Pelaksanaan undang-undang Islam termasuk yang berkaitan dengan
jenayah telah menjadi hasrat dan cita-cita pejuang Islam di Malaysia
sejak sekian lama. Apabila PAS mula memerintah Kelantan pada tahun 1990,
satu pasukan khas telah diwujudkan untuk merealisasi hasrat tersebut.
Pasukan ini menggabungkan pelbagai kepakaran dari kalangan pemimpin
politik, ahli akademik dan mengamalkan undang-undang. Hasilnya pada
tahun 1993, satu Rang Undang-undang Jenayah Syariah II telah diluluskan
di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Kelulusan undang-undang ini merupakan
satu kejayaan besar kepada perjuangan Islam di dalam negara.
Walau bagaimana pun, hasrat ini mendapat tentangan keras dari
pemimpin negara pada waktu itu. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad
telah menulis satu surat bertarikh 15 Julai 1994 yang menyatakan secara
jelas larangan pelaksanaannya serta memberikan amaran bahawa tindakan
akan diambil jika ia diteruskan. Dengan mengambil kira amaran itu dan
pengalaman kerajaan Kelantan di bawah PAS pernah berdepan dengan
pengisytiharan darurat dan dirampas kuasa melalui tindakan MAGERAN
(Majlis Gerakan Negara) pada tahun 1977, maka hasrat murni itu terpaksa
ditangguhkan.
Usaha yang serupa dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu di bawah
pemerintahan PAS (1999-2004) apabila Enakmen Jenayah Syariah 2002 telah
diluluskan. Undang-undang ini telah diperkenankan oleh DYMM Sultan
Terengganu pada 2 September 2002, disiarkan dalam warta pada 23
September 2002 dan diisytiharkan berkuat kuasa pada 27 Oktober 2003.
Namun, ia tidak dapat dikuatkuasakan kerana tiada kerjasama dari
kerajaan Persekutuan Malaysia.
Walau pun undang-undang jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu
belum dapat dilaksanakan, ia merupakan satu kejayaan dalam dakwah kepada
rakyat Malaysia dan juga masyarakat dunia. Pertamanya, ia membuktikan
bahawa undang-undang jenayah Islam boleh dikanunkan dengan sempurna dan
baik melalui mekanisme perundangan moden. Kedua, ia meneroka medan
ijtihad yang berani khususnya berkaitan dengan perlaksanaannya dalam
sebuah negara berbilang kaum. Ketiga, ia menunjukkan perlaksanaan hukum
Allah adalah satu kewajipan sebenar, bukan sekadar menjadikannya sebagai
retorik atau propaganda politik. Keempat, ia menjinakkan hati
masyarakat agar semakin dekat dengan syariat Islam dan yakin dengan
kemampuan Islam menyelesaikan kemelut jenayah yang membarah.
Hasilnya, selepas hampir 20 tahun, semakin ramai pihak yang mempunyai
sikap terbuka untuk menerima hudud. Demikian juga dengan lonjakan
ketara sokongan bukan Islam terhadap undang-undang jenayah Islam.
Persoalan yang timbul kini ialah dari sudut pelaksanaannya. Apakah
sebenarnya penyelesaian kepada penguatkuasaan yang tertangguh ini. Di
manakah ia sepatutnya bermula.
Apa halangan sebenar?
Pada dasarnya terdapat dua bentuk halangan perlaksanaan Enakmen Kanun
Jenayah Syariah II 1993 Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
(Hudud dan Qisas) 2002 Terengganu. Halangan pertama ialah halangan
politik iaitu sikap kerajaan Persekutuan yang tidak menyokong, tidak
memberikan kerjasama serta melarang pelaksanaannya. Halangan kedua ialah
halangan perundangan. Berikut dijelaskan terlebih dahulu halangan
perundangan.
Halangan Perundangan
Halangan perundangan yang jelas ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang
kuasa Jenayah) 1965 mengehadkan skop kuasa Mahkamah Syariah. Seksyen 2
Akta itu memperuntukkan bahawa:
Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah
mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke
atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan
mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi
Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan
adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan
kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang
yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana
undang-undang bertulis:
Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh
dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara
selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit
atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman
tersebut.
