SHAH
ALAM, 16 Jun (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2
mendapati pengurusan pensijilan halal oleh Seksyen Pengurusan Halal,
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah kurang memuaskan dari segi
pemprosesan baru Sijil Pengesahan Halal (SPH) dan pemantauan terhadap
pemegang SPH.
Menurut laporan itu, antara kelemahan yang ditemui adalah pemprosesan
SPH mengambil masa yang panjang di mana ia boleh menjejaskan reputasi
serta keyakinan industri terhadap kecekapan JAIS.
Ketua Audit Negara turut mendapati pemantauan terhadap pemegang SPH
kurang memuaskan dan aduan terhadap produk atau premis yang diragui
halal tidak diurus dengan cekap.
Selain itu kelemahan lain yang ditemui ialah SPH yang belum diambil oleh
pengusaha menyebabkan pemohon terbabit menjalankan proses pengeluaran
produk makanan tanpa mempamerkan SPH di premis masing-masing.
Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mengesyorkan supaya JAIS mengkaji
semula prosedur proses permohonan SPH serta pengurusan aduan awam dengan
menyediakan norma masa yang lebih jelas dan bersesuaian untuk setiap
peringkat pemprosesan agar tempoh penyelesaian permohonan SPH serta
aduan dapat dioptimumkan.
JAIS juga disyorkan untuk meningkatkan pemantauan secara berkala
terhadap produk perkilangan, premis makanan dan premis sembelihan dengan
mempercepatkan pelantikan kakitangan baharu selaras dengan keputusan
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Jabatan itu perlu segera memuktamadkan pelantikan Penolong Pengawal
Perihal Dagangan yang akan menjalankan aktiviti penguatkuasaan selaras
dengan Seksyen 3 Akta Perihal Dagangan 2011.
Laporan Audit turut mengesyorkan supaya JAIS mengepos SPH kepada pemohon
memandangkan sijil yang diterima daripada Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) disertakan dengan surat yang dialamatkan kepada pemohon
terbabit.
Mengenai pemantauan terhadap pemegang SPH yang kurang memuaskan, JAIS
memberi maklumbalas bahawa tindakan pemantauan akan dijalankan oleh
Pegawai Pemantau, Unit Pengawasan Dan Audit di Bahagian Penyelidikan Dan
Pembangunannya.
JAIS juga memaklumkan pihak Ketua Audit Negara bahawa jabatan itu telah
menyediakan proses kerja pengurusan aduan berkaitan halal dan menetapkan
norma masa 90 hari bagi penyelesaian aduan yang diterima.
Mengenai SPH yang belum diambil oleh pengusaha, JAIS turut memaklumkan
bahawa rekod pemakluman berkaitan urusan pengambilan SPH telah
diselenggarakan dan pihaknya akan mengepos SPH sekiranya pemohon gagal
mengambil sijil dalam tempoh sebulan seperti cadangan pihak
audit.-bernama
No comments:
Post a Comment