Ada yang bertanya saya mengenai hukum muslim membela hak non-muslim.
Mereka merasa seakan berdosa seorang muslim itu berpihak kepada
non-muslim yang menuntut hak dari muslim, sekalipun non-muslim itu di
pihak yang benar.
Ini kerana mereka merasakan membela hak non-muslim yang menuntut dari
muslim bagaikan mengkhianati saudara seakidah ataupunukhuwwah islamiyyah
(Islamic brotherhood).
Anggapan mereka bahawa muslim itu mesti setia bersama muslim sekalipun
saudara muslimnya di pihak yang salah. Membela hak non-muslim yang
berselisah faham dan tuntutan dengan muslim itu bagaikan satu
pengkhianatan.
Ini sebenarnya anggapan yang tidak tepat. Memang benar orang muslim itu bersaudara. Kecintaan antara kita amat tinggi. Kita membantu antara satu sama lain. Namun, ini tidak bererti kita diizinkan untuk menindas atau merampas hak mereka yang tidak seagama dengan kita.
Ini sebenarnya anggapan yang tidak tepat. Memang benar orang muslim itu bersaudara. Kecintaan antara kita amat tinggi. Kita membantu antara satu sama lain. Namun, ini tidak bererti kita diizinkan untuk menindas atau merampas hak mereka yang tidak seagama dengan kita.
Pendirian al-Quran
Kefahaman Islam tidak boleh hanya berdasarkan emosi, tetapi hendaklah
berasas hujah dan dalil yang dibuktikan oleh al-Quran dan sunnah Nabi
Muhammad s.a.w. Islam adalah agama sejagat (universal). Inilah yang
menjadikan ajaran itu contoh dan memimpin kehidupan manusia dengan adil
dan saksama. Keadilan Islam yang merentasi sempadan agama, bangsa dan
geografi.
Inilah yang al-Quran tegaskan: (maksudnya) :
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum
itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir
kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan". (Surah
al-Maidah: ayat 8).
Bahkan al-Quran menyebut dalam ayat yang lain: (maksudnya)
"dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari
Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas
dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami (Allah) memperelokkan
pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian
kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada
mereka apa yang mereka telah lakukan" (Surah al-An'am ayat 108).
Al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami' li Ahkam al-Quran ketika menafsirkan ayat di atas menyebut:
"Kata para ulama: Hukum (larangan mencerca sembahan golongan non-muslim)
kekal dalam umat ini dalam semua keadaan selagi seorang kafir
(unbeliver) terhalang dari mencerca Islam ataupun Nabi a.s. ataupun
Allah, maka tidak halal untuk muslim mencerca salib mereka, atau agama
mereka atau gereja mereka. Jangan melakukan sesuatu yang membawa ke arah
tersebut kerana ia sama dengan menggalakkan maksiat" (7/61, Beirut: Dar
al-Fikr)
Akhlak Nabi Muhammad
Jika kita melihat kepada pendirian Nabi Muhammad s.a.w, kita dapati
baginda adalah sebaik dan semulia-mulia insan dalam berinteraksi dengan
semua pihak, termasuk mereka yang tidak beriman dengannya (unbelievers).
Justeru itulah kedatangan Nabi Muhammad ke alam ini dianggap sebagai
rahmat untuk seluruh alam yang meliputi muslims, non-muslim, manusia,
haiwan, tumbuhan, alam sekitar dan segalanya.
Dalam hadis, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu'ahid (rakyat non-muslim) ataupun
mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya,
ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku
menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat".
(Riwayat Abu Daud, sahih).
Dalam hadis ini Nabi Muhammad s.a.w memberi amaran kepada sesiapa yang
melakukan apa sahaja bentuk penindasan kepada warga non-muslim yang
berada di bawah pentadbiran muslim. Baginda memberikan jaminan kepada
non-muslim yang tertindas itu bahawa baginda sendiri akan berhujah
menentang muslim yang zalim pada Hari Kiamat kelak. Demikian indahnya
keadilan Tuhan yang dinyatakan oleh Islam. Keadilan yang rentas sempadan
agama, kaum, puak dan segala sempadan kehidupan.
