MNGGUAN: Datuk nampaknya kecewa dengan prestasi kementerian dan agensi kerajaan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 15 Jun lalu. Ingatkan prestasi bertambah baik selepas banyak pendedahan dan teguran dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara pada tahun-tahun sebelum ini tetapi sebaliknya yang berlaku?

NUR JAZLAN: Setahun lalu, saya buat kenyataan nampaknya ada prestasi lebih baik ditunjukkan oleh jabatan kerajaan dalam aktiviti mereka. Dalam Laporan Ketua Audit Negara ketika itu, nampak bertambah baik dan menurun insiden ketirisan dan kecuaian.

Namun, dalam laporan tahun ini nampaknya meningkat ketirisan dan kecuaian. Itu mungkin berlaku kerana Jabatan Audit Negara sekarang ini fokus kepada kementerian dan jabatan yang lain. Tetapi, saya harapkan apabila PAC dan Ketua Audit Negara menumpukan perhatian kepada jabatan yang lain, itu seolah-olah memberi isyarat kepada jabatan lain yang belum diaudit untuk buat kerja betul-betul tetapi nampaknya mereka masih leka. Apabila sampai giliran mereka untuk diaudit, barulah mereka kelam kabut. Jadi, maknanya budaya takut diaudit ini belum lagi berleluasa dalam jabatan kerajaan.

Sejak dilantik mengetuai PAC pada 2013, apakah Datuk lihat masih belum ada perubahan aspek peraturan kerja dan pengurusan kewangan dalam kementerian dan agensi kerajaan sehingga sekarang?

NUR JAZLAN: Semalam, saya ada berbual dengan pegawai kerajaan yang sudah bersara. Dia menyatakan dia berkhidmat dalam jabatan kerajaan dari zaman peralihan pentadbiran British dahulu, kemudian peralihan di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, peralihan era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sampai sekarang, apa yang dia perhatikan pegawai kerajaan sekarang tidak ada kebanggaan untuk bekerja.

Kalau zaman British dahulu, semua ikut peraturan dan semua ada kuasa penentu macam pemeriksa dan pengimbang kepada menteri. Tetapi apabila tiba zaman Tun Dr. Mahathir, mereka seperti lebih menyerahkan kuasa kepada menteri. Maka, mereka lebih mengikut daripada memberikan nasihat. Selepas itu, di zaman Tun Abdullah, beliau cuba mengembalikan kuasa kepada mereka tetapi pegawai kerajaan selepas dibiasakan dengan keadaan ini di zaman Tun Dr. Mahathir selama selama 22 tahun, mereka tidak dapat menyahut usaha Tun Abdullah untuk mengembalikan semula kuasa kepada mereka.

Sampai sekarang ini, pegawai kerajaan itu hanya ikut sahaja. Kalau ikut sahaja tidak apa, tetapi kualiti pegawai kerajaan itu rendah termasuk dari segi keupayaan. Apa yang berlaku, mereka tidak hirau, tidak baca peraturan kerajaan yang ada sekarang dan dalam banyak kes mereka tidak ikut. Itu yang jadi sekarang. Ini yang menyebabkan kerja PAC dan Jabatan Audit Negara susah. Sebab, kalau mereka sendiri tidak ikut, tidak baca, tidak membiasakan diri mereka dengan peraturan kerja dan mengamalkannya, maka banyaklah berlaku pelanggaran peraturan kerja.

Ini bukan disebabkan oleh politik sahaja tetapi oleh pegawai kerajaan itu sendiri. Itu belum saya cerita pasal apa yang berlaku di pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan pentadbiran negeri yang disebut khas oleh Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) semasa beliau membentangkan perkara ini. Beliau kata memang pengurusan pentadbiran kewangan di agensi kerajaan negeri dan kerajaan sendiri, memang banyak kelemahan. Tetapi itu bukan di bawah PAC pusat tetapi PAC negeri. Jadi, saya minta PAC negeri lebih aktif dan memantau tingkah laku pegawai kerajaan di peringkat negeri.

Ini termasuk anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang tetapi lebih kepada PBT dan pejabat daerah yang tidak mematuhi syarat pembiayaan dan sebagainya. Jumlahnya kecil dibandingkan dengan pusat tetapi apabila amalan begitu, kita lihat banyak aduan dan rungutan daripada rakyat tentang jalan berlubang dan sistem saliran tidak diselenggara dengan baik di peringkat PBT.

Antara isu yang mengejutkan dan hangat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 2 melibatkan pelbagai kesalahan dalam pengurusan kewangan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Boleh Datuk jelaskan sedikit tentang masalah ini?

