gambar hanya hiasan
Tanggungjawab bagi orang yang berkemampuan terhadap orang yang
meminta adalah menunaikan hajatnya. Soal dia menipu atau didalangi
sindiket ialah satu lain yang perlu diteliti dan dikaji secara
menyeluruh.
Adapun sekiranya secara zahir sesorang itu berhajat
kepada bantuan dan pertolongan kita, maka berkewajipan pula ke atas kita
untuk membantu mereka. Allah pasti akan mengganjarkan dengan pahala
yang banyak kepada si pemberi dan tidak akan melepaskan hukuman kepada
si penerima sekiranya mereka menipu.
Dianggarkan terdapat 2,000
gelandangan disekitar Kuala Lumpur. Ada di antara mereka memang mengemis
sepenuh masa dan ada di antara mereka yang bekerja dan hanya berada di
gelandangan pada waktu bekerja. Apakah angka 2,000 ini untuk dijaga oleh
pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Wilayah, DBKL, Majlis
Agama Wilayah, Pusat Zakat Wilayah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat
sesuatu yang besar bebannya?
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) silap apabila mengemukakan
arahan untuk mengenakan tindakan ke atas pemberi sedekah. Silap dari
sudut ajaran agama yang menjadi “rahmat untuk sekalian alam” dan silap
juga dari sudut semangat moral yang menekankan prinsip saling
bantu-membantu dan bersikap simpati serta empati terhadap kesusahan
orang lain.
Sepatutnya ialah, Ku Nan arahkan supaya agensi-agensi
kerajaan berkaitan membantu dan menyelesaikan keperluan mereka. Apakah
bantuan sara hidup, bantuan makanan, bantuan pakaian dan bantuan tempat
tinggal sesuatu yang besar dan di luar kemampuan Kerajaan yang terkenal
dengan belanja mewah dan membazir?
Andai kerajaan masih belum
mendapat idea penyelesaian kepada masalah gelandangan ini, saya ingin
mencadangkan kerajaan membatalkan peruntukan kewangan ke atas
perbelanjaan yang membazir seperti perbelanjaan untuk menanggung kos
bunga api sempena sambutan tahun baru dan sambutan kemerdekaan setiap
tahun.
Setiap tahun DBKL membelanjakan sebanyak RM30 juta untuk
setiap tembakan bunga api ketika Sambutan Kemerdekaan dan Tahun Baru.
Sekiranya dimanfaatkan untuk membantu para gelandangan, ia dapat
digunakan untuk mengalihkan 2,000 gelandangan ini ke pusat perlindungan
tanggungan di bawah DBKL yang selesa. Ia juga boleh digunakan untuk
membina lebih 300 buah rumah kos rendah dengan harga RM40,000 sebuah
beserta dengan bantuan keperluan asas untuk suatu tempoh yang cukup
untuk mereka memulakan kehidupan baru.
Malangnya, Ku Nan lebih
sayangkan imej Kuala Lumpur dan hanya memandang para gelandangan ini
sebagai sampah yang perlu dibersihkan. Letupan bunga api yang membakar
wang rakyat diadakan saban tahun dan langsung tidak memberi faedah
kepada rakyat memerlukan.
Islam mengajar kita bahawa orang yang
susah perlu dibela dan dibantu. Inilah tanggungjawab yang sepatutnya
dipikul oleh Kerajaan. Bukannya menjalankan polisi sekadar ingin mencari
sumber baru bagi menambah dana Kerajaan walaupun dengan cara “rompak”
wang rakyat. Saya juga ingin berpesan, sekiranya kerajaan tidak mampu
melaksanakan tanggung jawab mereka, jangan disekat NGO yang memainkan
peranan membantu golongan gelandangan ini.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Penulis ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia.
No comments:
Post a Comment