Seorang pemimpin Umno, Syed Rosli Jamalullail mempersoalkan hukuman yang
dikenakan terhadap Mejar Zaidi Ahmad walaupun penjawat awam itu berbuat
perkara betul dengan membuat laporan polis berhubung kelemahan dakwat
kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Ketua penerangan Umno cawangan Pusat Bandar Taman
Chempaka Pandan itu berkata, TUDM lebih cepat menghukum Zaidi yang
kesalahannya tidak serius berbanding kelemahan agensi keselamatan itu
ketika kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
"Kenapa Mejar Zaidi diambil tindakan tegas sedangkan beliau cuma ingin
melaporkan perkara yang benar mengenai kelemahan dakwat kekal yang
digunakan oleh SPR semasa PRU13," kata Syed Rosli dalam satu kenyataan
kepada The Malaysian Insider hari ini merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan
Raya.
"Kerajaan Indonesia lebih tegas dengan memecat 4 pegawai Pusat Kawalan
Udara mereka yang bertugas semasa kejadian malang pesawat AirAsia
QZ8501."
Zaidi pada Isnin dijatuhkan hukuman dengan ditamatkan perkhidmatan
secara serta-merta selepas didapati bersalah atas dua dakwaan yang
dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tentera.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Kol Saadon Hasnan berkata, hukuman berkenaan bukan berpunca daripada isu dakwat kekal.
"Ianya kerana dua kesalahan yang dilakukan kerana melanggar arahan yang
dikeluarkan pihak berkuasa Angkatan Tentera Udara," kata Saadon.
Zaidi membuat laporan berhubung dakwat kekal pada 30 April, 2013 selepas
mengundi dalam pengundian awal selepas mendapati dakwat kekal di
jarinya hilang selepas dibasuh.
Susulan daripada laporan polisnya, pegawai TUDM itu diarahkan untuk
berpindah ke Butterworth dan pada 7 Februari, 2014 beliau dilaporkan
menerima 7 pertuduhan daripada Majlis Angkatan Tentera.
Syed Rosli yang pernah mencabar
Khairy Jamaluddin sebagai ketua Pemuda Umno turut membidas cara TUDM
menangani kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac, 2014 dengan mengatakan
sehingga kini tiada siasatan menyeluruh dilakukan.
Katanya, TUDM juga gagal mengesan kehilangan pesawat MAS yang membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal itu terkeluar daripada radar.
Beliau berkata TUDM hanya mendedahkan pesawat itu berpatah balik selepas tiga hari meskipun ia dapat dikesan radar mereka.
"Betul, kita tidak boleh menyalahkan 100% pada pihak tentera udara
Malaysia tetapi bukankah ini menjadi tanggungjawab mereka memantau ruang
udara Malaysia terutama apabila ada pesawat penumpang yang melakukan
pusingan semula merentasi Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang tanpa
mendarat?"
Syed Rosli yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dengan surat terbuka
kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa TUDM memperbaiki
kelemahan badan itu.
"Tidak boleh bayangkan apa akan
terjadi dengan Malaysia jikalau ada pesawat perang asing yang masuk ke
ruang udara Malaysia malahan lebih teruk mereka boleh mendarat secara
haram tanpa diketahui oleh pihak tentera pun.
"Jangan diulangi lagi seperti apa yang pernah berlaku di Lahad Datu
setahun yang lalu dan berubahlah semua pemimpin negara atau kami rakyat
akan terpaksa mengubah kamu semua," katanya lapor The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment