Sekembalinya daripada percutian hujung tahun dan negara diselebungi dengan pelbagai masalah serta kekalutan, Perdana Menteri, Najib Razak seperti tidak menyembunyikan kekecewaan sepanjang hanya tidak sampai dua minggu ketiadaannya. Dalam kemunculan sulungnya di tahun 2014 ini iaitu berucap di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri semalam, antara perkara yang disentuh Najib dalam ucapannya ialah meminta semua pihak bertenang dan mengikut saluran undang-undang dalam isu berkaitan kalimah Allah yang kembali hangat ketika ini.
Isu
kedua yang disentuh Najib ialah berkenaan subsidi dan dengan tegas
beliau menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi akan tetap diteruskan
sebagaimana yang dirancang oleh kerajaan. Ini bermakna selepas
pemotongan subsidi beberapa bulan lalu yang menyaksikan kenaikan harga
minyak dan petrol, di masa mendatang ini akan berlaku lagi beberapa
kenaikan akibat pemotongan subsidi yang akan dilakukan oleh kerajaan.
Ketika
isu kalimah Allah mula meletus dan UMNO Selangor berhasrat mengadakan
demonstrasi di depan gereja bagi menyatakan bantahan, Timbalan Perdana
Menteri, Muhyiddin Yassin telah menyatakan sokongan terhadap langkah itu
dengan menyatakan ia merupakan hak UMNO Selangor untuk berbuat
demikian.
Demo di
depan gereja itu, walaubagaimanapun akhirnya dibatalkan setelah
Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar tidak membenarkannya, sebaliknya telah
diadakan di padang Kelab Sultan Sultan, Kelang yang turut dihadiri
beberapa pemimpin UMNO negeri itu.
Tetapi sokongan Muhyiddin itu telah diketahui umum dan ia berlaku ketika ketiadaan Najib di dalam negara.
Ketika
ketidaan Najib juga di mana setelah berlakunya demonstrasi membantah
kenaikan harga barang di Dataran Merdeka pada malam sambutan sambutan
tahun baru, Muhyiddin turut berkata bahawa kerajaan akan melihat semula
dasar rasionalisasi subsidi secara holistik bagi memastikan ia
benar-benar membantu golongan sasaran iaitu rakyat miskin dan golongan
berpendapatan rendah.
Dalam
kedua-dua perkara yang disentuh oleh Muhyiddin, ia jelas ada perbezaan
dengan pendekatan Najib. Ketika Muhyiddin menyokong demontrasi di depan
gereja, Najib mahu semua pihak bertenang. Ketika Muhyiddin membuat
kenyataan lunak bahawa rasionalisasi subsidi akan dilihat dan dikaji
semula, Najib tetap bertegas dengan berkata "tidak" mengenainya.
Selain
memperkenalkan dasar 1Malaysia, Najib juga memperlihatkan dirinya lebih
toleransi dengan penganut Kristian. Beliau bukan saja mengunjungi Pope
dan menjemput paderi Kristian beramah-mesra dengannya, malah
menginisiatifkan penyelesaian 10 Perkara yang antara lainnya membenarkan
penggunaan nama Allah dan pengedaran Bible berbahasa Melayu di Sabah
dan Sarawak.
Muhyiddin
pula, dengan melihat perkembangan semasa yang menunjukkan semakin
membesarnya kemarahan golongan konservatif Islam berhubung penggunaan
kalimah Allah ini, cuba menonjolkan dirinya bersama-sama dengan
perjuangan mereka itu. Sokongannya terhadap demontrasi di gereja
(walaupun tidak menjadi) tetapi telah menunjukkan Muhyiddin lebih pro
Islam berbanding Najib.
Begitu
juga dengan kenyataannya untuk melihat semula dasar rasionalisasi
subsidi, selari dengan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara
hidup, Muhyiddin juga cuba menunjukkan beliau pro rakyat.
Namun,
Najib nampaknya tidak menunggu lama untuk memangkah kenyataan Muhyiddin
itu dan memberitahu bahawa beliau masih lagi Perdana Menteri dan nakhoda
dalam negara ini, walaupun dalam suasana semakin banyak masalah dan
penyakit yang timbul.
Najib,
menurut ramai pemerhati, dengan meminta semua pihak bertenang berhubung
isu kalimah Allah dan kemudian menyatakan subsidi tidak mungkin akan
dikekalkan, walaupun menujukannya kepada semua rakyat tetapi seperti
dalam masa yang sama sedang menyindir timbalannya itu.
Lebih-lebih
lagi, kelihatan wajah Muhyiddin yang tidak ceria dan macam mencuka
ketika berdiri di belakang Najib di perhimpunan itu. Di dalam akhbar dan
beberapa portal berita, wajah Muhyiddin yang masam itu amat jelas
kelihatan, malah mereka yang menonton berita di televisyen juga
menyatakan perkara yang sama.
Bibit
perbezaan antara Najib dan Muhyiddin ini bukan saja mula dirasai, malah
sudah mula menjadi bualan di kalangan rakyat dan di dalam UMNO sendiri.
Dengan pelbagai isu yang berlaku dalam negara sekarang, Najib bukan saja
semakin kurang popular, malah keyakinan terhadap kepimpinannya sedang
berada di tahap paling rendah sekali.
Berlakunya
terus perbezaan antara pemimpin nombor satu dengan nombor dua memang
sukar dielakkan, tidak terkecuali antara Najib dengan Muhyiddin tetapi
kebijaksanaan dan kecekapan akan menentukan bagaimana ianya akan berakhir
nanti.
No comments:
Post a Comment