[TMI] Pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak (pic) berdepan kebencian
merentasi semua lapisan daripada rakyat sehinggalah dalam Umno sendiri,
lapor portal berita Asia Sentinel.
Laman tersebut melaporkan situasi sama semasa penyingkiran bekas perdana
menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi kini berulang lagi, memetik sumber
dalaman Umno kepada Asia Sentinel.
"Kebencian sama bukan khusus kepada beberapa segmen Umno dan elit pemerintah sahaja.
"Zaman Mahathir, kebencian dan kurang senang hanya di kalangan kumpulan
intelektual dan hak asasi manusia. Tetapi Najib, ia merentasi semuanya
sehingga ke isterinya dan rakan-rakannya," kata Asia Sentinel yang
memetik pendedahan sumber Umno.
Walaupun kumpulan blogger daripada kem bekas perdana menteri paling lama
Tun Dr Mahathir Mohamad cuba memberikan tekanan kepada Najib, ia masih
tidak memadai.
"Tangan Mahathir dan Daim (bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin)
di merata-rata tempat tetapi kuncinya sekarang adalah Najib dan
isterinya yang menyediakan semua peluru.
"Tanpa peluru tersebut, Mahathir sukar mengerah bala tenteranya untuk
menentang Najib," kata sumber yang dipetik dalam Asia Sentinel.
Asia Sentinel dalam laporannya juga mendedahkan dua blogger kem Mahathir
yang lantang mengkritik Najib, Kadir Jasin dan Outsyedthebox.
Kedua-dua blogger tersebut menurut Asia Sentinel seringkali membidas
langkah dan polisi pentadbiran Najib yang dilihat banyak membazir.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Datuk A.
Kadir Jasin sebelum ini membidas Najib susulan kontroversi penggunaan
aset kerajaan oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan
luar negara.
Kadir secara sinis berkata Najib perlu mengkaji semula peranan menteri-menteri Kabinet selain melantik Rosmah sebagai menteri.
Selain itu, Dr Mahathir juga tidak ketinggalan membidas Najib apabila
mempersoalkan keperluan Putrajaya memiliki banyak kapal terbang
berbanding ketika zaman pemerintahannya.
Dr Mahathir berkata beliau tidak memerlukan sebarang pesawat mewah
sewaktu pimpinan beliau namun berpendapat kerajaan kini mempunyai wang
mencukupi untuk membelanjakan kemewahan tersebut.
Tahun lepas, Jabatan Perdana Menteri memberitahu parlimen bahawa
Putrajaya kini memiliki sekurang-kurangnya tujuh kapal terbang, termasuk
jet kelas perniagaan Boeing.
Kapal terbang itu digunakan oleh VVIP termasuk Yang Dipertuan Agung dan
perdana menteri. Ia termasuklah Falcon, Global Express, jet kelas
perniagaan Boeing, Blackhawk, 2 Augusta dan Fokker F28.
Menurut Asia Sentinel lagi, suara-suara marah rakyat serta beberapa
pemimpin dalam Umno tersebut juga berpunca daripada pemotongan beberapa
subsidi yang diberikan kerajaan baru-baru sehingga mengakibatkan
kenaikkan harga barang yang mendadak.
Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula mewujudkan kesan
domino yang menyebabkan harga banyak barang lain meningkat.
Setelah dikritik kerana tidak berjimat, Putrajaya baru-baru ini
mengumumkan mereka akan mengurangkan elaun hiburan dan perjalanan
menteri dan pegawai kanan kerajaan selain membekukan pengubahsuaian
pejabat.
Tetapi pembangkang melabelkannya sebagai reaksi spontan dan setelah
melihat kesan kepada pengurangan subsidi yang dilaksanakan selepas
Pilihan Raya Umum 2013. – 14 Januari, 2014/MD IZWAN
No comments:
Post a Comment