Akta ini menetapkan had dari sudut jenis atau skop kesalahan iaitu
‘kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang
yang menganuti agama tersebut’. Buat masa ini skop kesalahan ini
ditafsirkan secara luas sesuai dengan keluasan Syariah Islam itu
sendiri. Dalam enakmen-enakmen jenayah syariah yang sedia ada sudah
mengandungi kesalahan-kesalahan seperti berjudi, muncikari, zina,
sumbang mahram, persetubuhan luar tabii dan seumpamanya. Bahkan bentuk
kesalahan yang ada dalam jenis hukum hudud seperti zina dan qazaf pun
sudah ada dalam undang-undang hari ini. Lihat contohnya seksyen 22
hingga 38 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Sesetengah kesalahan
yang disebut dalam enakmen ini sebenarnya juga diperuntukkan dalam Kanun
Keseksaan. Contohnya seseorang yang didakwa melakukan kesalahan liwat,
dia tertakluk kepada dua undang-undang iaitu enakmen jenayah syariah dan
juga Kanun Keseksaan. Berdasarkan hakikat ini dapat disimpulkan bahawa
kewujudan kesalahan-kesalahan seperti mencuri, bunuh dan lain-lain
seperti yang disebutkan dalam Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan adalah
tidak bercanggah dengan Akta. Jika hukuman bagi kesalahan itu ada
disebut dalam ajaran Islam, maka ia juga sepatutnya dianggap sebagai
sebahagian dari jenayah Syariah.
Namun demikian, seksyen 2 mengehadkan bidang kuasa jenayah mahkamah
Syariah dari sudut hukuman. Mahkamah Syariah tertakluk kepada had
hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan
atau gabungan mana-mana hukuman terbabit. Had inilah merupakan halangan
sebenar kepada enakmen jenayah syariah Kelantan dan Terengganu.
Memandangkan enakmen jenayah Syariah menetapkan hukuman yang lebih
tinggi seperti iaitu seratus rotan dan penjara yang lebih lama, maka ia
dikira pertentangan dengan Akta. Demikian juga hukuman yang tidak
disebut oleh akta itu seperti rejam dan potong tangan tidak boleh
berkuat kuasa kerana bertentangan dengan Akta. Mana-mana undang-undang
negeri yang bercanggah dengan undang-undang Persekutuan akan dikira
tidak sah dan batal.
Bagi mengatasi halangan ini Parlimen perlu membuat pindaan ke atas
Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 iaitu dengan
menaikkan had yang disebut itu sesuai dengan kadar yang ditetapkan oleh
enakmen-enakmen terbabit.
Bercanggah Perlembagaan?
Isu kedua adalah berkaitan dengan percanggahan antara enakmen jenayah
syariah Kelantan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 4 secara
jelas menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang
tertinggi dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah
terbatal. Mana-mana akta atau Enakmen, termasuk enakmen jenayah syariah
tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan.
Aspek yang disebut bercanggah ialah Perkara 74 memperuntukkan agihan
kuasa antara negeri dan Persekutuan berdasarkan Jadual Kesembilan.
Kerajaan persekutuan dan negeri hanya boleh membuat undang-undang dan
mentadbir dalam ruang bidang kuasa masing-masing. Jika mana-mana
kerajaan membuat undang-undang di luar bidang kuasanya, undang-undang
itu adalah pertentangan dengan Perlembagaan.
Oleh itu enakmen ini dianggap bercanggah dengan Perlembagaan kerana
ia mengadakan kesalahan-kesalahan seperti mencuri, membunuh, merompak
yang sebahagian besarnya bertindan dengan kesalahan-kesalahan yang
termasuk di dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan dan
kesalahan-kesalahan ini terdapat dalam undang-undang Persekutuan iaitu
Kanun Keseksaan. Ini juga bercanggah dengan butiran 1, Senarai Negeri
yang mengehadkan kuasa membuat undang-undang jenayah Islam setakat mana
ia tidak ‘berkaitan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai
Persekutuan’.
Namun begitu dakwaan bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan masih
boleh dipertikaikan. Ini kerana, jika ia dianggap bercanggah maka
undang-undang ke atas kesalahan berjudi, muncikari, zina, sumbang
mahram, persetubuhan luar tabii, zina dan qazaf yang sedia ada kini
dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri juga dianggap bercanggah.
Namun setakat ini tiada orang yang mencabarnya, dan ia diterima umum
sebagai undang-undang yang sah.
