Saya ingin memberi reaksi serangan terbaru Dr Mahathir ke atas Anwar Ibrahim seperti dilapor
Bernama bertarikh 14 Mei 2014. Saya kira Dr Mahathir melatah lagi.
Kali ini beliau menyerang Anwar Ibrahim kerana dijemput menyampaikan
syarahan di Universiti Al-Azhar, Jakarta Indonesia. Bahkan penganjur
yang menjemput Anwar juga diserang Dr Mahathir. Kata Dr Mahathir, Anwar
tidak layak menyampaikan syarahan tentang Islam kerana moralnya
rendah!
Izinkan saya menceritakan kepada Dr Mahathir yang mudah lupa, lama
sebelum Anwar berkawan dengan Dr Mahathir, Anwar sudah pun mengenali dan
berguru dengan Dr Yusof Qardawi, Dr Ismail Faruqi, Dr Sheikh Taha Jabir
Al-Awani, Pak Natsir, Pak Hamka, Sheikh Hassan Turabi, Dr Rashid
Ghanousi, Sheik Mehdi Aqif dan ramai lagi.
Anwar
terlibat dengan gerakan Islam sejak zaman sekolah, mahasiswa, belia dan
tidak pernah bersara hingga hari ini. Tokoh-tokoh ilmuan dan gerakan
Islam seantero dunia seperti Dr Yusof Qardawi, Dr Wahbah Zuhaily, Dr Abu
Hamid Sulaiman, Dr Ahmad Totonji, Dr Tariq Suwaidan dan Dr Tariq
Ramadan sentiasa mengunjungi Anwar setiap kali mereka berkesempatan
datang ke Malaysia berbincang isu-isu umat sejagat.
Biarlah saya mengingatkan Dr Mahathir walau bersungguh-sungguh beliau
berusaha untuk membunuh karakter Anwar dengan fitnah liwat selama lebih
15 tahun, fitnah jijik itu tidak mampu menjauhkan tokoh-tokoh ilmuan
Islam daripada Anwar.Kalau Dr Mahathir ingin tahu apa sebabnya,
jawapannya cukup terang. Islam melarang dan mengharamkan seorang muslim
memfitnah saudara muslimnya yang lain dengan fitnah zina atau liwat. Dr
Mahathir lah yang mereka fitnah liwat terhadap Anwar. Namun Dr Mahathir
tidak pernah berupaya menampilkan empat saksi sepertimana yang AlQuran
wajibkan. Rakan-rakan Anwar dari kalangan tokoh-tokoh Ilmuan Islam ini
terus mendokong Anwar kerana kayu ukur mereka ialah Al Quran. Keyakinan
mereka ialah Anwar menjadi mangsa fitnah jahat Dr Mahathir.
Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri memperalatkan seluruh
jentera pemerintah termasuk media, polis, peguam negara dan mahkamah
untuk melengkapkan fitnahnya terhadap Anwar. Dipenjarakan tujuh tahun,
bebas dan Anwar terus berjuang. Apakah Dr Mahathir berhasil “membunuh”
Anwar? Tidak sama sekali! Kalau dahulu ketika masih berkuasa Dr Mahathir
boleh sahaja menyekat dan memenjarakan Anwar. Hari ini pun kerajaan
Umno/ Bn boleh terus menyekat Anwar menyampaikan syarahan di
universiti-universiti awam dan swasta di negara kita. Kerajaan Umno/Bn
malah boleh mengugut mahasiswa-mahasiswa Malaysia di luar negara agar
jangan mengikuti syarahan Anwar.
Namun
Dr Mahathir dan kerajaan Umno/Bn tidak boleh menyekat
universiti-universiti terkemuka di rantau ASEAN, di Eropah, di Amerika
Syarikat dan di Timur Tengah dari terus mengundang Anwar. Anwar sering
dijemput mengupas pelbagai tajuk menyentuh persoalan umat Islam dan
dunia seluruhnya. Saya pernah bepergian bersama Anwar ketika beliau
diundang menyampaikan syarahan di Mesir, Turki, Singapura, Indonesia dan
banyak negara-negara lain. Siapa yang hadir mengikuti syarahan Anwar?
Untuk makluman Dr Mahathir, mereka ialah menteri-menteri, tokoh-tokoh
pemikir dan sarjana Islam, golongan korporat, pimpinan media, professor
universiti, tokoh-tokoh ekonomi dan teknokrat.
