Tindakan Anwar akibat pengalaman lampau
PUTRAJAYA -
Peguam utama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Gopal Sri Ram, dalam
hujah penutupnya bagi rayuan terakhir pemimpin pembangkang terhadap
sabitan dan hukuman penjara lima tahun, memberitahu Mahkamah Persekutuan
bahawa penasihat PKR itu tidak patut dipersalahkan kerana memilih
memberikan kenyataan dari kandang tertuduh berhubung konspirasi untuk
menamatkan karier politiknya.
Sri Ram, seorang bekas hakim Mahkamah
Persekutuan berkata, Anwar memilih untuk melakukan ini kerana pengalaman
masa lalu di mana mahkamah rendah mensabitkan beliau atas tuduhan yang
sama (kerana meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar) tetapi
kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam keputusan
majoriti 2-1.
Beliau juga memberitahu panel lima hakim
yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bahawa dalam
kes semasa yang melibatkan Mohd Saiful Bukhari, pengadu adalah seorang
lelaki yang mempunyai motif dan saksi yang tiada nilai.
"Hakim perbicaraan (Mahkamah Tinggi) itu
terkhilaf apabila memberikan banyak tumpuan kepada pembuktian apabila
kredibiliti Mohd Saiful Bukhari diragui," beliau memberitahu panel lima
hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria pada hari
kelapan prosiding rayuan.
Sri Ram juga menyebut beberapa kes
undang-undang yang menyatakan apabila kredibiliti itu kurang, maka
pembuktian tidak lagi relevan.
Beliau berkata, pada peringkat
pembelaan, hakim perbicaraan telah memutuskan bahawa ia bukan 100
peratus selamat untuk mensabitkan Anwar memandangkan keterangan saksi
utama (Mohd Saiful Bukhari) tidak menyokong bukti DNA yang merupakan
titik penting kes pendakwaan.
Sebelum itu, Sri Ram memberitahu
mahkamah bahawa gambar Mohd Saiful Bukhari menghidangkan teh di rumah
Anwar sehari selepas kejadian yang didakwa itu perlu diterima sebagai
eksibit memandangkan orang yang di dalam gambar itu mengakui bahawa dia
ada di sana, tanpa memanggil siapa yang membancuhnya.
Beliau berkata, foto itu adalah relevan
untuk menunjukkan perilaku Mohd Saiful Bukhari, yang mana pihak
pembelaan berhujah kelihatan normal dan gembira, tetapi ia tidak
ditandakan sebagai eksibit semasa perbicaraan. - Bernama
No comments:
Post a Comment