Orang yang suka menyebar fitnah sebenarnya adalah seorang yang sakit jiwa, kerana kosong makanan rohaninya. Makanan penyebar fitnah ialah bahan fitnah, mereka sentiasa lapar, seperti lembu yang kehausan apabila tidak ada makanan. Segala makanan dan minuman yang mereka makan sebenarnya dimakan oleh iblis dan syaitan yang bersarang di dalam batang tubuh mereka. Mereka ini tidak kenyang dengan makanan ruji, sebaliknya merasakan satu kepuasan apabila dapat menyebarkan fitnah kepada orang lain. Seolah-olah mereka merasa lapar dan dahaga apabila jari mereka tidak menyentuh huruf-huruf di skrin Ipad atau tab mereka. Nafsu Ammarah yang menguasai mereka sudah hilang karamah Insaniah dengan diganti dengan nafsu syaitaniah sehingga hilang harga diri.
Di
zaman langit terbuka penyebar fitnah amat gemar menggunakan segala
kemudahan yang Allah anugerahkan tanpa menghitong dosa dan pahala.
Pendekatan Matlamat Menghalalkan Cara telah menjadi makanan kepada
golongan ini. Tanpa mereka sedar bahawa fitnah yang berbentuk tulisan
lebih merbahaya daripada fitnah yang diungkap oleh lidah. Fitnah lidah
ia akan habis begitu sahaja kerana orang mudah lupa, sedangkan di dalam
tulisan ia akan melekat dan dibaca berkali-kali. Jika disebar melalui
media baru, entah berapa puluh juta orang like dan share posting mereka.
Abu
Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah s.a.w. bersabda :”Barangsiapa
menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya
dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam
neraka pada hari kiamat” (diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya)
Imam
Al-Ghazali mengatakan bahawa tukang fitnah tidak dapat dipercayai
kata-katanya dan tidak diterima sedekahnya. Sesungguhnya fitnah
ditegakkan di atas kedustaan, kedengkian dan kemunafikan. Kesemua sifat
ini adalah tungku dapur kehinaan.
Dosa membuat
fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak
akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi
keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan
menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu,
perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Hakikatnya,
dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW
bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dosa
menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat
merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah
menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah
akan menjadi muflis di akhirat nanti.
Sikap kita untuk melawan fitnah.
@Tabayyun
terlebih dahulu sebagaimana diajar oleh Allah SWT, iaitu menganalisis
dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah
SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada
kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk
menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum
dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah
lakukan. (al-Hujurat: 6)
Sikap tabayyun ini sangat perlu
kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak
benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan
seseorang.
@Bersangka baik terlebih dahulu,
jangan terus menerima bulat-bulat apa yang diterima. Lebih-lebih lagi
jika melibatkan sahabat yang kita kenali hati budi
Dalam hal
ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap.
Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya
tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat
berkenaan. Ambillah sikap yang diajar oleh Islam apabila mendengar
berita mengenai fitnah terhadap sahabat.
Firman
Allah SWT. menurunkan surat An-Nuur : 12, ‘’Mengapa di waktu kamu
mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak
bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak)
berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata."
@Menyedari
besarnya dosa fitnah yang dilakukan oleh kita. Apa akan terjadi kepada
kita jika orang yang kita fitnah telah meninggal dunia, sedangkan kita
tidak sempat memohon maaf kepada mangsa fitnah.
@Banyakkan
zikir dan melakukan program tazkiah al Nafs ( bersih jiwa) supaya hati
kita jijik untuk melibatkan diri dengan fitnah.
@Sentiasa berada di dalam majlis ilmu yang memberi ingatan tentang bahayanya penyakit fitnah.
@Bacalah buku-buku yang boleh mengubat jiwa dan hati, supaya sifat mazmumah diganti dengan sifat mahmudah.
Kesimpulannya
bagi kita yang difitnah mengambil sikap, biarlah seluruh media sosial,
Facebook., twitter, Wassap, Telegram, blog, portal hendak memfitnah
kita. Kita akan terus melaksanakan kerja jamaah. Biarlah tangan
pemfitnah ini menulis sehingga tangan mereka kaku ketika sakaratulmaut
menjemput mereka. Kita tidak ada kuasa untuk menghentikan tangan mereka
daripada menulis, kerana kita insan kerdil. Hanya kematian sahaja yang
dapat menghentikan tangan mereka untuk menulis. Kita bertemu di Medan
Mahsyar yang lebih hebat daripada Media Sosial. Teruskan usaha Mu jika
itu yang dirasakan boleh memberatkan timbangan amalanmu di akhirat
kelak.
Idris Hj Ahmad
No comments:
Post a Comment