Di Tunisia misalnya Dr Rashid Ghanousi menjemput Anwar menyampaikan
pandangannya kepada seluruh ahli-ahli parlimen dan anggota jemaah
menteri Tunisia. Di Turki, Perdana Menteri Tayyib Erdogan menjemput
Anwar berucap di Istana Presiden mengupas topik Islam dan kebangkitan
dunia arab. Satu ketika di Mesir seingat saya tahun2010, Anwar dijemput
menyampaikan ucaputama persidangan antarabangsa Islam dan Demokrasi. Di
Singapura, bertempat di World Trade Center, ucapan Anwar pula ditujukan
kepada tokoh-tokoh media dunia. Di Indonesia pengaruh Anwar bukan
kepalang. Seorang teman saya asal Bogor pernah bergurau, katanya
tokoh-tokoh Indonesia saling berselisih dan berbeda pendapat antara satu
sama lain, namun mereka boleh sahaja bersatu kalau mengkagumi Anwar.
Pesantren, Universiti, Badan-badan pemikir dan intelektual Indonesia
sering mengundang Anwar menyampaikan pidatonya.
Anwar boleh berbicara karangan Shakespeare, Confucius, Mohamad Iqbal,
Rabindranth Tagore, Jose Rizal atau mendeklamasi puisi Rendra. Pada masa
yang sama Anwar giat mempelopori Maqasid Syariah dan membentang kertas
seminar Islam dan demokrasi di serata dunia. Tidaklah menghairankan
sebaik keluar dari penjara Anwar dilantik sebagai fellow di Universiti
Oxford dan menjadi professor di Universiti New Hopkins Amerika Syarikat.
Anwar juga dilantik penasihat ekonomi Qatar dan beberapa institusi
perbankan di negara arab.
Elok juga saya mengingatkan Dr Mahathir bahawa Anwar yang cuba dibunuh
karakternya oleh Dr Mahathir cuma manusia biasa. Hormat orang kepadanya
bersebab. Fitnah Dr Mahathir hanya “berhasil” di dalam kalangan Umno.
Itupun bukan semua. Ramai kenalan saya di dalam Umno yang kini menduduki
jawatan-jawatan utama dalam parti dan kerajaan mengakui hakikat ini.
Cuma yang tiada pada mereka ialah keberanian untuk berkata benar di
hadapan pemimpin pencipta fitnah.
Bagaimana sebenarnya Dr Mahathir mahu dingati? Berkuasa selama dua
puluh tiga tahun legasi yang ditinggalkannya ialah merosakkan institusi
kehakiman, menekan kebebasan media, menyuburkan budaya rasuah, memunggah
kekayaan negara menjadi kekayaan peribadi, memusuh
Ketika
Anwar masih terus dengan tradisi ilmu dan rapat dengan Dr Yusof
Qardawi, Dr Tariq Suwaidan, Dr Wahbah Zuhaily, Dr Mahathir pula rapat
dengan Ananda Krishna, Francis Yeoh dan Syed Mokhtar Bukhary. Ketika
anak-anak Anwar membesar dan membina kerjaya yang cukup sederhana, Dr
Mahathir pula cemerlang membantu anak-anaknya mencipta nama tergolong
kelompok mahakaya di Malaysia! Ketika Anwar terus berjuang membela
rakyat, menolak politik perkauman, mengajak rakyat mencari titik
persaudaraan, menuntut kekayaan negara diagih secara adil, Dr Mahathir
pula kekal dengan gaya politik lama, usang, tidak pernah puas menimbun
kekayaan dan penuh dendam kesumat
Saksikanlah pada usia lebih 80an tahun Dr Mahathir terus menyerang
Anwar tanpa henti. Tidak pernah ada tanda-tanda beliau sedar dan insaf
perbuatan fitnahnya terhadap Anwar. Pesanan buat Dr Mahathir,
sesungguhnya Allah swt menyayangi hamba-hambanya yang sentiasa bertaubat
dan membersihkan diri. Sebaliknya Allah juga bencikan orang yang tidak
mahu bertaubat dan paling dibenciNya ialah orang tua yang tidak mahu
bertaubat. Doa saya agar Dr Mahathir tidak tergolong dalam kalangan
jenis itu dan dibuka pintu hatinya. Amin ya Rabb.
Saifuddin Nasution Ismail
No comments:
Post a Comment