Lagenda dan Mitos Kisah ‘Pembuangan/Pembunuhan Bayi’
Sejak kebelakangan ini, kes buang bayi semakin menjadi-jadi di
Malaysia. Saban hari dikejutkan dengan penemuaan bayi yang dibuang di
tong sampah, masjid dan surau. Malah yang lebih memeritkan apabila
banyak di antara penemuaan bayi yang dibuang adalah sekujur mayat yang
kaku. Hati mana yang boleh tahan apabila melihat manusia berperlakuan
bak binatang. Binatang pun pandai menjaga anak-anaknya.
Baru-baru ini, Kerajaan melaungkan nada tegasnya dengan mengarahkan
persalah yang membuang bayi wajib dibicarakan di bawah Seksyen 302 dan
304 Kanun Keseksaan yang boleh membawa gantung sampai mati jika sabit
bersalah. Sebelum ini, ‘binatang-binatang’ ini hanya dibicara di bawah
Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak yang mana jika sabit bersalah akan dikenakan
hukuman penjara 10 tahun atau denda maksimum sebanyak RM20,000.00 atau
kedua-duanya sekali. Apa yang boleh pembaca rasakan, hukuman gantung
adalah memang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Ini
berdasarkan firman Allah swt:
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar”.
Apapun, sebenarnya bukan ini yang penulis mahu tulis untuk entry kali
ini. Penulis ingin pembaca semua bersama-sama penulis menyelongkari
kisah-kisah mengenai lagenda ‘pembuangan bayi’. Jom sama-sama..
Lagenda Remus dan Romulus- Pengasas Rom
Ramai tidak mengetahui bahawa siapakah sebenarnya pengasas tamadun
Rom. Sebenarnya pengasas Tamadun Rom adalah seorang lelaki bernama
Romulus. Diriwayatkan bahawa Romulus mempunyai seorang saudara kembar
bernama Remus. Romulus dan Remus adalah anak kepada Rhea Silvia,seorang
paderi wanita dan Tuhan Perang, Mars. Dengan itu, Romulus dan Remus
adalah separa dewa atau lebih dikenali sebagai demigod. Namun,
kelahiran Romulus dan Remus tidak direstui oleh bapa saudaranya dan ia
telah memaksa ibunya untuk membuang bayi kembarnya itu ke dalam sungai.
Tetapi, kedua-dua ini diselamatkan oleh seekor serigala betina.
Serigala betina inilah yang bertanggungjawab membesarkan Romulus dan
Remus sehingga dewasa. Bagi mengingati mitos ini, simbol serigala yang
menyusukan bayi diabadikan dalam bendera Bandar Rom.
Apabila semakin meningkat dewasa, nafsu untuk berkuasa semakin
berleluasa dalam diri kedua-dua kembar ini. Akhirnya Remus dibunuh oleh
Romulus dalam saingan untuk mengasaskan sebuah negara kota bernama Rom.!
Mitos Perseus-Sang Pembunuh Medusa
Seorang lagi watak demigod dalam mitos dunia barat. Perseus
adalah watak popular dalam tamadun Yunani. Ini adalah kerana beliau
adalah manusia pertama yang membunuh banyak raksasa mitos Yunani
terutamanya mitos pembunuhan Medusa. Medusa adalah seekor raksasa berupa
seorang wanita yang berambut ular. Kekuatan Medusa yang utama adalah
berkebolehan menukarkan sesiapa yang melihat matanya kepada batu.
Diriwayatkan bahawa Perseus dilahirkan melalui Dewa Zeus yang
menghamilkan Danea,puteri Raja Akrisios tanpa kerelaan.Ketika Danea
diperkosa, Danea sebenarnya berada dalam kurungan kerana Raja Akrisios
bermimpi bahawa beliau akan dibunuh oleh cucunya sendiri yang bakal
dilahirkan oleh Danea.
Berang dengan tindakan Dewa Zeus, Raja Akrisios telah membunuh
puterinya itu dan meletakkan bayi yang baru dilahirkan iaitu Perseus ke
dalam keranda bersama-sam ibunya. Keranda itu kemudian dibuang ke laut
dan akhirnya dijumpai oleh seorang nelayan. Perseus kemudian dibesarkan
olehnya dan kemudian membesar menjadi seorang pahlawan.
Moses- Pembawa ajaran Taurat
Moses atau Nabi Musa as adalah watak utama dalam tiga agama langit
iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Moses adalah pengasas kepada agama
Judaism ataupun agama Yahudi. Daripada Moses, diturunkan kitab Taurat
padanya yang kemudian menjadi pegangan kepada penganut agama Judaism.
Kitab Taurat merupakan satu daripada empat kitab yang wajib dipercayai
oleh orang Islam.
