"Peloncolan" ialah suatu perkataan asing pada hari ini. Pada 1980-an,
"peloncolan" sering digunakan sebagai terjemahan untuk perkataan
Inggeris, ragging. Di Malaysia, ragging bukanlah suatu perkataan asing
walaupun kepada seseorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Boleh
dikatakan semua pelajar (atau bekas pelajar) tahu tentang apa itu
ragging. Terjemahan ragging yang sedang popular pada hari ini ialah
"buli", tapi mungkin masih ada lagi sesetengah orang yang lebih selesa
menterjemahkannya sebagai "mendera".
1989
Kes ragging yang paling terkenal di Malaysia - walaupun mungkin telah
lama dilupakan - berlaku pada Julai 1989. Akhbar New Straits Times (NST /
13.7.1989) menyifatkan kes ragging tersebut sebagai "barbaric" (sangat
kejam) dan "sadistic" (penyeksaan untuk mendapat keseronokan). Kes itu
melibatkan 6 orang pelajar lelaki tahun akhir atau "senior" dari
Universiti Pertanian Malaysia (UPM di Selangor) yang mendera 6 orang
pelajar lelaki junior atau "freshie" dari universiti yang sama. Kejadian
berlaku di rumah sewa para pelajar senior itu yang terletak di Sri
Serdang, 2km dari kampus UPM.
Penderaan yang dilakukan dalam kes ragging terkenal di UPM itu ialah:
- Menampar freshies.
- Memaksa freshies menari dalam keadaan bogel.
- Mengikat zakar setiap freshie dengan tali yang disambungkan kepada
kipas siling. Apabila kipas dihidupkan, setiap freshie terpaksa berlari
mengikut pusingan kipas akibat zakar mereka yang sedang terikat.
Setelah mendapat aduan mengenai penderaan yang gila tersebut, lembaga
disiplin UPM telah bersidang pada 12 Julai 1989 selama 5 jam dan mereka
akhirnya mendapati bahawa 5 orang pelajar senior yang dituduh mendera
itu telah terbukti bersalah. Daripada 5 orang pelajar senior tersebut, 3
orang telah dibuang daripada universiti, manakala 2 orang lagi telah
digantung pengajian selama 2 semester, semuanya berkuat kuasa serta
merta. Seorang lagi pelajar senior yang dikatakan terlibat dalam kes itu
telah dibebaskan daripada tuduhan dan dia diberi teguran setelah
didapati sekadar menjadi pemerhati.
1988
Lebih setahun sebelum kes ragging di UPM itu, masyarakat terlebih dahulu
digemparkan dengan kes ragging yang melibatkan kematian seorang pelajar
dari Sekolah Menengah Teknik (SMT) di Cheras, Kuala Lumpur. Kes ragging
di SMT Cheras itu berlaku pada 24 Mac 1988 (Khamis), melibatkan seorang
pelajar lelaki "senior" tingkatan 5 bersama beberapa orang bekas
pelajar lelaki atau "super senior" yang hadir ke sekolah itu untuk
mengambil keputusan peperiksaan SPM. Pelajar tingkatan 5 tersebut yang
bernama Hishamuddin meninggal dunia akibat kerosakan organ dalaman
badannya setelah dia dikatakan dibelasah oleh beberapa orang bekas
pelajar di dalam tandas sekolah tersebut pada pukul 11.30 pagi.
Setelah dibelasah, Hishamuddin meminta kebenaran daripada guru kelasnya
untuk pulang ke asrama atas alasan tidak sihat tanpa memberitahu apa
yang sebenarnya berlaku. Pada pukul 7.30 malam hari yang sama, beberapa
orang pelajar melaporkan kepada warden asrama bahawa Hishamuddin sedang
dalam kesakitan. Atas arahan ketua warden, Hishamuddin dibawa ke
hospital oleh warden asrama. Hanya beberapa ketika selepas dimasukkan ke
dalam wad kecemasan, pada pukul 8.50 malam doktor mengesahkan bahawa
Hishamuddin telah meninggal dunia. Pada mulanya, laporan kematian
Hishamuddin yang dikeluarkan oleh pihak polis pada 25 Mac 1988
menyatakan bahawa dia mati akibat sakit di dalam perut. Hanya apabila
bapa Hishamuddin membuat laporan kepada polis mengenai punca sebenar
kematian anaknya, barulah kejadian itu bertukar menjadi kes jenayah.
