SHAH ALAM: Pencarian MH370 yang masih tidak menampakkan hasil sejak 8
Mac lalu, menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad tampil dengan teori
kontroversi baharu iaitu pesawat tersebut kemungkinan disembunyikan di
suatu lokasi.
Dalam entri terbaharu kolum Chedet.cc, bekas Perdana Menteri itu
berkata, Malaysia Airlines (MAS) dan Malaysia bukan pihak yang patut
dipersalahkan ekoran kehilangan pesawat MH370, tetapi 'seseorang sedang
menyembunyikan sesuatu.'
Ini kerana, dalam kes ini, beliau berkata, apa yang naik pasti akan turun.
"Mereka boleh mendarat dengan selamat atau terhempas.
"Tetapi kapal terbang tidak boleh hilang begitu saja," katanya merujuk
kepada kehilangan pesawat berkenaan Dr Mahathir merujuk kepada pesawat
MH370 yang kini sudah lebih dua bulan hilang.
Menurut Mahathir, terdapat peranan pihak tertentu dalam kehilangan
tersebut dan adalah membuang masa mencari serpihan pesawat atau minyak
yang tumpah atau 'ping' daripada kotak hitam.
"Ia nampaknya bukan kemalangan luar biasa selepas kehabisan minyak.
"Pesawat ini ada di satu tempat, boleh jadi bukan lagi dengan logo MAS
pada badannya," tulis perdana menteri Malaysia yang paling lama
berkhidmat itu.
Justeru, beliau menuntut Boeing menjelaskan apa yang dinamakan sebagai 'sistem pendaratan auto anti keganasan'.
"Saya tidak boleh bayangkan pilot mendaratkan pesawat ini di lautan
yang bergelora dan tenggelam secara senyap bersama pesawat itu,"
katanya.
Tanpa menyebut siapa seseorang itu, bagi beliau, dengan alasan
tertentu, media tidak akan menyiarkan apa-apa melibatkan Boeing yang
menjadi pembuat pesawat ini dan juga Agensi Perisikan Pusat (CIA)
Amerika.
Mahathir memberitahu, semua sistem komunikasi pesawat tersebut termasuk
isyarat GPS telah dimatikan sepenuhnya hingga semua data penting tidak
dapat diperolehi.
Katanya, Boieng sebagai pembuat pesawat tersebut termasuk melengkapkan
kemudahan GPS dan alat komunikasinya tentu tahu bagaimana alat tersebut
boleh dimatikan dengan mudah seperti itu kerana ia adalah sebahagian
daripada aspek keselamatan penting pesawat.
"Pencarian di internet mendedahkan Boeing pada 2006 menerima paten
Amerika Syarikat bagi sistem yang apabila sekali ia diaktifkan maka
menghalang semua kawalan daripada juruterbang secara automatik untuk
kembali ke lokasi mendarat yang ditentukan awal.
"Artikel The Flightglobal.com oleh John Croft pada 1 Disember 2006 yang
ditulis di Washington menjelaskan lebih lanjut 'juruterbang automatik
yang 'tidak boleh diganggu' boleh diaktifkan sama ada oleh juruterbang
di dalam pesawat atau secara kawalan jauh menggunakan pautan satelit
atau radio oleh agensi kerajaan seperti CIA jika pengganas cuba
menguasai kawalan di dek pesawat," kata Mahathir.
Semasa pentadbirannya, Mahathir pernah tampil dengan teori konspirasi
paling tepat apabila Malaysia menghadapi krisis kewangan iaitu beliau
mendakwa George Soros adalah penyangak mata wang yang mengakibatkan
nilai ringgit jatuh merudum.
No comments:
Post a Comment