Perdagangan Israel-Malaysia mencecah lebih USD 1 Billion : Ayuh Anak Muda Gegarkan MITI
0 4 0 386
Perdagangan Israel-Malaysia mencecah lebih USD 1 Billion :
Ayuh Anak Muda Gegarkan MITI
Ayuh Anak Muda Gegarkan MITI
Selama
5 tahun ini, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah dengan
konsisten mendedahkan sikap talam dua muka Kerajaan Persekutuan
berhubung hubungan Malaysia-Israel. Dari sisi diplomasi, Malaysia tidak
menjalin sebarang hubungan dengan Israel namun, Jemaah Kabinet pada
tahun 1996 telah pun memberikan kebenaran kepada syarikat multinasional
untuk membuat transaksi perdagangan dengan negara rejim Zionis itu.
Kepimpinan
negara terus dengan hipokrasi mereka menziarahi Palestin, bersolidariti
dengan Palestin dan misi bantuan kemanusiaan sedang hakikat yang ingin
disembunyikan adalah sebelah lagi tangan mereka berlumuran darah warga
Palestin. Pintu-pintu pelabuhan negara antaranya Pelabuhan Tanjung
Pelepas terus menjadi penghubung barang dagangan sama ada daripada atau
ke Ashdod atau Haifa di Israel.
Biro Statistik Israel merekodkan transaksi berjumlah USD 19.41 juta bagi hasil minyak mentah sawit atau CPO, USD 8.67 juta bagi hasil getah dan USD 11.54 juta bagi hasil ke koko telah dihantar dari Malaysia ke Israel pada tahun 2011.
The
Israel Export & International Cooperation Institute dalam laporan
mereka yang bertajuk Developments and Trends In Israeli Export – Summary
of First Half 2013 yang memetik data daripada Biro Statistik Israel dan
analisis oleh Israel Export Institute pula telah mendedahkan lebih
banyak angka-angka yang mengejutkan. Bagi tahun 2012, jumlah eksport
Israel ke Malaysia telah meningkat kepada 7% berbanding tahun 2011
dengan nilai USD 765 juta berada dalam kedudukan ke 16 dalam senarai negara-negara rakan eksport Israel.
Lebih
mengejutkan, bagi tempoh Januari sehingga Jun 2013, disaat Negara
China, Korea Selatan, Jepun dan Thailand mencatatkan penurunan yang
signifikan jumlah eksport mereka dari Israel hingga menyebabkan
pertumbuhan eksport Israel ke Asia hampir lumpuh, tetapi Malaysia telah
mencatatkan peningkatan drastik sehingga 124% berbanding tempoh yang sama 2012 dengan nilai USD 590 juta dan
berada di kedudukan ke 11 dalam senarai rakan eksport Israel. Tahniah
dan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri diatas kejayaan membantu menyelamatkan pertumbuhan eksport
Israel ke Asia.
Malaysia
juga merupakan negara kedua terbesar selepas Amerika Syarikat yang
menerima peralatan elektronik yang dieksport oleh Israel iaitu pada
kadar 16.1% dengan nilai USD 1.4 billion. Hanya kurang USD 0.1 billion daripada Amerika Syarikat.
Disaat
seluruh dunia, merasa bersedih diatas penderitaan rakyat Palestin
terhadap kekejaman penghapusan etnik oleh rejim Zionis Israel, Malaysia
dengan kebenaran Jemaah Kabinet tanpa segan silu terus menjadi mesin
penyambung hayat Perbendaharaan Israel yang sedikit sebanyak akan pasti
digunakan dalam perbelanjaan persenjataan dan ketenteraan rejim Zionis
itu.
Kemunafikan
rejim Pemerintah Barisan Nasional yang menunggang sentimen orang Islam
Malaysia dengan menghalakan bantahan dan tunjuk rasa hanya kepada
sayap-sayap franchais milik Amerika Syarikat di negara ini sedangkan
dalam masa yang sama terus membantu ekonomi Israel dengan nilai
berbilion dolar Amerika dalam senyap.
SAMM
meraikan setiap aksi bantahan dan protes jalanan yang dibuat oleh semua
kelompok masyarakat dan menyeru agar semua anak bangsa Malaysia untuk
terus melahirkan tunjuk rasa melalui apa juga medium yang ada. Isu
Kekejaman Zionis Israel ini tidak lagi terfokus kepada sentimen orang
Islam semata-mata tetapi telah melangkaui garis kemanusiaan dengan
agenda keganasan pembersihan etnik yang dikutuk oleh setiap manusia yang
bertamadun.
Namun
begitu, SAMM menyeru setiap rakyat Malaysia untuk tampil bangkit diatas
keprihatinan dan sifat kemanusiaan dalam diri kita untuk bersama-sama
mengegarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta
Pejabat Perdana Menteri dengan aksi protes dan flashmob ekoran kelulusan
perdagangan yang telah diberikan pada tahun 1996 dahulu dan juga sikap
hipokrasi selama bertahun-tahun ini.
SAMM
juga akan menerbitkan sebuah buku yang menyorot kembali semua
pendedahan selama ini termasuklah pembekalan sawit ke Israel semasa
bulan Ramadhan baru-baru ini. Buku yang mengandungi 6 bab ini akan
merungkai secara menyeluruh sikap bermuka-muka Malaysia yang dinaungi
rejim Barisan Nasional selama ini dalam krisis kemanusiaan
Israel-Palestin.
Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras SAMM Kebangsaan
No comments:
Post a Comment