Maka tidak hairanlah jika Islam dalam sejarahnya menjadi agama yang
paling pantas diterima oleh masyarakat manusia di dunia ini. Keindahan
budi dan sikap. Sikap Islam ini ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w
pada lebih 1430 tahun yang lalu, pada masa masyarakat dunia belum
membicarakan tentang toleransi agama. Pada zaman kekejaman atas nama
Tuhan berlaku di setiap lapisan masyarakat manusia, Nabi Muhammad
membawa sikap yang begitutolerant sekali. Bahkan menjadikan hubungan
baik antara penganut agama itu ada nilai dosa dan pahala di sisi Tuhan.
Inilah yang membawa Islam menjadi kuasa yang dihormati dan manusia masuk
ke dalamnya berbondong-bondong. Namun, apabila semua ini hilang dari
akhlak kaum muslimin, maka kita sentiasa berada di belakang, merasa
tertekan dan offensiveselalu.
Teladan Sahabat
Pesanan Nabi s.a.w ini menjadi pegangan para pemerintah selepas baginda
yang mengikuti jalan baginda. Marilah merenung surat Khalifah 'Umar bin
al-Khattab kepada gabenornya di Mesir iaitu 'Amr bin al-'As. Dalam surat
itu 'Umar menyebut:
"Ketahuilah wahai 'Amr, sesungguhnya Allah melihat engkau dan amalanmu.
Sesungguhnya Allah berfirman dalam kitabnya "(mereka berdoa: wahai
Tuhan) jadilah kami pemimpin orang-orang yang bertaqwa" (Surah
al-Furqan:74) tujuannya agar dicontohi. Sesungguhnya (wahai 'Amr)
bersamamu terdapat ahl zimmah (rakyat non-muslim) dan 'ahd (non-muslim
yang mengikat perjanjian). Rasulullah s.a.w telah berpesan mengenai
mereka. Baginda juga berpesan mengenai kaum qibti (Coptic) dengan
menyebut: "Aku berpesan agar kamu berbuat baik kepada kaum qibti kerana
bagi mereka hak perlindungan dan hubungan rahim (keluarga)".
Kekeluargaan mereka disebabkan Nabi Ismail a.s. dari keturunan mereka.
Nabi s.a.w juga bersabda: "Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu'ahid
(rakyat non-muslim) ataupun membebankannya di luar kemampuannya maka aku
menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat".
Jaga-jaga wahai 'Amr jangan sampai Rasulullah itu memusuhimu kerana
baginda akan menentang musuhnya…sesungguh aku ini takut jika seekor unta
yang berada di bawah wilayahmu mati tersesat jalan lalu aku ditanya
oleh Allah pada Hari Kiamat" (Kanz al-'Umal 5/760).
Di manakah hendak kita cari ketelusan dan ketulusan yang seperti itu.
Ramai yang mengakui pemerintah muslim tapi bukan sahaja tidak kisah jika
unta mati, bahkan tidak peduli jika rakyat terbunuh tanpa sebab yang
sah.
Dalam riwayat dari Sa'sa'ah, berkata: Aku bertanya Ibn 'Abbas:
"Kami berjalan di tanah ahl zimmah (rakyat non-muslim) lalu kami ambil
apa yang terdapat padanya". Tanya Ibn 'Abbas: "Tanpa sebarang harga?".
Jawabku: "Ya". Tanya Ibn 'Abbas lagi: "Apa pendapat kamu?". Kami jawab:
"Halal, tiada masalah". Kata Ibn 'Abbas: "Kamu bercakap macam dengan
ahlul kitab (seperti yang al-Quran ceritakan dalam Surah Ali-'Imran: 75)
"(mereka berkata) Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai
orang-orang yang ummi (buta huruf) dan, mereka selalu berkata dusta
terhadap Allah sedang mereka mengetahui". (al-Qasim bin Salam, al-Amwal.
1/395).
Inilah Islam. Inilah keindahannya. Sikap yang benar dan adil untuk
semua. Terlalu banyak riwayat dalam sejarah kegemilangan Islam jika
hendak dinukilkan mengenai keadilan Islam kepada penganut agama lain.
Islam yang seperti itu tidak defensive tetapi sentiasa maju ke depan
mempengaruhi pemikiran manusia yang berakal.
No comments:
Post a Comment