NUR JAZLAN: IPTA sekarang ini, kata mereka dihambat oleh peraturan kewangan dan sebab itu, mereka tidak dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih efisien. Sebab itu sekarang ini, mereka minta untuk jadi satu badan berautonomi sepenuhnya.

Tetapi apabila kita lihat Laporan Ketua Audit Negara dan mana-mana rakyat yang minat hendak baca laporan ini boleh muat turun di Internet, merekalah yang tidak mengamalkan pengurusan kewangan yang baik. Sepatutnya IPTA institusi yang penuh dengan orang pandai-pandai, tetapi nampaknya mereka ini banyaknya memandai-mandai.

Mereka ini menjadi contoh kepada orang lain dan pendidik generasi akan datang tetapi dari segi pengurusan kewangan, perolehan dan sebagainya di universiti, mereka nampaknya leka dan cuai atau lebih teruk lagi adalah sengaja.

Antaranya Universiti Malaya (UM). Mereka telah membuat projek pembinaan sebelum proses perolehan. Maksudnya, dilantik dahulu (kontraktor) baru dia backdate (mengundurkan tarikh) prosedur perolehan. Ada juga Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan UNiversiti Malaya. Kesemuanya ada 13 universiti. Pelbagai kesalahan dibuat termasuk melibatkan perolehan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan projek pembinaan.
Bagi saya, sepatutnya universiti menggunakan standard pengurusan kewangan yang lebih tinggi daripada orang lain sebab mereka menjadi pendidikan generasi akan datang. Kerajaan juga berbelanja berbilion ringgit setahun untuk bajet universiti dan mereka hanya jaga kawasan dalam universiti sahaja.

Kalau jabatan kerajaan, saya tidak hairanlah sebab mereka jaga satu Malaysia atau satu negeri. Ini jaga perkara dalam kawasan universiti sahaja. Itupun tidak boleh buat dengan baik. Memang Peguam Negara tumpu perhatian beliau kepada universiti. Kalau hendak minta kuasa universiti, mereka perlu tunjuk integriti dan standard pengurusan kewangan yang lebih tinggi.

Berdasarkan pemerhatian Datuk dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 2 ini dan yang lepas, apakah perkara yang paling membimbangkan Datuk?

NUR JAZLAN: Yang paling saya takut adalah apakah masa hadapan aset kerajaan seperti aset tak alih. Sebagai contoh, Laporan Ketua Audit Negara telah fokus kepada penyelenggaraan kuarters. Dalam Laporan Ketua Audit Negara yang lepas, penyelenggaraan kuarters untuk polis, imigresen, askar dan pelbagai jabatan kerajaan lain, nampaknya tidak diberi peruntukan mencukupi. Yang kedua, bangunan kuarters pun banyak sudah berusia 20 atau 30 tahun dan sudah uzur, sampai penghuni rumah itu pun tidak dapat duduk dengan selesa.
Saya beri contoh. Polis ada menyatakan kepada PAC bahawa mereka memerlukan RM250 juta setahun untuk menyelenggara kuarters yang ada. Kita tahu polis ada masalah perumahan untuk pegawai. Tambahan lagi di kawasan Johor Bahru dan kawasan saya (Pulai), sudah tidak ada tempat untuk buat kuarters. Dengan gaji pegawai polis, mereka hendak sewa rumah di kawasan bandar pun tidak mampu.
Hendak beli rumah di bandar, lupakanlah. Jadi, mereka memang memerlukan kuarters yang ada. Kerajaan perlu menumpukan perhatian kepada aspek penyelenggaraan kuarters jabatan kerajaan. Kalau polis sahaja memerlukan RM250 juta setahun untuk menyelenggara kuarters yang ada, berapakah jumlah yang sebenar untuk satu negara? Kerajaan memandang perkara ini bukan sebagai satu keutamaan, jadi mereka potong atau beri peruntukan yang kurang untuk penyelenggaraan kuarters.
Kerajaan juga mungkin perlu menyediakan peruntukan untuk membangunkan semula kuarters ini kerana kebanyakannya sudah lama dan uzur. Dalam keadaan sekarang, di kawasan bandar kena buat bangunan bertingkatlah. Kerajaan perlu tengok isu ini kerana isu ini besar. Ini aset kerajaan dan banyak kuarters terbiar pun pada masa ini.

Apakah syor-syor PAC selama ini diambil tindakan oleh kementerian terlibat?