Pertembungan kuasa
Contoh terbaik untuk menggambarkan pendekatan mahkamah dalam kes ini ialah kes Mamat bin Daud lwn. Kerajaan Malaysia (1988)
1 MLJ 119. Dalam kes ini plaintif-plaintif telah dituduh di bawah
seksyen 298A Kanun Keseksaan, yang baru dipinda bagi menambah satu
kesalahan baru iaitu melakukan tindakan di atas asas agama, yang boleh
menjejaskan perpecahan atau menyebabkan atau menjejaskan keharmonian di
antara rakyat yang menganut agama yang sama atau berbeza. Mereka dituduh
melakukan tindakan yang menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat
Islam iaitu apabila bertindak sebagai bilal, khatib dan imam yang tidak
bertauliah. Mereka menuntut pengisytiharan bahawa s. 298A adalah ultra vires dengan Perkara 74 kerana ia secara ‘inti pati dan isi’ (pith and substance)
berkaitan dengan agama Islam yang tertakluk kepada bidang kuasa negeri,
dan Parlimen tidak ada kuasa untuk membuat undang-undang tersebut.
Setelah meneliti secara terperinci, Mahkamah Agung telah memutuskan
dengan majoriti tiga daripada lima orang hakim, bahawa tindakan yang
dilarang oleh akta tersebut tiada kaitan langsung dengan ‘keselamatan
awam’ yang tertakluk kepada bidang kuasa Persekutuan, sebaliknya ia
menyentuh secara langsung dengan agama Islam yang terletak di bawah
bidang kuasa negeri. Menurut Salleh Abas KHN :
Dengan melihat dari sudut pandangan yang sepatutnya, setakat untuk
perlaksanaan ke atas orang-orang Islam, seksyen yang dipertikaikan ini
adalah satu undang-undang yang bertujuan untuk memastikan agama Islam
diamalkan di negara ini menepati panduan, aturan dan amalan yang
dibenarkan oleh negeri-negeri…. Dalam meluluskan seksyen yang
dipertikaikan ini, saya tidak fikir bahawa Parlimen boleh bergantung
kepada kuasa perundangan berasaskan ketenteraman awam kerana penggunaan
kuasa tersebut akan menyebabkan pertembungan secara langsung dengan
kuasa kerajaan negeri untuk membuat undang-undang dan mengawal urusan
amalan agama Islam.
Seah dan Mohamad Azmi HHMA yang turut bersetuju dengan keputusan pengisytiharan pembatalan seksyen berkenaan menjelaskan;
…apa yang perlu diambil kira adalah isi atau inti pati kepada sesuatu
statut bukannya bentuk atau sifat luarannya… sebanyak mana pun
‘kosmetik’ digunakan untuk membuat ‘hiasan perundangan’ tidak dapat
menutup penyamaran dalam perundangan. Matlamat, tujuan dan bentuk
seksyen yang berkenaan mesti diterokai untuk mengenal pasti rupa sebenar
dan inti pati sesuatu undang-undang dan untuk mengenal pasti kategori
undang-undang tersebut…
Hujah majoriti berkisar di sekitar tujuan dan matlamat sebenar yang
membawa kepada kewujudan seksyen 298A Kanun Keseksaan itu. Walaupun
diakui bahawa ia mempunyai kaitan dengan ketenteraman awam, tetapi
hubungannya dengan pengamalan agama Islam adalah lebih dekat dan hampir
dengan tujuan undang-undang itu diperkenalkan.
Keputusan ini memberikan ‘perlindungan’ kepada kuasa perundangan
terpenting kerajaan negeri iaitu hal ehwal agama Islam. Contohnya dalam
kes terdahulu iaitu Tengku Nik Maimunah lwn Majlis Ugama dan Adat Melayu Negeri Terengganu [1979]
1 MLJ 157, mahkamah telah memutuskan bahawa persoalan wakaf adalah di
bawah bidang kuasa negeri berdasarkan Perkara 74 dan Senarai Negeri,
Jadual Kesembilan, maka undang-undang negeri yang berkaitan iaitu
Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Terengganu 1955 adalah berkuat
kuasa. Selagi negeri-negeri tidak menyerahkan kuasa membuat
undang-undang kepada kerajaan Persekutuan melalui beberapa mekanisme
seperti Perkara 76 yang membenarkan kerajaan Persekutuan membuat
undang-undang di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri dengan sebab-sebab
tertentu, selagi itulah Negeri mempunyai kuasa perundangan mutlak ke
atas urusan agama Islam. Jika di lihat kepada pendekatan yang telah
digunakan dalam kes-kes ini, kita dapat andaikan bahawa enakmen jenayah
syariah yang melibatkan hudud dan qisas di Kelantan dan Terengganu
adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Langkah penyelesaian
Walau bagaimana pun, halangan utama ialah halangan politik. Jika ada
kemahuan politik kekangan yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan atau
mana-mana akta boleh dirungkaikan dengan mudah. Jika kekangan politik
ini dapat diatasi tindakan yang wajar dilakukan untuk menjamin
kelancaran pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dengan meminda Akta
Mahkamah Syariah (Bidang kuasa) 1965 bagi membolehkan Mahkamah Syariah
membicarakan kes-kes jenayah berkaitan dan menjatuhkan hukuman-hukuman
seperti potong tangan, sebat dan mati. Peluasan kuasa ini bukan hanya
dapat dinikmati oleh Kelantan dan Terengganu, bahkan juga untuk
negeri-negeri lain.
