A Kadir Jasin
MEMINJAM loghat P. Ramlee, tajuk
berita utama akhbar Berita Harian 8 Oktober tidaklah “menggumbirakan”.
Sebaliknya ia memalukan Umno
khasnya, orang Melayu amnya dan penduduk Malaysia keseluruhannya.
Tetapi ia juga boleh dijadikan
teladan dan mungkin juga petanda bahawa Umno telah bersedia berdepan dengan
hantu yang sekian lama meracau dan mengacau tubuh badannya - puaka yang
menyebabkan banyak ahli tawar hati dan meminggirkan diri.
Puaka yang menyebabkan sesiapa
saja yang berani bersuara diketepikan. Puaka yang menjadikan pengampu, kaki
bodek dan penghasut disukai dan berpengaruh di koridor kuasa.
Tahniah kepada BH atas tajuk
berita “1,703 perwakilan, calon Umno muflis”.
Akhbar itu, antara lain,
melaporkan: “Seramai 33,272 calon disahkan bertanding merebut pelbagai jawatan
pada pemilihan UMNO bulan ini selepas 869 calon gagal melepasi saringan
Jawatankuasa Pemilihan parti, termasuk 334 yang didapati muflis.
“Selain itu, 1,369 daripada
kira-kira 146,000 perwakilan yang telah dipilih, tidak layak kerana turut
disenaraikan muflis oleh Jabatan Insolvensi.”
Syabas kepada Jawatankuasa
Pemilihan Umno kerana membuat tapisan yang teliti.
Saya tidak hairan sedikit pun
dengan berita tersebut. Hari ini, walaupun banyak Melayu dan Islam begitu
“judgmental” (suka mengukur orang) keimanan orang lain, banyak daripada mereka
adalah hipokrit. Mereka sendiri lebih teruk daripada orang yang mereka ukur dan
adili.
Hari ini banyak orang Melayu
(dan orang Malaysia amnya) suka berhutang di luar kemampuan dan tidak berniat
membayar balik hutang sedangkan Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang dan
orang yang berhutang sama tarafnya dengan hamba abdi.
Orang yang berhutang, tetapi
tidak membayar balik hutang, lagi-lagilah yang diisytiharkan muflis kerana
tidak membayar balik hutang, tidak layak menjadi pemimpin. Memilih mereka
sebagai pemimpin samalah dengan memilih hamba abdi menjadi pemimpin.
Saya bukan menghina hamba abdi.
Tetapi adakah kita mahu dipimpin oleh hamba abdi yang berhutang? Tidak kira
sama ada mereka muflis kerana berniaga, kerana tak bayar pinjaman pelajaran
tinggi, tak bayar hutang kad kredit atau kerana menjadi penjamin orang yang
berhutang, pokok pangkalnya mereka tetap muflis.
Lagi hina adalah orang yang rela
diisytiharkan muflis daripada berusaha membayar balik hutang.
Tetapi bukan orang muflis sahaja
wajib ditegah bertanding dan mengundi. Orang yang didapati bersalah kerana
jenayah, rasuah dan politik wang juga wajib ditegah daripada bertanding dan
mengundi.
Sekiranya ada orang seperti itu
yang terlepas daripada pengawasan dan tindakan Jawatankuasa Pemilihan tetapi
diketahui oleh pemilih dan perwakilan, mereka pun wajib ditolak juga.
Kalau Umno mahu pulih daripada
delima dan maladi (penyakit) yang dialaminya sekarang dan mahu kembali menjadi
parti pilihan orang Melayu, ia memerlukan kepemimpinan yang bersih, telus,
berwibawa, muda dan bertenaga.
Kepemimpinan yang hormat dan
akur kepada ahli bukan yang takut dan utamakan anak bini, suku-sakat, para
penasihat, peniaga minyak ular dan ahli sihir. Barang dijauhkan Allah!
Pemilihan kali ini adalah
peluang terakhir Umno menyegarkan semula kepemimpinannya dan mengembalikan
idealisme perjuangan. Sekiranya ini tidak berlaku, kemungkinan Umno menjadi
parti rumput tengah jalan (hidup segan mati tak mahu) adalah amat besar.
Wallahualam.
a-kadir jasin.
memang perlunya sikap kepahlawanan
ReplyDeleterakyat membutuhkan pemimpin yang bisa menyelamatkan, komentar juga ya ke blog saya www.goocap.com
ReplyDelete