NUR JAZLAN: Saya hendak maklumkan bahawa akhirnya Kementerian Kewangan telah memberikan kita maklum balas secara bertulis seperti apa mereka nyatakan dalam Peraturan Kewangan 304 yang menyatakan bahawa Kementerian Kewangan kena mengumpul balik semua maklum balas mengenai tindakan yang telah diambil ke atas pegawai-pegawai yang disyorkan oleh PAC. Kalau tidak sebelum ini, Kementerian Kewangan tidak berikan laporan rasmi atau laporan bertulis kepada kita. Maknanya, apa syor PAC tentang tindakan dan sebagainya kepada kementerian-kementerian, kini dijawab secara rasmi apa tindakan yang diambil.
Sebelum ini, rakyat cakap PAC saran sahaja tetapi tidak ada tindakan diambil. Tetapi dengan laporan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan kepada kita secara rasmi, ia menjelaskan apa tindakan diambil. Sekarang, sudah nampak saranan PAC diambil tindakan. Malah, kami dimaklumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sekarang sudah memberikan laporan rasmi kepada PAC, mereka sudah buka semula dua kes yang sebelum ini sudah diteliti dan ditutup fail. Dua kes ini dibuka balik kerana siasatan PAC tentang isu perbelanjaan Hari Belia Negara 2012 dan pengurusan loji insinerator. Ini menunjukkan JPA memandang serius saranan PAC.

Apa tindakan yang dilakukan oleh PAC?

NUR JAZLAN: PAC pada ketika itu menyarankan mengambil tindakan ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan kerana beliau tidak menyiapkan akaun Hari Belia Negara 2012. Dalam persediaan kerajaan hendak melaksanakan Sistem Perakaunan Akruan, selepas ini setiap kementerian dan jabatan kena buat akaun sendiri. Jadi, mereka perlu tutup akaun mengikut masa yang ditetapkan. Jangan setahun atau dua tahun selepas itu baru hendak tutup akaun macam sekarang ini. Kita sentiasa hendak pastikan setiap Ketua Setiausaha kementerian sebagai pegawai pengawal, mengamalkan tata cara kewangan yang baik.
PAC juga akan menyarankan kepada kerajaan supaya melantik pegawai aset dalam kementerian dan jabatan sekarang. Sebab ada kelemahan di situ kerana tidak ada orang yang khusus untuk memastikan bahawa aset kerajaan ini dipelihara dengan baik supaya hasil yang sepatutnya dikutip dan segala penyelenggaraan dibuat bagi memastikan aset sentiasa dalam keadaan baik.
Jika keadaan ini berterusan, rakyat akan hilang keyakinan kepada kerajaan. Komen Datuk?
NUR JAZLAN: Ia sebenarnya berkisar kepada integriti pegawai yang bertanggungjawab. Kalau ada pegawai yang dipertanggungjawabkan seperti Ketua Setiausaha kementerian, kalau beliau berhati-hati dan pastikan bahawa keprihatinannya turun ke bawah, dengan itu beliau akan dapat meluaskan lagi sikap ketelusan dan pelbagai sikap lagi yang sepatutnya diamalkan oleh pegawai kerajaan. Apabila mereka mengamalkan integriti yang tinggi, maka pengurusan kewangan akan lebih mantap.
Bilangan pegawai kerajaan pun lebih sejuta orang dan keluasan Malaysia pun menimbulkan masalah untuk menguruskan kewangan dengan baik. Tetapi yang penting matlamat kita untuk mengurangkan jumlah ketirisan, penyalahgunaan kuasa, elemen rasuah dan sebagainya. Kalau hendak hapuskan terus memang susah tetapi kita hendak kurangkan.
Kayu ukurnya mudah sahaja iaitu kalau Laporan Ketua Audit Negara semakin nipis dan aduan daripada rakyat berkurangan. Kalau itu berlaku, sudah cukup bagus untuk menjadi kayu ukur kejayaan kerajaan dalam menangani masalah ketirisan dan sebagainya.

Tetapi dalam hal ini, nampaknya ada pihak termasuk ahli politik dan menteri sendiri mungkin bertindak memberi tekanan kepada pegawai kerajaan supaya melakukan perkara yang menyalahi peraturan. Apakah tindakan yang sepatutnya dibuat oleh pegawai kerajaan?

NUR JAZLAN: Itu soalnya kepada integriti mereka sendiri sama ada mereka betul-betul berpegang kepada tanggungjawab. Mereka angkat sumpah terima tanggungjawab ini, bukan diberikan secara sukarela. Kalau ada kejadian seperti tekanan daripada ahli politik, mereka perlu main peranan untuk melaporkan dan sebagainya.
Ada banyak cara sekarang ini. Di tiap-tiap kementerian ada Unit Integriti dan Unit Audit Dalaman. Sekarang ini, kerajaan dalam usaha hendak menambah baik dan memperkuat kedua-dua unit ini. Kedua-dua unit ini perlu dianggotai orang yang lebih bertanggungjawab dan mereka ini boleh menjadi pemeriksa dan pengimbang kepada pegawai pengawal iaitu Ketua Setiausaha kementerian dalam menangani pengaruh politik.