Setelah disiasat, 2 orang bekas pelajar SMT Cheras telah didakwa menyebabkan kematian Hishamuddin. Perbicaraan kes itu berlarutan di mahkamah juvana sehingga awal 1990. Beberapa perkara telah terbongkar di sepanjang perbicaraan itu. Antaranya, mahkamah diberitahu mengenai wujudnya 'upacara' tradisi pemberian nama gelaran oleh para pelajar senior kepada para pelajar junior yang terpilih. Pelajar-pelajar yang diberi nama gelaran itu terpaksa menjalani 'ujian', antaranya melibatkan penderaan fizikal. Hishamuddin dikatakan telah terlibat dalam 'upacara' pemberian nama gelaran pada hari kejadian sehingga menyebabkannya terpaksa menjalani 'ujian' yang menyakitkan.
Seorang pelajar yang menjadi saksi memberitahu mahkamah apa yang dilihatnya ketika berada di dalam tandas sekolah pada waktu kejadian. Saksi itu yang baru keluar daripada salah sebuah jamban mendapati Hishamuddin sedang dikelilingi oleh sekumpulan pelajar di dalam tandas itu. Saksi itu juga mengakui melihat salah seorang daripada bekas pelajar yang didakwa itu telah memukul Hishamuddin. Saksi itu kemudiannya melihat seorang lagi pelajar lain melakukan "starlight" pada dahi Hishamuddin. Sebagai salah seorang pelajar yang telah menerima nama gelaran, saksi itu diarahkan untuk bersalaman dengan Hishamuddin sebelum dia keluar daripada tandas itu tanpa dapat mengetahui kesudahan kepada 'ujian' itu.
Pada Julai 1989, atas arahan pihak pendakwa, pertuduhan dalam kes itu telah dipinda daripada 'menyebabkan kematian' kepada pertuduhan yang lebih ringan iaitu 'menyebabkan kecederaan parah'. Salah seorang bekas pelajar yang didakwa itu telah dibebaskan daripada pertuduhan apabila dia mengaku bersalah dan membuat permohonan maaf secara umum di dalam mahkamah kepada keluarga Hishamuddin. Pada Januari 1990 seorang lagi bekas pelajar yang didakwa akhirnya turut dibebaskan daripada pertuduhan (alasan pembebasan: "the prosecution had failed to prove a prima facie case against the 19-year old", "the prosecution had failed to prove the ingredients of the charge"). Kekurangan saksi yang meyakinkan ialah antara penyebab bekas pelajar yang didakwa itu tidak dapat dibuktikan bersalah.
Antara laporan NST berkaitan kes ragging SMT Cheras:
1. Two juveniles plead not guilty to killing student (13.7.1988)
2. Death of pupil: Hearing fixed (7.12.1988)
3. Ex-school head not aware of initiation rites by boys (26.4.1989)
4. Delay cost student his life, says warden (27.4.1989)
5. Witness: I saw pupil being punched in toilet (7.6.1989)
6. Warden tells of clash in school (9.6.1989)
7. Charge against boys reduced (6.7.1989)
8. Boy freed after saying sorry to victim's family (7.7.1989)
9. Student freed of hurt charge (17.1.1990)
Nota tambahan:
Perkataan "peloncolan" seperti yang sering digunakan pada 1980-an untuk
menterjemahkan "ragging" sebenarnya tidak wujud dalam Kamus Dewan.
Perkataan yang sepatutnya ialah "memelonco" (yang berasal daripada
perkataan Jawa, "pelonco") yang membawa maksud "menguji dan menduga
dengan keras (berkenaan maha*siswa baharu yang hendak masuk menjadi
anggota perkumpulan mahasiswa), mendera"
mymedia hub
No comments:
Post a Comment