Diriwayatkan bahawa Moses dilahirkan pada waktu yang tegang di mana
Firaun Mesir ketika itu ingin membunuh setiap bayi warga Israel yang
baru dilahirkan. Ini adalah kerana Firaun yang zalim ini mempercayai
mimpinya yang mana mengkhabarkan bahawa seorang bayi daripada Bani
Israel akan bangun menentangnya.
Ibu Moses iaitu Yukabab binti Qahat (Jochabed) telah
menghayutkan Moses ke dalam sungai Nil ketika Moses berumur 3 bulan.
Moses akhirnya tersangkut ke dalam tempat mandian isteri Firaun iaitu
Asiah. Tertarik dengan kecomelan bayi itu, Asiah mengambilnya sebagai
anak angkat dan membesarkannya.
Kemudian apabila dewasa, Moses mula sedar tentang kezaliman dan
kejahilan Firaun laknatullah itu. Beliau bangkit menentang Firaun dengan
menyeru beliau untuk mengikut agama Allah. Akan tetapi, Firaun engkar
dan menyebabkan Moses dan beribu-ribu Bani Israel dihambat oleh tentera
Firaun ke segenap ceruk Mesir. Akhirnya, Moses dan pengikutnya berjaya
merentasi Laut Merah bagi mengelak daripada terus diburu oleh Firaun dan
tentera-tenteranya.
Ciung Wanara- Dari Sungai Citanduy ke Tampuk Pemerintahan
Ciung Wanara adalah nama lain bagi Sang Manarah dan Prabu Suratama, atau Prabu Jayaprakasa Mandaleswara Salakabuwana.
Dipercayai beliau memerintah Galuh tahun 739 – 783 Masehi. Galuh adalah
pecahan daripada Kerajaan Sunda semenjak kejatuhan Kerajaan
Tarumanagara. Pada masa sekarang, Kerajaan Galoh berada di Kota Kawali,
Kabupaten Ciamis.
Diriwayatkan secara turun-temurun bahawa Ciung Wanara adalah anak
kepada Prabu Adimulya Permanadikusuma. Namun, Prabu Adimulya
Permanadikusuma meninggal dunia sebelum Ciung Wanara dilahirkan akibat
dibunuh oleh Tamperan. Ibu Ciung Wanara adalah isteri pertama kepada
Prabu Adimulya Permanadikusuma iaitu Dewi Pohaci Naganingrum.
Ditakdirkan bahawa isteri kedua Prabu Adimulya Permanadikusuma iaitu Dewi Pangrenyep juga
turut mengandung ketika Dewi Pohaci Naganingrum mengandung. Namun
isteri kedua Prabu melahirkan bayinya terlebih dahulu dan diberi nama Harian Banga manakala isteri pertama Prabu yang bakal melahirkan Ciung Wanara hanya melahirkan beliau setelah kandungan berusia 12 bulan.
Ketika saat hendak melahirkan Ciung Wanara, Dewi Pangrenyep membantu
Dewi Pohaci Naganingrum. Akan tetapi, ia hanyalah tipu muslihat isteri
kedua Prabu kerana beliau ingin menggantikan bayi yang akan dilahirkan
oleh Dewi Pohaci Naganingrum dengan seekor anjing. Beliau berhasil
melakukan tindakan terkutuk itu. Beliau membuang bayi iaitu Ciung Wanara
ke dalam Sungai Citanduy dalam Kandaga(kota kecil berhias) bersama-sama
sebiji telur.
Namun, bayi malang ini diselamatkan oleh pasangan nelayan, Aki & Nini Blangantran. Bayi
ini membesar menjadi seorang yang gagah perkasa manakala telur yang
bersama-sama dengannya turut menetas menjadi ayam laga yang hebat.
Dengan ayam laga inilah beliau berjaya menemui semula asal-usulnya dan
seterusnya merebut takhta daripada adik tirinya.
Bayi Sparta- Dilahirkan hanya untuk menjadi Pahlawan Sparta
Sparta Purba sangat mementingkan kekuatan ketenteraan berbanding ilmu
pengetahuan sepertimana jirannya, Athen. Sparta menitik-beratkan
rakyatnya yang lelaki supaya menjadi tentera. Kerahan tenaga untuk
menjadi tentera Sparta diwajibkan bagi setiap warganya. Diriwayatkan
bahawa jika terdapat sebarang kelahiran baru di Sparta, maka akan datang
wakil tentera Sparta ke rumah itu untuk memeriksa kesihatan bayi.
Sekiranya bayi itu sihat walafiat, maka bayi itu akan diwajibkan
memasuki akademi latihan ketenteraan seawal usia 7 tahun. Namun, bagi
bayi yang cacat dan berpenyakit, bayi itu akan dibiarkan mati di lereng
bukit di Sparta atau dilatih untuk menjadi hamba sahaya(Helot).
No comments:
Post a Comment