Berikut
status yang dimuatnaik oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin sekitar jam 1
tengahari tadi yang dijangkakan berhubungkait dengan pandangan Ustaz
Kazim Elias mengenai isu gelatin dan DNA Babi.
Saya
terkejut dengan seorang penceramah agama yang dikenali mengulas isu
kenyataan al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai kesan DNA khinzir
dalam makanan dan bahan yang terdapat secara meluas di dunia hari ini.
Jika kita dengar ulasan penceramah tersebut seakan Dr Yusuf al-Qaradawi,
Majlis Fatwa Eropah yang terdiri dari ramai tokoh ilmuwan antarabangsa,
beberapa persidangan Fekah di peringkat antarabangsa dan lain-lain yang
mengharuskan itu tidak tahu bahawa babi itu haram.
Bagi
menyokong hujahnya, penceramah itu secara ‘janggal’ menyebut empat-empat
mazhab mengharamkan babi. Katanya pula, ulama hanya khilaf tentang
kulit babi.
Saya
ingin katakan, pertama, sesiapa yang ingin mengulas sesuatu hendaklah
mempunyai ilmu pengetahuan tentang apa yang dia ulas. Jika tidak ia
hanya menampakkan kedangkalan diri dalam dunia ilmu yang luas.
Dr Yusuf
al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah, Persidangan Fekah Perubatan yang
berlangsung di Morocco pada tahun 1997 dan lain-lain bukan tidak tahu
bahawa babi itu haram. Namun isu yang dibahaskan ialah istihalah yang
telah merubah sifat sesuatu bahan. Para ulama dalam pelbagai mazhab
Islam mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini.
Isunya,
bukan ingin makan seketul babi goreng ataupun sup babi, tetapi ingin
memakan coklat, ataupun biskut tapi terdapat kesan DNA babi disebabkan
bahan tertentu yang asal-usulnya babi namun telah berubah sifat
kimianya.
Adapun
kenyataan beliau bahawa mazhab empat mengharamkan khinzir amatlah
canggung. Beliau hendaklah tahu bahwa bukan setakat empat mazhab, bahkan
semua mazhab termasuk al-Auza’i, al-Thauri, Laith bin Sa’d, Zahiri,
Zaidi dan lain-lain semuanya mengharamkan khinzir. Ia ijmak. Namun,
bukan itu isunya. Apa yang dibincangkan isu istihalah.
Adapun
kata beliau khilaf ulama hanya tentang kulit babi, sebenarnya bukan
sahaja tentang kulit babi, tapi juga tentang tulang dan bulu. Apakah
boleh dibuat sesuatu yang bermanfaat, seperti kasut ataupun bone china
seperti hari ini ataupun tidak boleh? Walaupun banyak imam yang melarang
perkara itu, tetapi ramai juga para imam yang membolehkan. Contoh boleh
lihat nukilan al-Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni yang menyebut
beberapa pendapat. Jika kita semak pendapat yang membolehkan itu
dipertahankan oleh beberapa tokoh ulama termasuk al-Imam al-Syaukani.
Sebenarnya,
masalah istihalah babi ini masalah khilafiyyah. Ada yang membolehkan
seperti Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Persidangan Fekah Perubatan di
Morocco 1997 dan lain-lain. Ada pula yang mengharamkan seperti Majma
al-Fiqh al-Islami di Jeddah, Arab Saudi.
Bukan
orang Islam nak disuruh ternak babi, tapi sarjana fekah membincangkan
bahan yang berubah tapi asal-usulnya ada kaitan dengan babi. Ini boleh
difahami juga seperti rakyat muslim Singapore yang meminum new water
iaitu air najis yang telah dirawat menjadi air bersih yang digunakan di
Singapore sekarang. Bukan mereka nak minum najis, tetapi air itu asal
bernajis namun telah dirawat dan dibersihkan.
Kita
mengingatkan semua pihak, termasuk diri kita bahawa berceramah satu
kebolehan yang lain, mungkin ia dibantu oleh kepetahan, jenaka dan
lain-lain. Namun hendak membincangkan isu ilmu hendaklah berasaskan
maklumat dan pengetahuan.
Sekali
lagi, hal ini khilaf pendapat dalam kalangan ulama. Setiap orang
membaca, meneliti dan mengikut apa yang dia yakin lebih diredhai Allah
untuk dirinya.
Fatwa
ini dibincangkan oleh para sarjana Islam moden sebab bahan berkena
kepada banyak produk yang wujud terutama mereka yang hidup di negara
minoriti muslim. Sementara sifat Islam itu memudahkan umatnya yang dalam
kesulitan. Kita juga perlu ingat hal ini berlaku apabila kita tidak
menjadi pengeluar dan asyik jadi pengguna.
Sumber FB Rasmi Dr Asri
No comments:
Post a Comment