gst - Tuan ibrahim Tuan Man
coretan kaitan dengan GST.
Melihat rakyat marhaen berpusu-pusu memasuki pasaraya membeli pelbagai barangan keperluan dengan kuantiti yang banyak pada hujung minggu yang lalu menggambarkan kerisauan yang mendalam di kalangan rakyat terhadap GST.
Situasi tersebut adalah sama seperti yang disaksikan di stesen minyak
pada malam terakhir sebelum harga minyak diumumkan naik pada hari
keesokannya.
Fenomena ini menunjukkan rata-rata pembeli merasakan harga barangan akan meningkat selepas 1 April ini.
Majoriti negara di dunia ini melaksanakan GST sebagai sumber pendapatan.
GST tidak pernah diperlukan selama ini di negara kita kerana negara Malaysia sebenarnya kaya dengan sumber asli.
Sejak zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sehinggalah sekarang, kita mula
kedengaran hutang negara menjadi semakin meningkat menghampiri 55% GDP.
Kita mula mendengar penyelewengan dan salahguna dana awam yang semakin meruncing setiap tahun di dalam laporan audit tahunan.
Selepas itulah, baru kita terdengar negara Malaysia tiba-tiba memerlukan GST untuk memperbetulkan defisit kewangannya. Ketika rakyat masih samar-samar mencari jawapan, tanpa sedar, GST bakal menemui rakyat Malaysia dalam 2 hari lagi.
Persoalannya, apakah negara sudah bersedia dengan GST?
Apakah kerajaan sudah melakukan persiapan yang cukup dan melakukan
simulasi terhadap apa yang akan berlaku bilamana GST terlaksana?
Jika ya, apakah impak kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan
sederhana (RM5000 ke bawah)? Apakah kesannya kepada hutang seisi rumah?
Tanpa GST, rata-rata rakyat marhaen sudah hidup dalam keadaan hutang
sekeliling – bagaimana pula selepas GST?
Bagaimana pula dengan
golongan pencen dan tua? Apakah kerajaan sudah membuat simulasi kesan
GST terhadap mereka? Apakah semua ini sudah dikaji, dan daripadanya
terhasil satu tindakan susulan untuk membantu mereka selepas GST
terlaksana?
Selain itu, apakah kerajaan sudah membuat simulasi
kadar inflasi untuk 3, 6 dan 12 bulan seterusnya sejurus GST
dilaksanakan? Jika ya, sekadar pertanyaan, apakah kerajaan sudah ada
satu pelan tindakan sekiranya kadar inflasi melebihi kadar yang
dijangkau kerajaan untuk mengelakkan rakyat tertekan dan terbeban?
Bukan itu sahaja, apakah GST akan menyebabkan peningkatan kadar
penggangguran kerana mungkin ada perniagaan-perniagaan bermodal
sederhana yang terpaksa mengurangkan kakitangan untuk menampung kos
perniagaan yang meningkat kerana GST? Apakah kerajan sudah melakukan
simulasi terhadap situasi ini? Jika ya, apakah hasilnya?
Ada
juga yang tertanya-tanya mengenai kesan GST pada yuran di universiti
awam? Apakah pelajar yang sedang mengaji perlu membayar 6% tambahan
kepada pemprosesan yuran universiti dan apa-apa kos pentadbiran
universiti yang lain termasuk bayaran peperiksaan dan juga graduasi?
Bagaimana pula dengan pihak PTPTN, apakah kerajaan sudah mengkaji
apakah wajar pelajar diberikan pinjaman tambahan untuk menampung kos
kehidupan mereka selepas GST terlaksana?
Apakah saluran sudah
disediakan untuk para pengguna yang menjadi mangsa untuk mendapatkan
pampasan sekiranya mereka terbayar GST kepada barangan yang sepatutnya
dikecualikan GST?
Bagaimanakah para pengguna boleh mengenalpasti mana satu kedai yang boleh mengenakan GST mahupun tidak?
Bagaimana pihak kastam dapat memantau kutipan GST haram daripada mereka yang tidak layak mengenakan GST?
Pokoknya, apakah kita sebagai satu negara sudah bersedia dengan GST?
Maaf. Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa tidak lagi bersedia. Dan saya yakin ramai lagi yang bersetuju dengan saya.
Saya percaya ramai rakyat biasa hanya sekadar bersedia dan tahu mereka
terpaksa berbelanja lebih apabila GST terlaksana tanpa mengetahui
apa-apa yang lain dan kesannya.
Kerajaan pula dilihat hanya
menyibukkan diri untuk menyakinkan rakyat, GST tidak akan menyebabkan
peningkatan kos sara hidup daripada tugas untuk memastikan perlaksanaan
GST tidak bermasalah.
Melihat bagaimana kerajaan tiba-tiba
tidak mengenakan GST pada buku pada saat-saat akhir sebelum
melaksanakan GST menyakinkan saya lagi, kerajaan masih tidak bersedia
sepenuhnya untuk melaksanakan GST.
Saya merasa perlunya
kerajaan melaksanakan tempoh percubaan GST selama tiga bulan, contohnya
di Langkawi, untuk menilai keberkesanan sistem GST yang ada sebelum ia
dilaksanakan di seluruh negara.
Kepada perdana menteri Datuk
Seri Najib Razak, inilah masanya untuk mendahulukan rakyat. Jangan
perjudikan nasib rakyat dengan perlaksanaan GST yang masih tidak
menentu dan stabil.
Justeru itu, saya memohon agar kerajaan
menangguhkan perlaksanaan GST sekurang-kurangnya untuk 6 bulan untuk
memastikan segala impak pada negara dan rakyat dapat diminimakan. Lebih
baik jika kerajaan dapat memansuhkannya sahaja dan fokus kepada usaha
menangani rasuah dan ketirisan dengan cara lebih efektif.
* Tuan Ibrahim Tuan Man merupakan Naib Presiden PAS.
No comments:
Post a Comment