tanggungjawab.
No comments:
Post a Comment