Selain itu, bagi memberikan laluan yang lebih selesa, agar tidak
dianggap wujud percanggahan antara enakmen jenayah syariah dan
undang-undang Persekutuan, maka perkataan ‘kecuali mengenai
perkara-perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan’ perlu
digugurkan dari Butiran 1 Senarai Negeri. Bagi memberikan ruang yang
lebih selesa perkataan jenayah syariah dan skopnya perlu dimasukkan
dalam Senarai Negeri.
Pilihan yang lain ialah dengan memberikan kuasa khusus kepada
Kelantan dan Terengganu untuk meluluskan dan menguatkuasakan
undang-undang berkaitan jenayah. Pada dasarnya bidang kuasa jenayah
adalah di bawah bidang kuasa Pusat melalui Jadual Kesembilan
Perlembagaan, namun Parlimen boleh meluaskan kuasa kerajaan negeri
melalui Perkara 76A. Oleh itu enakmen jenayah syariah boleh berkuat
kuasa jika ia diberikan laluan melalui kaedah ini.
Hak bukan Islam
Pemimpin dan rakyat bukan Islam tidak seharusnya gusar dengan
penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan. Undang-undang
yang diluluskan itu hanya meliputi orang-orang Islam sahaja. Oleh itu
penganut agama lain tidak tertakluk kepada undang-undang hudud.
Selain itu, persoalan hak asasi sewajarnya menjadi pertimbangan
pemimpin dan rakyat bukan Islam. Ini kerana hasrat untuk diadili melalui
undang-undang Islam adalah sebahagian dari hak asasi rakyat Kelantan
untuk beramal dengan agama sebagai mana yang diperuntukkan di bawah
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Jika mereka dihalang untuk mendapat
keadilan melalui sistem perundangan Islam, mereka sebenarnya dinafikan
hak asasi untuk mengamalkan agama mereka sendiri.
Selain itu, hak untuk diadili dengan undang-undang jenayah syariah
juga merupakan hak demokratik rakyat Kelantan. PAS secara terbuka dan
jelas menyatakan hasratnya untuk menguatkuasakan undang-undang Islam.
Undi majoriti yang diberikan kepada PAS di Kelantan pada pilihan raya
umum 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 membuktikan kewujudan hasrat rakyat
Kelantan untuk mengamalkan undang-undang jenayah Islam. Menghalang
pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bermakna menafikan hak
demokratik rakyat Kelantan.
Selain itu perlu diingat juga bahawa undang-undang berkenaan hanya
mahu dilaksanakan di Kelantan. Kedudukan Kelantan sebagai sebuah negeri
yang mempunyai ciri-ciri khusus perlu dihormati. Penghayatan kepada
semangat federalime meliputi pengiktirafan perbezaan yang wujud antara
satu negeri dengan negeri lain. Fakta bahawa undang-undang tersebut
mendapat sokongan kerajaan dan juga pembangkang di Kelantan juga satu
yang unik. Seruan dan titah Baginda Sultan Kelantan agar undang-undang
itu dikuatkuasakan mengukuhkan pandangan bahawa Kelantan perlu
dibenarkan menjalankan undang-undang hudud.
Tegasnya, kini terpulang kepada pihak berkuasa khususnya kerajaan
Persekutuan untuk menggerakkan langkah bagi memberikan laluan
perlaksanaan undang-undang hudud di Kelantan. Sebenarnya kebenaran
perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan boleh dilakukan oleh
kerajaan Persekutuan tanpa perlu menunggu usul Rang Undang-undang
Persendirian dari wakil Kelantan. Jalan yang paling mudah ialah dengan
meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.
Pindaan ini boleh diusulkan oleh Menteriu kerajaan Persekutuan
menggunakan kaedah biasa. Ia boleh diluluskan dengan sokongan majoriti
mudah, tanpa perlu persetujuan dua per tiga ahli Parlimen.
Oleh:
Dr Muhammad Fathi Yusof Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan),
Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST),
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
No comments:
Post a Comment