WALAUPUN
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum membuat pengumuman berhubung
PRK Kajang, tetapi kawasan tersebut sudah mulai panas sejak
penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR mengumumkan peletakan jawatan pada
Isnin lalu.
Peletakan jawatan itu amat mengejutkan penduduk Kajang kerana kebiasaannya ianya berlaku disebabkan Adun meninggal dunia.
Dun Kajang boleh diibaratkan sebagai kawasan yang unik jika dilihat daripada trend pengundian sebelum ini.
Keputusan pilihan raya sejak 1999 sehingga tahun lalu menunjukkan berlaku beberapa kali perubahan di kalangan pengundi N25 itu.
Pemimpin
yang dipilih oleh rakyat Kajang jelas sekali bertukar ganti di mana
tiada seorang pun yang dikekalkan lebih daripada sepenggal.
Bukan sahaja bertukar ganti parti sebaliknya turut melibatkan calon yang bertanding.
Pada
PRU13 lalu, Kajang merupakan antara Dun yang menyaksikan pertembungan
melibatkan enam penjuru selain daripada Kota Damansara dan Kapar.
Pertembungan
enam penjuru di Kajang itu agak mengejutkan kedua-dua calon dari PR,
Chin Cheh dan calon BN, Lee Ban Seng yang pada asalnya dikatakan hanya
akan bertembung satu lawan satu.
Perebutan itu bertambah menarik dengan kehadiran seorang calon daripada Berjasa dan tiga calon Bebas.
Chin Cheh diletakkan untuk bertanding di situ buat pertama kali menggantikan Lee Kim Sin (PKR) yang terkenal di Kajang.
Chin Cheh muncul pemenang dengan menerima undi sebanyak 19,571 iaitu majoriti sebanyak 6,824 menewaskan Ban Seng.
Kemenangan itu mengekalkan kerusi PR yang selama ini disandang oleh PKR.
Ia merupakan majoriti agak besar dan boleh dikatakan sudah dijangka berdasarkan situasi semasa.
Situasi tersebut dilihat kerana sentimen nasional di mana sebahagian besar penduduk bandar mahukan perubahan kerajaan.
Ia mungkin di atas faktor dimomokkan dengan slogan dilaungkan PR iaitu ‘Ini Kalilah’.
Malah
kerajaan PR di Selangor semakin mencengkam apabila menyapu 44 kerusi Dun
di Selangor berbanding BN yang semakin merosot memperoleh 12 kerusi
sahaja.
PKR memperoleh 14 kerusi manakala Pas dan DAP masing-masing 15 kerusi.
Di peringkat parlimen pula, PR berjaya menyapu semua parlimen di ibu negeri kecuali Johor Bahru dan Kangar.
Jika
diimbas kembali PRU10 lalu pada 1999, Dr Shafie Abu Bakar (Pas) berjaya
merampas kerusi tersebut daripada Choong Tow Chong yang merupakan
penyandang.
Kemenangan tersebut agak dramatik kerana hanya dibezakan dengan majoriti amat kecil iaitu sebanyak 37 undi.
Difahamkan, ia mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan BN yang merujuk perkara tersebut di mahkamah.
Shafie
berkata, sekurang-kurangnya 10 kali beliau ke mahkamah berhubung kes
tersebut melibatkan kos guaman sebanyak kira-kira RM30,000.
Ketika
itu Pas sudah pun menyertai Barisan Alternatif (BA) yang wujud sejak
1999 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan Timbalan
Perdana Menteri.
Bagaimanapun, pada PRU11, Low Lee Leng (BN) merampas kerusi tersebut apabila menumpaskan Kim Sin.
Namun
kerusi tersebut kembali berpindah di tangan PR pada 2008 melalui
kemenangan Kim Sin yang membalas dendam terhadap Lee Leng dengan
majoriti sebanyak 3,268.
Jumlah majoriti tersebut lebih besar jika dibandingkan sewaktu Lee Leng memenangi kerusi itu pada 2004 iaitu 2,773.
Jumlah
pengundi pada 2008 adalah sebanyak 29,868 dengan pecahan pengundi Melayu
46.6 peratus, Cina (44.1) India (8.7) Lain-lain (0.6).
Tahun lalu ia menunjukkan peningkatan jumlah pengundi kepada 38,965 dengan pecahan Melayu (48.48), Cina (40.46), India (10.15).
Berdasarkan
beberapa keputusan PRU lalu, tidak mustahil PRK akan datang menampilkan
Anwar sebagai calon PKR bakal mendapat tentangan sengit daripada calon
yang masih belum dinamakan BN
Anwar dilihat sebagai calon bertaraf ‘menteri’ yang sukar ditumbangkan malah imejnya di kalangan penyokong PR disegani.
Cuma apa
yang boleh menggugat keputusan PRK nanti adalah tindakan Chin Cheh yang
secara tiba-tiba meletakkan jawatan itu dianggap seolah-olah
mengkhianati kepercayaan diberikan oleh rakyat bagi membolehkan beliau
diberi mandat pada PRU13 lalu.
Pengundi Kajang juga sudah membuktikan beberapa kali menukar pilihan mereka.
Bagaimana pula kali ini?
-sinarharian-
No comments:
Post a Comment