Menahan Kemarahan Dan Sabar Memaafkan
Dari Ibnu Amru ra. :
“Bahawasanya dia telah bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Apa yang
mencegahku dari kemurkaan Allah SWT?’ Baginda menjawab: ‘Jangan
marah’.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, dinilai Hasan oleh Albani)
Ada orang menganggap sabar itu berdiam diri tanpa melakukan apa-apa.
Bagi sesetengah yang lain, mereka bersabar apabila menghadapi gangguan
daripada orang lain. Menahan diri daripada membalas semula. Semua itu
termasuk sebagai sabar.
Sabar punya pengertian yang luas. Ada sabar dalam perjuangan melakukan
perintah. Ada sabar dalam perjuangan melawan sikap malas, penakut,
kedekut dan bacul. Perjuangan itu memerlukan kesabaran. Manakala
kesabaran itu pula memerlukan kekuatan. Termasuk di dalam tuntutan
kesabaran adalah bersabar dan memaafkan orang yang melakukan perbuatan
kasar kepada kita.
Memaafkan adalah perbuatan berbudi. Allah suka kepada orang yang berbuat
baik. Malah, sikap mulia ini digalakkan ketika kita punya kuasa dan
kemampuan untuk membalas semula perbuatan orang lain.
Tapi, jika kita memilih untuk memaafkan, sungguh ia benar-benar termasuk dalam perkara yang amat dipandang baik.
Firman Allah Taala di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 134 yang bermaksud:
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah,
dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang
memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang
yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Allah benar-benar mengasihi orang yang mampu memaafkan kesalahan orang
lain. Ketika orang lain melakukan perkara yang tidak kita sukai dan
ketika hati kita terlukan kerana mereka, kita mengambil pendekatan untuk
memaafkannya. Percayalah, sesungguhnya ia termasuk di dalam akhlak
berbudi dan terpuji kepada orang lain.
Berbudi tidak semestinya memerlukan kita untuk menjamu makanan kepada
orang lain. Memaafkan perbuatan ornag lain itu sudah termasuk sebagai
perbuatan terpuji. Apatah lagi kemaafan itu diberikan ketika kita mampu
untuk membalas semua perbuatan mereka.
Tambahan pula ada sesetengah daripada kita merupakan orang yang
berpangkat dan punya pengaruh besar. Yakinlah ketika kita memilih untuk
tidak membalas sebaliknya menghulurkan pula kemaafan, sebenarnya kita
telah melakukan perbuatan yang berbudi. Inilah sifat yang Allah amat
sukai pada seorang hamba.
Bagaimanapun, andai kemaafan yang kita berikan tidak dihargai dan orang
yang diberi kemaafan pula menganggapnya sebagai tanda kita adalah
penakut, bacul dan sebagainya, ketika itu kemaafan yang diberikan sudah
tidak dianggap merendah diri. Tapi, ia telah menjadi perbuatan menghina
diri sendiri.
Natijah perbuatan menghina diri sendiri adalah tidak baik dan bukan
contoh yang terpuji. Ingat, kita punya maruah dan harga diri. Kemaafan
yang diberikan adalah tanda kita memiliki jiwa yang besar, bukannya
tanda kita seorang yang bacul dan penakut. Setiap individu itu ada
kekuatan tersendiri. Maka tonjolkanlah kelebihan itu.
http://pencil-merah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment